Ibadah

4 Jenis Amalan Yang Masih Boleh Dihubungkan Kepada Si Mati

Oleh Natirah Azira  •  1 Jun 2020  •  4 min baca

Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah hubungannya dengan setiap perkara di dunia kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang pernah diberikan, ilmu yang dimanfaatkan serta anak yang soleh. Itulah pelaburan yang masih bermanfaat sekalipun seseorang itu sudah lagi tidak tinggal di dunia suatu hari nanti.

Berdasarkan maksud hadis di atas, benarkah kita langsung tidak boleh menghulurkan sebarang pahala kebaikan buat mereka di alam barzakh?

Sebenarnya ada beberapa kategori amalan yang boleh disedekahkan yang dibahaskan oleh para ulama.

#1- Pahala Daripada Doa

Menurut ijma ulama, doa buat orang-orang yang sudah mati bermanfaat dan pahala doa tersebut boleh disalurkan kepada mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih duhulu daripada kami.” (Surah Al-Hasyr 59:10)

Malah Rasulullah SAW juga pernah berdoa buat ahli perkuburan Baqi’.

“Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami” (Hadis riwayat Abu Daud dan selainnya)

#2- Pahala Daripada Sedekah

Pahala daripada sedekah juga boleh diniatkan buat orang yang telah meninggal dunia.

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia tanpa sebarang wasiat. Aku berasa dia akan berkata (mewasiatkan) kepadaku agar bersedekah jika dia boleh bercakap. Adakah dia akan mendapat ganjaran jika aku bersedekah dengan diniatkan ke atasnya? Nabi SAW menjawab: Ya.” (Riwayat Muslim, no. 1004)

#3- Pahala Daripada Bacaan Al-Quran

Berkaitan pembacaan Al-Quran, ada sekumpulan ulama yang berselisih pendapat sama ada pahala daripada bacaan Al-Quran sampai kepada si mati ataupun tidak.

Yang masyhur dalam Mazhab Syafie adalah pahala bacaan tersebut tidak sampai. Walau bagaimanapun, pihak yang berpendapat bahawa pahala tersebut sampai adalah seperti Imam Ahmad, segolongan ashab Imam Syafie serta segolongan ulama yang lain.

Bolehlah berdoa selepas selesai membaca Al-Quran dengan niat:

“Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada …… (nama orang yang diniatkan)”.

#4- Pahala Daripada Solat Sunat

Mungkin ada antara kita yang pernah mendengar tentang solat sunat hadiah yang dikatakan boleh dilakukan buat orang yang telah meninggal dunia. Ia dikatakan disandarkan kepada hadis di bawah yang ada terdapat dalam kitab jawi lama seperti Kitab Perukunan Besar yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang ulama Syafie yang berasal daripada Tanah Banjar, Indonesia.

Maksudnya: “Di antaranya (solat sunat) iaitu solat dua rakaat untuk manusia yang telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW pernah bersabda: “Pada malam pertama mayat itu dikebumikan maka keadaan mayat akan berada di dalam keluh kesah. Oleh itu, kasihanilah kamu dengan mengurangkan keluh kesah mayat itu dengan bersedekah. Jika tidak mampu bersedekah, maka solatlah dua rakaat dan bacalah pada setiap rakaat satu kali surah al-Fatihah, satu kali surah al-Takathur, satu kali ayat kursi dan 10 kali surah al-Ikhlas lalu hendaklah dia berdoa sesudah memberi salam dengan doa:

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku telah melakukan solat ini, sedang Engkau Maha Mengetahui apa yang aku maksudkan. Ya Allah! Kirimkanlah pahalanya ke kubur si Fulan bin Fulan, nescaya Allah SWT mengirimkannya pada saat itu juga seribu malaikat ke kuburnya bersama tiap-tiap malaikat itu adanya pada mereka cahaya dan hadiah serta mereka juga turut berbaik-baik dengan mereka sehingga ditiup akan sangkakala.” [Lihat: Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, (1/107)]

Walau bagaimanapun, hadis di atas tidak dicatatkan sanadnya. Memang ia turut dinukilkan oleh Syeikh Al-Hakkari, seorang sufi yang dinilai zuhud dalam kitabnya namun Ibn Asakir berpendapat bahawa beliau tidak thiqah dalam meriwayatkan hadis. Hadis tersebut juga tidak pernah disebut oleh para fuqaha dalam kitab-kitab fiqh Mazhab Imam al-Syafie.

Solat Sunat Yang Diterima

Manakala solat sunat yang boleh disedekahkan pahalanya buat si mati, serta diakui di sisi jumhur ulama seperti Solat Sunat Dhuha, Solat Sunat Rawatib dan Solat Sunat Witir. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (3/426)]

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kita masih boleh berbakti kepada orang yang telah meninggal dunia contohnya ibu bapa, kenalan dan saudara mara menerusi amalan doa, bersedekah dan membaca Al-Quran. Moga-moga pahala yang telah diniatkan itu sampai kepada orang-orang yang kita kasihi itu. InsyaAllah.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami