Ibadah

5 Hikmah Anda Bangun Bersahur

Oleh Fazli Abdullah  •  24 May 2019  •  4 min baca

Dalam bulan Ramadan kita dianjurkan dan disunatkan untuk bersahur. Bersahur adalah sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang tidak seharusnya kita tinggalkan.

Makan dan minumlah walaupun sedikit pada ketika itu. Kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan hikmah disebaliknya.

Selain itu, sahur juga sunat untuk dilewatkan. Berbeza pula dengan waktu berbuka puasa. Berbuka puasa haruslah disegerakan dan jangan ditangguh-tangguhkan.

Persoalannya, apakah hikmah di sebalik amalan bersahur? Jom sama-sama kita mengetahui beberapa hikmah dalam amalan bersahur.

#1- Dalam Bersahur Ada Keberkatan

Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Bersahurlah, kerana pada sahur tersebut ada keberkatan.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Menurut Imam al-Nawawi dalam syarahnya mengenai hadis di atas menyebut:

“Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Ulama’ telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ia menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad maknanya. Dan dikatakan: Ditambah pula dengan  perbuatan bangun, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia, iaitu waktu diturunkan rahmat, dimakbulkan doa dan istighfar.”Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim 7/206

#2- Memberikan Tenaga

Di siang hari bulan Ramadan kita juga memerlukan tenaga di dalam badan untuk melakukan aktiviti harian seperti di bulan lain. Namun disebabkan kita tidak dibenarkan makan dan minum maka tahap tenaga kita menjadi kurang.

Oleh sebab itulah, kita disunatkan untuk bersahur sebelum waktu Subuh. Bersahur dapat menampung dan memberi sumber tenaga untuk kita meneruskan puasa pada siang hari. Tidaklah menjadi terlalu letih dan penat.

Insha Allah, bersahur dapat memberi bekalan yang cukup untuk badan kita bagi meneruskan puasa pada hari tersebut.

#3- Melakukan Ibadah Sunat Pada Waktu Sahur

Ketika bangun untuk bersahur, kita mempunyai sedikit masa yang boleh digunakan untuk melakukan ibadah sunat kepada Allah S.W.T.

Ibadah itu tidak bermakna tempoh masanya panjang. Ada ibadah yang cukup ringkas, tidak berat dan boleh diamalkan.

Contoh ibadah ringkas yang boleh dibuat pada waktu bersahur adalah beristighfar. Istighfar tidak memerlukan masa yang banyak. Sekurang-kurangnya tidak sampai seminit untuk beristighfar sepuluh kali. Sebaik-baiknya banyakkan beristighfar pada ketika itu.

Selain itu, banyakkan berdoa kepada Allah S.W.T. Pohonlah apa-apa sahaja permintaan. Insha Allah, doa kita akan dimakbulkan kerana ketika itu termasuk waktu-waktu yang dimustajabkan doa.

Jika ada masa lagi, boleh tambahkan dengan membaca al-Quran dan bersolat Tahajud. Sungguh luas jalan kebaikan yang boleh dibuat ketika itu.

#4- Merasai Kesusahan Hidup Orang Lain

Mungkin kita tidak sedari bahawa bersahur ini mengajar kita sesuatu erti kehidupan kepada kita. Ia mengajar erti pengorbanan insan lain yang ingin meneruskan kehidupan mereka.

Analogi mudah, seorang wanita yang bangun awal untuk membuat nasi lemak. Nasi lemak itu akan dijual di gerai-gerai berdekatan.

Begitulah pengorbanan mereka untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak bangun awal, mereka tidak akan mendapat duit pada hari itu. Dan ia dapat menjejaskan kehidupan mereka. Begitulah kehidupan insan lain yang mungkin kita tidak rasai.

Bersahur telah mengajar kita untuk merasai kesusahan mereka untuk bangun pagi. Walau susah dan mengantuk, mereka tetap meneruskan langkah. Kerana mereka memerlukan sesuap nasi untuk menampung kehidupan mereka. Bersyukurlah dengan apa yang ada.

#5- Baik Untuk Kesihatan

Di awal pagi adalah waktu yang baik untuk kesihatan badan kita. Kita dapat menghirup udara segar yang tidak dicemari.

Selain itu, bersahur dapat menjaga badan kita daripada merasa lemah pada siang hari. Kerana bersahur sudah menyimpan sumber makanan untuk digunakan pada waktu siang hari.

Begitulah bijaksananya Allah S.W.T menyusun segala syariatnya untuk kita semua. Allah S.W.T sudah mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan kita sebagai hambaNya seharusnya sedar bahawa segala yang diperintahNya mempunyai kebaikan yang banyak.

Kesimpulan

Janganlah dirugikan masa dengan hanya tidur sahaja di malam hari. Ambillah sedikit masa untuk bangun dan bersahur. Bersahurlah walaupun hanya seteguk air dan sebiji kurma. Jangan sesekali ditinggalkan seperti yang disebut di atas kerana ia mempunyai keberkatan.

Rebutlah peluang keemasan yang ada selagi kita masih bernafas. Kita tidak tahu mungkin ini adalah Ramadan kita yang terakhir.

Maka buatlah dengan sehabis baik. Dan ketahuilah sesungguhnya setiap kesusahan kita akan mendapat ganjaran di sisiNya. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Ramadan Puasa Dan Iktikaf (Penulis:Muhamad Zuhaili Saiman)
2. Fatwa Mufti


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami