Inspirasi

5 Golongan Yang Berpeluang Mendapat Kecintaan Allah Dengan Mudah

Oleh Natirah Azira  •  2 Aug 2019  •  4 min baca

Apabila ditanya apakah tujuan kita semua diciptakan, maka pasti semua orang bakal mengatakan bahawa untuk menjadi khalifah di muka bumi serta untuk beribadah kepada Allah.

Kemuncak nikmat ibadah yang dilakukan oleh seseorang hamba pula adalah apabila dia mula merasa dekat dengan Allah. Hati tenang dan tenteram, ibadah terjaga, termasuklah urusan harian berjalan dengan baik. Mereka bukan tidak punya masalah, namun masalah dapat dilalui dengan baik.

Persoalannya, apakah kualiti yang perlu ada pada seseorang supaya dia layak dicintai oleh Allah. Hadis di bawah merangkum lima ciri istimewa tersebut.

(Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata;

Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, “Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda.

Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala telah berfirman: “Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaanKu orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaanKu orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaanKu orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaanKu orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaanKu orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'”(HR Ahmad No: 18621) Status Hadis Sahih)

Daripada hadis di atas, dapatlah diringkaskan kepada lima senarai di bawah:

#1- Orang Yang Saling Mencintai Kerana Allah

Al Hasan Al Bashri berkata,

إنَّ أحبَّ عبادِ الله إلى الله الذين يُحببون الله إلى عباده ويُحببون عباد الله إلى الله ، ويسعون في الأرض بالنصيحة

“Sesungguhnya hamba yang dicintai di sisi Allah adalah yang mencintai Allah melalui hambaNya dan mencintai hamba Allah kerana Allah. Di muka bumi, ia pun memberi nasihat pada orang lain.” (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1: 224).

Bererti dia menyayangi orang lain kerana mereka juga adalah hamba Allah. Mereka saling terikat hatinya dalam beragama, ibarat rantaian yang bersambung dan tidak akan sesekali putus.

#2- Saling Merapatkan Hubungan (ukhuwah) Kerana Allah

عَنْ أبْنِ عُمَرَ رَضِى الله عَنْه قَالَ: قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّمَ: الْمُسْلِمُ أَخُوْ الْمُسْلِمِ لا يَضْلِمُهُ ولايخذله وَلا يُسْلِمُهُ

“Diriwayatkan dari Ibnu Umar, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara muslim yang lain. Oleh sebab itu, jangan menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula menyakitinya.” (HR. Ahmad, Bukhori dan Muslim)

#3- Saling Menziarahi Kerana Allah

Amalan kunjung-mengunjungi sangat dianjurkan dalam Islam. Allah mencintai orang yang menziarahi saudaranya walaupun tanpa sebab yang kukuh atau untuk mendapatkan sesuatu. Salah satu hak seorang Muslim kepada saudaranya yang lain juga adalah menziarahi saudaranya ketika sakit.

Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin mengatakan:

والزيارة لها فوائد فمع هذا الأجر العظيم، فهي تؤلف القلوب، وتجمع الناس، وتذكر الناسي، وتنبه الغافل، وتعلم الجاهل، وفيها مصالح كثيرة يعرفها من جربها

“Saling mengunjungi itu memiliki banyak faedah, disamping juga pahala yang besar. Iaitu dapat mempererat ikatan hati-hati manusia, dan mempersatukan mereka. Mengingatkan orang yang lupa dan menggugah orang yang lalai, serta memberi pengajaran kepada orang yang jahil. Dan masih banyak lagi maslahah yang bisa diketahui orang yang mengalaminya” (Syarah Riyadhus Shalihin, 3/243).

#4- Saling Berkorban Untuk Membantu Orang Lain Kerana Allah

Tidak ada contoh yang lebih besar daripada kisah yang pernah berlaku dalam sejarah Islam tentang pengorbanan melainkan tentang persaudaraan antara Kaum Ansar dan juga Muhajirin.

Sekalipun mereka baru mengenali antara satu sama lain, namun kerana cintanya kepada Islam dan saudara seagama, maka golongan Muhajirin sedaya upaya berkorban harta, tempat tinggal bahkan isteri untuk kaum Ansar. Saudara mereka didahulukan berbanding kesenangan dan keperluan diri sendiri.

#5- Saling Bantu-Membantu Kerana Allah

Rasulullah SAW bersabda :

اَلْـمُسْلِمُ أَخُوْ الْـمُسْلِمِ ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ ، وَمَنْ كَانَ فِـيْ حَاجَةِ أَخِيْهِ ، كَانَ اللهُ فِيْ حَاجَتِهِ ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ ، فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًـا ، سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya diganggu orang lain (bahkan ia wajib menolong dan membelanya). Barangsiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah Azza wa Jalla sentiasa akan menolongnya. Barangsiapa melapangkan kesulitan orang Muslim, maka Allah akan melapangkan baginya dari salah satu kesempitan di hari Kiamat dan barangsiapa menutupi (aib) orang Muslim, maka Allah menutupi (aib)nya pada hari Kiamat.

Demikianlah lima kualiti yang akan membuat seseorang itu dicintai Allah. Jalan untuk melakukan kebaikan itu banyak, maka pilihlah paling kurang salah satunya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami