Gaya Hidup

5 Cara Mudah Hidup Dalam Persekitaran Harmoni

Oleh Marina  •  22 Mar 2017  •  3 min baca

Persekitaran sosial sememangnya memberi kesan terhadap proses pembentukan tingkah laku dan peribadi seseorang dalam kehidupan. Tidak mustahillah jika diperhatikan, pelbagai ragam manusia ada di muka bumi ini. Ini kerana, ia mungkin disebabkan faktor persekitaran kehidupan yang dilaluinya.

Jika persekitaran tersebut baik, maka baiklah hasil yang diperolehinya. Justeru itu, di sini dikongsikan beberapa cara mudah bagaimana untuk menjalani kehidupan dalam suasana atau persekitaran yang baik, harmoni di samping menerapkan unsur-unsur Islam di dalamnya.

#1 – Jadikan Rumah Sebagai Tempat Jalinkan Hubungan Dengan Allah s.w.t

‘Rumahku, syurgaku’, tagline yang sering digunakan bagi menggambarkan keadaan rumah yang harmoni dan sejahtera. Pasti anda juga sukakan suasana seperti itu bukan? Mungkin, anda boleh mulakan dengan solat berjemaah sesama ahli keluarga.

Kumpulkan ahli keluarga pada waktu solat yang biasanya mereka semua ada, seperti solat fardu Maghrib dan Isyak. Jika tidak dapat lakukan hal tersebut setiap hari, boleh juga set masa pada setiap hujung minggu. Siapa tahu, ia akan menjadi kebiasaan pada masa akan datang?

Hal ini seperti saranan Rasulullah saw, dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Jadikanlah rumah kalian sebagai tempat solat kalian, jangan jadikan ia sebagai kuburan.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

#2 – Keluarkan Syaitan dari Dalam Rumah

Tugas syaitan adalah untuk menggoda serta menyesatkan manusia, kerana golongan ini adalah musuh yang nyata atau jelas bagi manusia, sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata.”

Justeru itu, ‘keluarkanlah’ syaitan dan sekutu-sekutunya dari dalam rumah anda dengan cara, melazimi amalan-amalan sunnah daripada Nabi s.a.w dalam setiap perbuatan dan tingkah laku seharian, contohnya memberi salam sebelum memasuki rumah.

Hal ini bagi memastikan kehidupan yang harmoni tidak dirosakkan oleh hasutan makhluk terkutuk ini.

#3 – Saling Menghormati, Mempercayai dan Berbuat Baik

Persekitaran yang baik biasanya dihuni oleh mereka yang memiliki keperibadian dan akhlak yang mulia. Sikap saling menghormati, mempercayai antara satu sama lain dan sentiasa berbuat baik amat diperlukan dalam perhubungan sesama manusia.

Mahukah anda hidup berjiran dengan mereka yang bersifat khianat, tidak jujur, talam dua muka dan sentiasa mencari kesalahan orang lain? Jawabnya, sudah tentu tidak.

#4 – Penuhi Tanggungjawab Yang Diamanahkan

Menjalankan tugas, tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita juga menjadi salah satu faktor untuk mewujudkan persekitaran yang baik dan harmoni.

Mengapa? Ini kerana, apabila seseorang itu tidak melaksanakan amanah yang diberikan ke atasnya, biasanya masyarakat sekeliling akan mula memberontak dan mempertikaikan segala perkara yang berkait dengan individu tersebut.

Secara tidak langsung, hal ini menyebabkan komuniti masyarakat berpecah-belah, saling bermusuhan dan berdendam.

Atau contoh mudah, dalam keluarga yang kecil, apabila ada ibu bapa yang berlepas tangan dan tidak mahu menunaikan kewajipannya terhadap keluarga, lambat laun anak dan isteri akan menjadi mangsanya. Lalu, bagaimana ingin merasai persekitaran yang harmoni jika begini keadaannya?

#5 – Mencontohi Kehidupan Rasulullah s.a.w

Rasulullah saw adalah contoh teladan kehidupan manusia yang terbaik. Sejak dari dalam kandungan ibu hingga wafatnya Baginda, segala perbuatan dan perlakuannya bernilai ibadah apabila kita mengikutinya.

Justeru itu, mencontohi kehidupan Baginda saw bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni adalah pilihan yang paling tepat dan bijak. Jika kita tidak mampu mencontohi secara keseluruhan, cukuplah hanya sebahagian sahaja.

Demikianlah, beberapa cara mudah yang boleh dilakukan oleh kita semua dalam mengharmonikan persekitaran di sekeliling. Jika Barat memiliki strategi tersendiri untuk memburukkan Islam di mata dunia, kita juga boleh mengubahnya dengan menonjolkan keindahan Islam melalui keharmonian kehidupan masyarakatnya yang berbilang kaum, bangsa dan warna kulit. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami