Eksklusif, Tokoh

#46 – Kisah Warak Abu Bakar As-Siddiq Untuk Diteladani

Oleh Fizah Lee  •  9 Nov 2020  •  3 min baca

Siapa yang tidak kenal dengan nama Abu Bakar As-Siddiq, seorang tokoh dan sahabat yang sangat terkenal dengan keperibadiannya yang sentiasa unggul.

Beliau merupakan antara sahabat terawal yang masuk Islam serta sentiasa mempercayai dan membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keimanannya terhadap Islam sangat kukuh dan jitu menjadikan beliau antara sahabat yang paling disegani dan dihormati.

لو وزن إيمان أبي بكر بإيمان أهل الأرض لرجحت كفة أبي بكر

Maksud: “Seandainya keimanan Abu Bakar RA ditimbang (dibandingkan) dengan keimanan penduduk bumi (selain para nabi dan rasul), maka sesungguhnya keimanan beliau lebih berat dibandingkan dengan keimanan penduduk bumi.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawi, 18/378)

Antara peribadi beliau yang sangat dihormati dan sesuai dijadikan teladan ialah tingginya sifat warak dan ketakwaan beliau kepada Allah SWT.

Ada sebuah kisah yang diceritakan mengenai bagaimana beliau sangat menitikberatkan perihal halal dan haram terhadap apa yang dimakannya.

Ia diriwayatkan dari ‘Aisyah RA, bahawa ayahnya, Abu Bakar mempunyai seorang budak yang akan membayar harta atau makanan kepada beliau setiap hari.

Pada suatu hari, budak tersebut telah membawa makanan, kemudian Abu Bakar memakannya, Budak tersebut bertanya kepada Abu Bakar:

“Adakah engkau mengetahui apa yang engkau makan ini?”

Abu Bakar kemudian bertanya kepadanya: “Dari mana kamu mendapatkan makanan ini?”

Budak itu pun menceritakan: “Dulu, sewaktu di zaman jahiliyah, aku pernah melakukan amalan menilik nasib padahal aku tidak mahir dalam bidang tersebut. Kemudian, ada seorang lelaki yang datang kepadaku dan aku telah menipu beliau. Hari ini, aku menjumpainya kembali dan orang tersebut memberiku hadiah (makanan). Dan ia adalah apa yang anda sedang makan itu.”

Setelah mendengar cerita tersebut, Abu Bakar kemudian memasukkan jarinya ke dalam mulut dan berusaha memuntahkan kembali apa yang diamakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3629)

Kisah ini memperlihatkan kepada kita bahawa ketakwaan Abu Bakar As-Siddiq adalah termasuk dengan berhati-hati terhadap apa yang dimakannya serta amat menitikberatkan perihal halal dan haram.

Maksud: “Barangsiapa yang menjaga diri dari hal-hal yang samar (belum jelas status halal dan haramnya), maka sungguh dia telah menjaga kesucian agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjerumus ke dalam hal-hal yang samar tersebut, maka ia bermakna dia telah terjerumus ke dalam perkara yang haram (dilarang dalam Islam).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1599)

Sikap warak ini bukan sahaja terhadap ibadah atau peribadi yang dilakukan, namun meliputi semua aspek. Ia adalah antara perkara yang akan memberi kesan kepada diri kita sendiri.

Jika apa yang kita makan itu halal dan baik, maka daging yang tumbuh dalam diri kita juga adalah yang baik dan akan memberi kesan kepada perbuatan kita.

Namun, jika apa yang kita makan itu adalah dari yang syubhah (was-was) atau haram, maka begitulah juga sebaliknya.

Disebabkan itu, kita sentiasa dipesan untuk sentiasa menitikberatkan sumber yang akan masuk ke dalam tubuh badan kita.

Wallahu a’alam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami