Gaya Hidup

5 Penawar Buat Anda Merawat Pedihnya Menerima Musibah

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  10 Sep 2018  •  6 min baca

Seorang lelaki meluahkan rasa sedih dan pedihnya apabila dia tidak jadi berkahwin kerana pengantin perempuan lari daripadanya. Baginya, dia sudah kehilangan separuh hati.

“Aku tak faham kenapa dia sanggup buat aku macam ni. Apa salah aku? Padahal aku dah bersusah-payah kumpulkan duit dan dah sedia nak pikul tanggungjawab. Aku malu nak jumpa dengan orang lain. Begitu juga dengan keluarga aku sendiri. Semua persiapan dah cukup lengkap. Kenapa? Kenapa harus ujian ni yang aku dapat?”

Pertamanya, ujian sebenarnya terbahagi kepada dua jenis. Pertama sekali, ujian berbentuk musibah dan yang kedua ialah ujian berbentuk kesenangan. Sebagaimana situasi di atas, hal tersebut berkaitan dengan musibah.

Ujian daripada Allah S.W.T yang berbentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas golongan manusia ialah kemiskinan, kehilangan, kematian, kesakitan dan sebagainya.

Pada saat itu, Allah S.W.T sebaik-baik Penolong yang patut menjadi tempat mengadu segala masalah serta bakal membantu kita. Setiap daripada kita berbeza. Sesetengah orang perlu mengambil masa yang lama untuk menerima keadaan.

Namun, ada pula yang sekejap menerima hakikat tentang musibah itu. Jadi bagaimana ada yang terlalu cepat pulih dari musibah yang dialami oleh mereka?

Hadam dan amalkan kelima-lima penawar musibah dan penderitaan yang dinyatakan ini. Musibah adalah tanda cinta dan rindunya Allah S.W.T kepada kita. Dia teringin sekali mendengar rintihan kita. Yakinlah bahawa selepas setiap ujian pasti ada keindahan;

#1- Ibadah

Ibadah merupakan pengabdian. Kita ialah abdi dan Allah S.W.T ialah Pencipta kita. Erti ibadah ini terlampau luas.

Secara ringkas, semua hal seperti berjalan, makan, membaca dan sebagainya boleh dikira sebagai ibadah jika menuju ke arah kebaikan. Dalam hadis yang disebutkan, dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya Allah Taala berfirman, “Hai anak Adam, luangkan waktu untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku penuhi keperluanmu. Kalau tidak, Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan kerja dan tidak Aku penuhi keperluanmu.”Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah S.W.T menjanjikan dua hadiah kepada orang yang beribadah kepadaNya dan sebaliknya mengancam bagi yang tidak beribadah kepadaNya dengan memberikan dua seksaan.

Dalam pada itu, lihatlah dan renungkan kisah hidup Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W juga pernah ditimpa musibah, pernah juga berduka. Lagi berat ujian yang menimpa baginda berbanding dengan kita. Tetapi baginda tetap tabah dan meneruskan ibadah.

Kita lihat pula kejadian gempa bumi yang melanda Lombok tempoh hari. Situasi yang berlaku di dalam sebuah masjid di mana seorang imam dan beberapa makmum tidak berganjak daripada solat ketika gempa itu berlaku.

Renungkan juga mereka yang diberikan kesakitan tetapi tidak menjadikan penyakit tersebut sebagai penghalang untuk beribadah kepada Allah S.W.T.

#2- Tafakur

Tafakur bermaksud merenung dan memerhati segala ciptaan Allah SWT dan kemudiannya menghayati kekuasaanNya. Secara tidak langsung, perkara ini dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T.

Bahkan juga menurut beberapa ulama makrifat (orang yang arif tentang ketuhanan), tafakur merupakan pelita hati.

Jika tafakur hilang dalam dirinya, maka lenyaplah pelita hatinya. Tafakur terbahagi kepada lima iaitu;
#1- Tafakur tentang ayat-ayat Allah, melahirkan tauhid dan keyakinan kepada Allah

#2- Tafakur tentang nikmat-nikmat Allah, melahirkan rasa cinta dan syukur kepada Allah

#3- Tafakur tentang janji-janji Allah, melahirkan rasa cinta kepada akhirat

#4- Tafakur terhadap ancaman Allah, melahirkan sikap waspada terhadap perlakuan dosa

#5- Tafakur tentang kekurangan diri dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, melahirkan rasa takut kepada Allah

#3- Zikir

Zikir merupakan penawar yang boleh diamalkan dengan hati dan menyebutnya dengan lisan. Sesungguhnya, zikir adalah santapan rohani. Disebabkan zikir, rohani terasa tenang malahan hati terasa bebas.

Selain itu, zikrullah amat penting dalam kehidupan umat Islam. Dengan kuasa zikir, pelbagai manfaat dapat diperoleh. Bukan sahaja dapat menjadi penyembuh penyakit tetapi juga dapat menolak kesusahan. Sehinggakan musibah yang ditimpa itu terasa ringan.

Namun sekiranya apabila kita sudah kerap berzikir tetapi masih tidak tenang-tenang, semak semula diri sendiri.

Ungkapan zikir perlu seiring dengan hati kita yang reda dengan musibah yang datang. Maka kurangkan mengeluh lalu kembali berzikir dan banyakkan bersyukur.

#4- Mujahadah

Mujahadah bermaksud berusaha dalam meninggalkan larangan Allah S.W.T, melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Hati seseorang yang dikuasai nafsu ammarah dipenuhi dengan sifat yang buruk. Misalnya, perasaan mudah marah, mudah kecewa, takut kepada kesusahan, sombong dan bermacam-macam lagi.

Lebih-lebih lagi, golongan yang bermujahadah ialah orang-orang yang kuat. Mereka tidak dapat disogok dengan wang, pangkat dan sebagainya. Mujahadah itu pahit tetapi pada awal waktu sahaja.

Ujian akan terus datang untuk menguji kita namun dengan mujahadah kita akan kekal berjuang memperbetulkan tindakan untuk meraih keredaan Allah S.W.T.

Walau turun dan naiknya iman kita dalam menghadapi hidup yang terkadang mempunyai ujian susah senang, mohonlah kepada Allah S.W.T. Daripada Abu Hurairah, daripada Ummi Salamah R.A, isteri Nabi S.A.W berkata;

Apabila Rasulullah S.A.W selesai solat Maghrib, kemudian Baginda masuk ke rumah. Lalu solat dua rakaat kemudian selalu berdoa;

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agamaMu.”Riwayat Tirmidzi

#5- Mendengar Tazkirah

Tazkirah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “peringatan”. Sememangnya manusia perlu diperingatkan.

Ketika kita berasa lelah dengan penderitaan yang dialami, carilah ilmu. Usah tewas dengan musibah tetapi bersemangatlah setelah ditimpa musibah.

Seperti yang boleh kita lihat, zaman sekarang kelihatan lebih mudah untuk memperoleh sesuatu ilmu. Semua maklumat berada di hujung jari dan hanya kita yang akan menentukan apa-apa informasi yang kita mahu memiliki.

Di samping mendengar tazkirah melalui Youtube dan televisyen, artikel-artikel tazkirah juga banyak disajikan. Antaranya, tzkrh.com dan berbagai-bagai laman web atau blog.

Mereka banyak memaparkan topik-topik yang bakal membantu kita dalam kehidupan di dunia dan juga bekalan sebelum menuju akhirat.

Maka dengan musibah yang menimpa, jadikan situasi itu sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri dan amalan. Allah S.W.T mahu melihat kualiti iman, kesungguhan hamba-Nya dalam kehidupan dan mengingatkan kita untuk menuju ke jalan yang benar.

Akhirulkalam, dunia ini medan ujian. Kita yang masih hidup, teruskan perjuangan dengan bersungguh-sungguh. Dan ingatlah kita manusia yang lemah serta memerlukan Allah S.W.T.

Bersangka baiklah dengan Allah S.W.T kerana di sebalik musibah yang menimpa itu ada kebaikan dan hikmah. Allah SWT berfirman;

“Maka mungkin kalian membenci sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”Surah An-Nisa’ 4:19

Hidup tak sama, jalan cerita kita juga berbeza begitu juga dengan musibah yang menimpa. Cara kita menguruskan diri daripada musibah turut berlainan. Hanya satu tujuan yang kita sama-sama kongsikan iaitu berada di syurga yang aman.

Semoga penawar-penawar yang dihidangkan menjadi ubat untuk sentiasa cekal dalam menghadapi segala ujian. Selamat berjuang!

Rujukan;
Ilma Pratidina Suryandari. (2018). Cinta, Syukur & Tafakur. Jawa Timur: CV Azizah Publishing


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami