Ibadah

5 Kelebihan Bersedekah Yang Anda Tidak Tahu

Oleh Siti Rahmah  •  22 Apr 2015  •  4 min baca

Daripada Salman al-Farisi ra, Rasulullah saw telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya di hadapan Allah memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong.” Riwayat Tirmizi

Seperti yang diajarkan baginda Rasulullah saw, mintalah. Walaupun bukan meminta untuk diri sendiri, kita masih boleh meminta untuk orang-orang di sekeliling kita; ayah, ibu, abang, kakak, adik, mak cik, pak cik, kawan, pemandu teksi, penjual buku, dan sesiapa sahaja yang dekat dengan kita.

Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita akan menerima. [Dylan]

Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita akan menerima. [Dylan]

Tetapi, ada ketika kita akan keluarkan pernyataan begini, “Aku banyak membuat dosa. Aku orang jahat. Bagaimana aku mahu meminta kepada Allah? Aku malu….”

Saya juga pernah rasa begini, malu hendak meminta kepada Allah yang sangat malu untuk tidak memberi. Pernah, saya langsung tidak menadah tangan dan berdoa kerana terlalu segan dengan dosa sendiri yang menggunung.

Rasa itu berterusan sehinggalah saya menjumpakan sebuah video oleh Ustaz Yusuf Mansur, seorang pendakwah di Indonesia mengenai sedekah. Katanya, “berilah untuk meminta.”

Saya tertanya sendiri, ‘Apa yang dimaksudkan dengan memberi ini? Bagaimana dengan memberi, aku boleh meminta?’ Maka, disampaikan lagi sepotong hadith yang berbunyi, daripada Hadi bin Hatim, Rasulullah saw bersabda:

“Takutlah kamu akan azab neraka walaupun dengan sedekah setengah biji kurma.” Riwayat Imam al-Bukhari

Menungan saya semakin panjang. Selepas itu, Ustaz Yusuf kongsikan lagi mengenai kebaikan sedekah, yang membuatkan saya menangis tersedu-sedu.

#1 – Mendatangkan Keampunan Allah

Saya menangis apabila ustaz sampaikan kebaikan pertama daripada sedekah ini. Berulang-ulang kali, saya memberitahu diri, “Sungguh, aku boleh meminta ampun. Ampunkan aku ya Allah. Ampunkan aku ya Allah.”

Waktu itu juga, saya putuskan menghubungi semua orang yang belum melangsaikan hutang mereka dengan saya. Banyak manapun jumlahnya, saya halalkan semua. Niat saya hanya satu, semoga Allah ampunkan dosa saya.

Setiap kali bersedekah, saya ucapkan dalam hati, ‘Dengan namamu aku beri sedekah ini ya Allah. Aku mohon, ampunkan dosa-dosaku wahai Tuhan yang Maha Pengampun.’

#2 – Mengundang Penambahan Rezeki

Sesudah Allah memberi ampun, maka datanglah rezeki tidak disangka-sangka seperti yang dia janjikan. Ia bukan janji kosong, sebab ia perkara yang Allah janjikan.

Tidak perlu menunggu lama, satu per satu hasrat yang saya pasang untuk tahun 2015 tercapai. Bermula dengan kelulusan manuskrip terbaru, diikuti dengan tempoh penerbitan yang super pantas.

Semuanya benar-benar hal luar jangka. Laluan bagi saya menjadi trainer penulisan juga perlahan-lahan terbuka. Subhanallah!

#3 – Menyembuhkan Penyakit

Sepertimana Allah menjanjikan rezeki tidak tersangka, kesembuhan daripada penyakit luar biasa juga termasuk dalam kategori ini. Rezeki sihat.

Sewaktu bercerita dengan seorang sahabat mengenai sedekah, rakan saya kongsikan sebuah cerita. Katanya, ada seorang sahabat yang mendapat sakit yang rawatannya perlu kepada belanja besar.

Lalu, apabila didengarkan dengan kebaikan sedekah, dengan yakin dia sedekahkan seluruh wang yang dia miliki (asalnya untuk belanja kos perubatan).

Rezeki, tidak lama selepas itu hasil diagnosis sakitnya sudah berkurang satu tahap. Apabila dia menambah jumlah sedekahnya, dengan izin Allah sakitnya langsung sembuh. Saya terdiam mendengar cerita itu. Allah memang hebat!

#4 – Menolak Bala

Ramai yang terlupa, nikmat yang paling besar dalam rezeki adalah diberi kemudahan urusan dan dijauhkan bala. Melalui sedekah, kita menunaikan peranan saudara, iaitu memudahkan urusan orang lain. Maka, Allah membalasnya dengan memudahkan pula urusan kita, jika itu yang Dia kehendaki.

Pernah dengar cerita orang yang terselamat dari kemalangan dahsyat sejurus dia melakukan kebaikan sedekah? Saya yakin, pasti ada.

#5 – Memanjangkan Umur

Dari Amru bin Auf ra katanya Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” Riwayat Bukhari

Alangkah indahnya apabila hati kita bersih daripada sikap sombong, takbur dan bangga diri. Semoga dengan sedekah kita, ia menjauhkan kita daripada penyakit-penyakit hati ini, pada ketika Tuhan rezekikan kita umur yang panjang. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami