Gaya Hidup

4 Perkara Yang Boleh Menyebabkan Rezeki Tertunda

Oleh Fizah Lee  •  5 Nov 2020  •  3 min baca

Setiap manusia sudah dijanjikan rezekinya dari Allah SWT sejak azali lagi. Namun, itu tidak menjadikan tiket untuk kita hanya duduk di tangga sambil menunggu rezeki jatuh ke langit.

Menjadi tugas dan tanggungjawab setiap manusia untuk berusaha dan berdoa agar kehidupan kita dilimpahi dengan rezeki yang berkat dan tidak putus. Itu adalah salah satu cara yang boleh dilakukan agar Allah sentiasa mempermudahkan urusan kita untuk mencari rezeki.

Walau bagaimanapun, mungkin ada dalam kalangan kita yang tertanya, apa yang mungkin menyebabkan rezeki kita lambat sampai atau kadang-kadang sukar untuk diperoleh?

Sebenarnya, tiada istilah rezeki lambat sampai kerana setiap hari pasti ada sahaja nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sama ada dari segi kesihatan mahupun kelapangan masa.

Namun, ada perkara yang perlu diteliti agar rezeki yang kita pohon seperti mendapat kerja yang baik atau gaji yang berkat sentiasa mengalir dalam kehidupan kita.

Kerana mungkin, ada beberapa perkara yang tanpa sedar sedang berlaku dalam rutin hidup anda sekali gus memberi kesan kepada rezeki. Antaranya;

#1 – Mensia-Siakan Waktu Pagi

Banyak manfaat yang boleh diperoleh pada waktu pagi kerana padanya ada banyak keberkatan.

Adas sebuah kisah pada zaman sahabat (salah seorang sahabat yang meriwayatkan hadis di bawah, iaitu Shokhr bin Wada’ah) menyebut bahawa salah satu kunci kekayaannya adalah dengan membawa barang dagangannya pada waktu pagi.

Beliau adalah seorang pedagang yang sangat kaya raya dan baginya, banyak perkara yang boleh dilakukan pada waktu pagi.

Baginda SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِى فِى بُكُورِهَا

Maksud: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu paginya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2606. Dinukil sahih oleh Syeikh Al-Albani)

#2 – Tidak Menitikberatkan Perihal Solat

Takwa kepada Allah adalah salah satu pintu rezeki. Ia adalah satu bentuk keyakinan bahawa hanya Allah yang berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.

Apabila seseorang bertakwa, ia akan membawa kepada peribadi yang diredai Allah seperti menjaga perihal solat, menitikberatkan yang halal dan haram serta banyak lagi.

Mafhum: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah At-Talaq, 65:2-3)

#3 – Malas

Tiada majikan yang ingin menawarkan pekerjaan jika anda mempunyai sifat malas. Inilah konsep yang perlu difahami. Bagaimana rezeki akan datang kepada anda jika anda malas berusaha?

Ia tidak akan datang bergolek. Disebabkan itu, setiap perkara yang ingin dicapai perlu disertai dengan usaha.

Maksud: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah, tentu kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki. Ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali pada petang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2344)

#4 – Tidak amanah

Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa tidak amanah merupakan salah satu ciri orang munafik. Mengapa? Kerana setiap amanah yang diberikan adalah tugas dan tanggungjawab yang perlu digalas dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Jika anda tidak amanah, bagaimana orang sekeliling akan mempercayai anda untuk menggalas sesuatu pekerjaan?

Maksud: “Tiga tanda munafik adalah apabila seseorang itu berkata kemudian dia berbohong; apabila berjanji, diingkari dan apabila diberi amanah, ia tidak menggalasnya dengan baik.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 33)

Kesimpulan

Sifat-sifat yang dinyatakan ini perlu dihindari kerana boleh jadi, ia adalah tembok terbesar yang selama ini menghalang rezeki untuk sampai kepada anda.

Periksa perkara ini dan cuba untuk ubahnya secara perlahan-lahan agar kelak, rezeki boleh datang dengan melimpah ruah kepada anda.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami