Ibadah

5 Kegelapan Yang Diterangi Oleh 5 Cahaya

Oleh Marina  •  22 Aug 2017  •  4 min baca

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.anhu pernah berkata,

“Gelap ada lima dan cahaya penerangnya juga ada lima, iaitu cinta pada dunia adalah gelap dan cahaya penerangnya adalah taqwa. Dosa adalah gelap dan cahaya penerangnya adalah taubat. Kubur adalah gelap dan cahaya penerangnya adalah bacaan ‘Lailaha illallah Muhammad Rasulullah’. Akhirat adalah gelap dan cahaya penerangnya adalah amal soleh. Jambatan di atas neraka adalah gelap dan cahaya penerangnya adalah yakin.”

Berdasarkan kata-kata Saidina Abu Bakar ini, dapatlah disenaraikan bahawasanya lima kegelapan yang dimaksudkan itu antaranya ialah;

#1 – Kecintaan Pada Dunia

Cinta pada dunia ini merangkumi nikmat dunia yang dimiliki oleh seseorang seperti harta, wang ringgit, anak isteri dan kemewahan dunia yang lain sehingga sukar untuk dilepaskan. Kebiasaannya, hal ini menyebabkan seseorang itu takut untuk menghadapi hari kematian. Ini kerana kematian akan memutuskan segala nikmat dunia tersebut.

Tahukah kita, cinta pada dunia ini jika tidak dikawal akan menjadi keburukan dan kegelapan pada diri kita di hari sana nanti. Dan, hanya taqwa kepada Allah SWT sahaja yang mampu menjadi cahaya juga penyelamatnya.

#2 – Dosa

Dosa adalah sesuatu yang ditegah oleh Allah SWT daripada melakukannya. Ia hanya mampu dipadamkan dengan cahaya taubat, sepertimana sabda Nabi SAW;

“Sesungguhnya, seorang hamba apabila telah berbuat dosa, maka diukirkan setitik noda hitam di dalam hatinya. Apabila dia berhenti dan beristighfar serta bertaubat, maka jadi bersihlah hatinya. Jika ia menambah kesalahannya lagi, maka ditambah noda hitam di dalam hatinya hingga noda-noda hitam itu menutupi hatinya dan noda-noda itulah yang dinyatakan oelh Allah SWT dalam firman-nya yang bermaksud, ‘Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka’. – (al-Mutafifin : 14) ” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah, An-Nasaie, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

#3 – Kubur

Kubur adalah tempat yang gelap dan ramai yang gerun bila dibicarakan tentangnya. Tahukah kita, salah satu cara untuk menjadikan kubur kita itu bercahaya adalah dengan kalimah ‘Lailaha illallah Muhammad Rasulullah’.
Hal ini turut dinyatakan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud;

“Sesungguhnya, Allah SWT mengharamkan neraka bagi mereka yang mengucapkan ‘Lailaha illallah Muhammad Rasulullah’ semata-mata mengharapkan redha Allah SWT.”(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

#4 – Akhirat

Adapun rasa takutnya kita dengan hari akhirat dapat dibantu dengan amal-amal soleh yang kita jalani semasa hidup di dunia. Ini kerana kita tidak tahu apakah nasib yang bakal menimpa kelak, selamatkah kita atau sebaliknya?

Maka, amal soleh inilah yang akan menjadi cahaya penerang bagi kegelapan kita di hari akhir sana nanti. Hal ini turut terakam menerusi sabda Baginda SAW seperti berikut;

“Apabila matinya seorang anak Adam, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Oleh itu, semasa hayat ini berlumbalah kita untuk berusaha bersama-sama bagi meningkatkan amal agar tidak menyesal di kemudian hari.

#5 – Jambatan Di Atas Neraka

Jambatan atau titian ini adalah laluan terakhir bagi setiap manusia sebelum menuju ke syurga. Jambatan ini juga dikenali sebagai ‘siratul mustaqim’ yang bermaksud ‘jalan yang lurus’. Titian ini terbentang di atas neraka Jahannam dengan permukaan yang sangat licin, memiliki kait, cakar dan duri sepertimana diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Dari Abu Said al-Khudriy r.a, Nabi SAW bersabda;

“Telah sampai kepadaku bahawa ianya (as-Sirat) lebih halus daripada rambut dan lebih tajam dari pedang.”(Hadis Riwayat Muslim)

Ia akan dilalui oleh setiap makhluk berdasarkan kadar keimanan seseorang ketika hidup di dunia. Dan, penyelamatnya adalah keyakinan kita padanya. Yakin di sini bermaksud kita mempercayai segala perkara yang ghaib dengan menghilangkan perasaan syak dan ragu-ragu.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan pengetahuan kepada kita juga sebagai persediaan untuk menghadapi hari kemudian. Benarlah, bahawasanya kehidupan di dunia ini adalah sementara dan kehidupan akhirat adalah kekal abadi.

Di sanalah tempat untuk kita beristirehat yang sebenar-benarnya. Bak kata pepatah Melayu, “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.”
Moga bermanfaat. Wallahua’lam.

Sumber : Kitab Nashaihul Ibad oleh Imam Nawawi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami