Gaya Hidup

5 Bukti Allah Sayangkan Anda

Oleh Fazli Abdullah  •  26 Dec 2018  •  4 min baca

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” Surah Qaf : 16

Allah adalah tuhan kita. Dia tunggal. Tiada dua dan tiada tiga. Dia menciptakan kita sebagai manusia. Dia tidak sama seperti kita. Bahkan Dia dekat dengan hambaNya.

Tetapi manusia sering merasa Allah terlalu jauh dalam hidupnya. Hakikatnya manusia yang jauh dari Allah dan Allah sebenarnya dekat dengan kita. Itu yang perlu kita sedari.

Mungkin 5 bukti kasih sayang Allah kepada kita seperti disenaraikan di bawah akan menyedarkan kita perkara yang sebenar.

#1- Allah Masih Panjangkan Umur Anda

Bersyukur kerana kita masih diberi nafas untuk hari ini. Di waktu pagi tadi, kita dapat mencelikkan lagi mata yang terkatup rapat di malam hari.

Namun, ramai yang tidak melihat inilah antara bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya. Dia memberi peluang untuk kita menambah amal kebaikan.

Dan ketika nafas masih dapat dihembus dan dihirup, kita masih boleh mengucap kata taubat. Kita dapat lagi meminta ampun daripada perbuatan dosa kita. Allah masih mahu menerima taubat kita.

Inilah kenyataannya. Lihatlah pula insan yang lain. Ada yang telah hilang nyawanya dan waktu untuk beramal sudah berakhir. Yang ada hanya menanti pembalasan Allah S.W.T. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur kita hingga ke saat ini.

#2- Kesihatan Tubuh Badan

Beruntungnya kita dikurniakan dengan badan yang sihat tanpa ada penyakit. Ketika cergas inilah kita perlu perbanyakkan melakukan kebaikan.

Badan yang sihat mampu melakukan kerja yang berat, dapat melakukan solat sunat dan pelbagai perkara yang boleh membawa manfaat.

Seharusnya kesihatan ini membuatkan kita lebih bersyukur kepada Allah S.W.T. Allah memberi tenaga yang tidak dimiliki oleh anak kecil dan warga emas.

Kesihatan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kerana kesihatan sungguh mahal harganya. Jika diberi bumi serta isinya juga tidak mampu membayar nilai harga sebuah kesihatan.

Mari ucapkan Alhamdulillah dan jadikan badan sihat yang kita miliki sebagai satu kekuatan untuk membangkitkan lagi kecintaan kita kepada Allah S.W.T.

#3- Kehebatan Doa

Doa adalah pengikat kasih. Saluran rindu dan rintihan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berserah dan meminta semata-mata kepada Allah S.W.T.

Dengan doa, hati kita menjadi puas dan nikmat. Kerana permintaan kita pasti akan dimakbulkan Allah. Jika tidak di dunia, pasti Allah akan mengkabulkan permintaan kita di akhirat sana. Dan jika bukan hari ini mungkin esok Allah akan beri.

Doa adalah senjata orang mukmin yang tajam dan berbisa. Jangan dipandang lekeh kerana doa satu pemberian Allah yang cukup bermakna.

Orang yang berdoa tidak akan merasa lemah kerana dia tahu Allah dekat dengannya. Dia bersangka baik dan pasti Allah tidak mengecewakannya. Inilah kasih sayang Allah. Indah bukan?

#4- Akal Yang Waras

Sedarkah kita dengan akal yang dikurniakan Allah kepada manusia? Akal ini tidak diberi kepada pokok. Ia juga tidak ada pada binatang. Kehadirannya hanya eksklusif kepada manusia.

Dengan akal, kita dapat membezakan mana yang baik dan mana yang batil/salah. Berpandukan dengan ilmu yang benar dan dibantu dengan akal yang waras.

Betapa Allah sayangkan kita. Dengan kehebatan akal, begiitu banyak kehadiran teknologi yang dapat membantu memudahkan kehidupan seharian kita.

Namun ingat, jika kita menganggap akal itu hebat hakikatnya Allah lebih hebat. Kerana Dialah yang menciptakan akal. Jadi bijaklah menggunakan akal dan jangan menyalahgunakannya pada jalan yang salah.

#5- Anugerah Iman Dan Islam

Inilah antara anugerah yang cukup besar dalam kehidupan. Dengan iman dan Islam kita dapat menghadapi kehidupan dengan baik.

Islam menunjukkan peraturan yang segalanya adalah untuk kebaikan dan tiada keburukan kepada kita. Contohnya, Allah haramkan arak kerana untuk menjaga akal kita. Suruhan menutup aurat adalah untuk menjaga maruah kita dan terhindar dari kejahatan manusia.

Jika dilihat dengan mata iman, kita akan mengangguk setuju. Allah tidak pernah menzalimi kita kerana segala yang diberi adalah untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat sana.

Kita beruntung, Allah memberikan rezeki berbentuk iman dan Islam. Ia tidak dijual dan tidak dipasarkan di kedai-kedai. Ia adalah kurniaan Allah untuk hati yang bersinar hidayah.

Kesimpulan

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?”Surah Ar-Rahman :13

Nikmat mana lagi yang ingin kita mungkiri? Allah sudah memberikan kita segalanya. Cuma kita tidak mahu melihat dengan pandangan iman.

Allah tidak pernah zalim. Allah memberi peluang kepada kita di dunia. Dengan akal dan ilmu, kita dapat membezakan sesuatu perkara.

Ya, kita diberi pilihan. Dan pilihan ada pada kita. Mahu jalan ke syurga atau terhumban ke neraka? Semuanya sudah terbuka luas pada diri kita.

Elakkan dari merasa Allah jauh. Sebenarnya Allah teramat dekat. Tetapi kerana hati kita kelam dengan dosa, disebabkan itu hati kita terhijab dan merasa keseorangan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami