Gaya Hidup

5 Kelebihan Mengembara Seperti Yang Dikatakan Oleh Imam Syafie

Oleh Natirah Azira  •  10 Nov 2018  •  2 min baca

“Merantaulah engkau dari tanah air dan pergilah, maka pada merantau itu ada lima faedah: mencapai cita-cita dan kejayaan, mata pencarian (nafkah), ilmu pengetahuan, adab tatacara, dan bersahabat dengan orang mulia.”

#1- Mencapai Cita-Cita

Orang yang berhijrah dan mengembara kata Imam Syafie akan memperoleh kejayaan dalam hidupnya. Ini kerana mereka perlu mengusahakan sesuatu yang baru untuk menyara diri sendiri. Berada di tempat orang lebih-lebih lagi jika dalam kelompok minoriti pasti memerlukan usaha yang lebih untuk berjaya.

Pada kesungguhan dan usaha itulah yang akhirnya akan membuahkan hasil untuk dikecapi. Lihatlah beberapa orang yang kita kenali sama ada selebriti, usahawan dan juga ahli akademik yang akhirnya berjaya di tempat orang seperti Yuna, Sheila Hamzah dan juga Nurul Ain yang merupakan seorang penyelidik perubatan berasaskan Kanabis di United Kingdom. Mereka mampu menempa nama walau bukan di gelanggang sendiri.

#2- Mata Pencarian

Berada di tempat orang juga boleh mendatangkan rezeki kepada diri iaitu melalui pekerjaan yang dilakukan. Kadang-kadang sukar untuk mencari pekerjaan di tempat asal, lalu orang mula merantau ke bandar-bandar besar yang punya lebih banyak peluang pekerjaan.

Malah ada yang memilih untuk mengembara ke tempat lebih jauh di luar negara. Jika nilai mata wang di tempat tersebut tinggi, hasilnya pasti lebih lumayan apabila ditukarkan ke mata wang negara asal. Kesenangan yang dikecapi bukan sahaja dapat dirasa oleh orang yang berhijrah bahkan ahli keluarga yang tinggal di tempat asal.

#3- Ilmu Pengetahuan

Kata orang ‘jauh perjalanan, luas pengalaman’. Setiap tempat yang dijejaki pasti punya kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Kembara akan menemukan kita dengan ilmu baru tentang kehidupan, dan memberi peluang kepada kita mencedok sebanyak mungkin ibrah dan teladan.

#4- Adab Dan Tatacara

Tempat-tempat yang dilawati juga tentu ada budaya dan tatacaranya yang tersendiri. Kita akan mula memahami bagaimana bahagian-bahagian dunia ini berfungsi dan bukan hanya tentang tempat sendiri sahaja. Kembara mengajar kita untuk bertoleransi, bantu-membantu serta muafakat dengan orang-orang yang kita temui.

#5- Sahabat

Apabila mengembara ke tempat baru, hubungan persaudaraan dengan orang di sekeliling sangat penting. Jika ada masalah yang menimpa, pasti kita akan lebih mudah mendapatkan pertolongan. Sahabat inilah yang akan menjadi peneman dalam perjalanan, penghibur, juga tempat bercerita hal-hal kehidupan.

“Merantaulah,
Orang berilmu dan beradab, tidak diam beristirahat di kampung halaman,
Tinggalkan negerimu dan hiduplah di negeri orang,

Merantaulah,
Kau kan dapati pengganti dari orang-orang yang kau tinggalkan,
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup kan terasa setelah lelah berjuang”
Petikan Syair Imam As-Syafie


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami