Keluarga

5 Aktiviti Rasulullah S.A.W Di Rumah Baginda Yang Boleh Anda Contohi

Oleh Marina  •  5 May 2017  •  3 min baca

Rumah atau tempat tinggal adalah tempat untuk manusia berlindung daripada hujan, teriknya panas matahari, bahaya yang terdapat di luar atau persekitaran. Juga menjadi salah satu keperluan asas bagi setiap manusia.

Rumah juga menjadi tempat untuk seseorang membina keperibadiannya, menggambarkan keluhuran akhlak, budi pekerti dan seumpamanya.

Bagi seorang isteri, rumah adalah ladang untuknya beramal serta berbakti kepada suami tercinta dan anak-anak yang dididiknya.

Bagi seorang suami, rumah umpama istana dan dia adalah raja yang menguasai keseluruhan isi rumahtangga yang dibina bersama permaisuri hatinya dan zuriat yang dikurniakan buat mereka berdua.

Justeru, hati ini tertanya-tanya bagaimana kehidupan Rasulullah s.a.w bersama isteri dan putera-puteri Baginda?

Apakah aktiviti atau kegiatan yang dilakukan oleh Baginda tatkala berada di rumah? Berikut dikongsikan;

#1 – Bersiwak Dan Membaca Doa Sebelum Masuk Ke Dalam Rumah

Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebelum masuk ke dalam rumah Baginda adalah bersiwak kemudian, membaca doa/ ucapan salam kesejahteraan untuk keluarga Baginda. Syuraih bin Hani’ berkata;

“Aku pernah bertanya kepada Aisyah r.anha; ‘Apakah yang pertama sekali dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setiap kali memasuki rumahnya?’ Aisyah r.anha menjawab; ‘Baginda memulainya dengan bersiwak’.”Hadis Riwayat Muslim

#2 – Berdikari

Rasulullah s.a.w tidak membebankan isteri Baginda untuk menguruskan dirinya. Bahkan, Aisyah r.anha pernah ditanya;

“ ‘Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu berada di dalam rumah?’ Aisyah r.anha menjawab; ‘Baginda Nabi s.a.w adalah seorang manusia biasa. Baginda menampal pakaian sendiri, memerah susu dan melayani diri Baginda sendiri’.”Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi

#3 – Membantu Isteri

Kesibukan dengan tanggungjawab sebagai pemimpin umat dan memiliki kedudukan yang mulia tidak menghalang Baginda untuk membantu isteri menjalankan tugas di rumah.

#4 – Bersegera Tunaikan Solat

Diriwayatkan dari Al-Aswad bin Yazid dia berkata;

“Aku pernah bertanya kepada Aisyah r.anha; ‘Apakah yang biasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di dalam rumah?’ Aisyah r.anha menjawab; ‘Baginda biasa membantu keluarga, apabila mendengar seruan azan Baginda segera keluar(untuk menunaikan solat)’.” Hadis Riwayat Muslim

Hal ini secara tidak langsung menjelaskan kepada kita, bahawasanya Baginda tidak pernah menunaikan solat fardhu di rumah kecuali ketika Baginda sedang sakit iaitu demam panas yang membawa kepada kewafatannya.

#5 – Mendirikan Solat-Solat Sunat

Kebiasaan Baginda apabila berada di rumah adalah mendirikan solat sunat, sama ada solat tahajjud, solat dhuha, witir dan lain-lain, bukannya di masjid atau tempat awam.

Ini bagi mengelakkan salah faham umat bahawasanya solat sunat itu hanyalah sunat/digalakkan bukan menjadi kewajipan bagi setiap individu. Aisyah r.anha menceritakan;

“Rasulullah s.a.w biasa mengerjakan solat malam sementara aku tidur melintang di hadapan Baginda. Baginda akan membangunkan aku apabila hendak mengerjakan solat witir.”

Bahkan, Baginda turut berpesan dengan sabdanya;

“Lakukanlah beberapa solat sunat di rumahmu. Janganlah jadikan rumahmu bagaikan kuburan.”Hadis Riwayat Bukhari

Dan, sebenarnya masih banyak lagi perlakuan atau perbuatan Baginda yang boleh kita contohi dalam kehidupan.

Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja. Mudah-mudahan, yang sedikit ini mampu kita ikuti walau sekali seumur hidup. Biarlah sedikit, asalkan ia berterusan. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami