Gaya Hidup

4 Kesan Buruk Makan Dari Sumber Yang Haram

Oleh Fizah Lee  •  20 Oct 2020  •  3 min baca

Akhir-akhir ini kecoh di negara kita mengenai sindiket penipuan terbesar yang telah dibanteras oleh pihak berkuasa, iatu Macau Scam.

Kegiatan mereka yang telah lama berleluasa banyak memperdayakan manusia-manusia yang tak bersalah. Ia adalah sebuah jenayah siber yang menghasilkan wang haram sehingga berjuta-juta.

Tetapi entri kali ini bukanlah untuk membincangkan mengenai kegiatan Macau Scam atau hukum-hukumnya tetapi untuk memperlihatkan mengenai padah memakan wang dari hasil yang haram.

Sama ada ia hasil yang kecil atau besar, jika sumbernya haram, maka nilainya adalah haram. Dan Islam sangat menganjurkan umatnya untuk makan dari hasil yang halal.

Mafhum: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah, 2:168)

Rezeki Allah Maha Luas seluas langit dan buminya. Percaya dan yakinlah akan ketetapan Allah terhadap rezeki yang ada. Jika hari ini Allah uji dengan susah yang sedikit, nescaya esok atau lusa pasti Allah akan hadiahkan nikmat yang banyak.

Dan rezeki itu bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Punya rumah utnuk berteduh pun dikira rezeki. Punya keluarga untuk berkasih sayang juga dianggap rezeki serta punya pekerjaan juga adalah rezeki.

Jadi, dalam usaha kita mencukupkan lagi rezeki yang ada, gunalah jalan yang diredai dan halal di sisiNya.

Jika kita memilih jalan yang dimurkainya, pasti Allah akan menunjukkan kesan-kesan buruk di sebaliknya. Antaranya;

#1 – Semangat Untuk Beramal Akan Hilang

Ibnu Katsir RA menyebut bahawa makanan yang halal dan seimbang akan memberi semangat kepada manusia untuk melakukan amalan kebaikan. Bukan itu sahaja, bahkan ia akan menjadikan seseorang itu sentiasa bertenaga untuk mencari rezeki dan meeruskan kelangsungan hidup.

Mafhum: “Wahai rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Menegetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mukminun, 23:51)

#2 – Menjadi Bahan Bakar Api Neraka

Baginda SAW pernah bersabda:

Maksud: “Wahai Ka’ab bin ‘Ujroh, sesungguhnya daging badan yang tumbuh berkembang dari sesuatu yang haram akan berhak dibakar dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 614. Hadis ini dinukil hasan oleh Al-Hafizh Abu Thanir)

#3 – Doa Sukar Dimakbulkan

Maksud: “Ada seorang lelaki yang berjalan jauh; rambutnya kusut, pakaiannya berdebu dan dia menadah tangan ke langit lalu berkata; “Wahai Rabbku! Wahai Rabbku!” Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya juga daripada hasil yang haram. Bagaimana mungkin doanya itu akan dimakbulkan?” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1015)

#4 – Tuhan Akan Menghantarkan Musibah Sebagai Peringatan

Dari Ibnu ‘Abbas RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Apabila telah marak penzinaan dan amalan riba di sesebuah negeri, maka sungguh bahawa penduduk negeri itu telah menghalalkan diri mereka untuk diazab oleh Allah.” (Hadis Riwayat Al-Hakim no. 1859. Ia dinilai hasan oleh Imam Adz-Dzahabi dan Syeikh Al-Albani)

Kesimpulan

Jika anda perasan akan kejayaan tokoh-tokoh Islam dan juga nasihat daripada pakar-pakar motivasi, salah satu perkara yang sangat ditekankan adalah pemakanan.

Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Sebab itu mereka sangat menjaga sumber dan menyeimbangkan gaya kehidupan mereka untuk kesihatan minda dan juga kecerdasan otak.

Ini juga merupakan salah satu bukti bahawa sumber yang halal juga memainkan peranan. Apa yang ada pada tubuh badan kita perlu dititikberatkan agar bukan sahaja mendapat keredaan Allah tetapi untuk meraih kejayaan di dunia dan akhirat.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami