Gaya Hidup

4 Cara Untuk Menukar Nasib Anda

Oleh Natirah Azira  •  4 Apr 2019  •  3 min baca

Sering kita mendengar keluhan-keluhan orang di sekeliling tentang keadaan hidup masing-masing. Ada yang ingin mengubah cara hidup, taraf ekonomi, malah ada juga yang mahu mengubah persekitaran tempat tinggal mereka. Tapi persoalannya nak mula dari mana? Mari kami tunjukkan caranya.

#1- Tukar Tabiat

Cara pertama untuk menukar nasib ialah dengan menukar tabiat. Pertama sekali buat analisis ke atas diri sendiri dan juga kehidupan anda – apakah tabiat negatif yang masih dilakukan yang membantutkan usaha anda untuk mengubah nasib.

Adakah banyak memberi alasan?

Adakah cepat berputus asa?

Adakah berlengah-lengah?

Jika anda sudah dapat mengenal pasti tabiat yang ingin diubah, barulah anda dapat menyusun strategi seterusnya. Jika tidak berjaya, ubah lagi strategi sehinggalah ia bersesuaian dengan diri sendiri.

#2- Tukar Bahan Bacaan

Apa yang dibaca mempengaruhi cara fikir dan cara bertindak seseorang. Maka apa kata mula tukar nasib anda dengan menukar bahan bacaan. Upgrade bahan bacaan anda. Jika apa yang anda suka baca 10 tahun dahulu masih sama dengan apa yang dibaca sekarang, dan langsung tidak ada apa-apa yang berubah, maka ada sesuatu yang perlu diperiksa semula.

Ini bukan bermakna anda perlu meninggalkan terus apa yang suka dibaca, namun seimbangkan antara pembacaan ringan dan juga pembacaan berat yang akan menolak anda untuk lebih banyak berfikir.

#3- Tukar (Tambah) Kenalan Yang Positif

‘Tukar’ kenalan yang positif di sini bukan bermaksud membuang kenalan lama namun dengan menambahkan kenalan daripada latar belakang yang pelbagai. Mungkin ada kenalan yang mempunyai latar belakang akademik, sosial, agamawan, ekonomi, perniagaan, undang-undang dan lain-lain.

Ianya akan memudahkan anda untuk tahu perkembangan dalam bidang-bidang tersebut dengan lebih baik. Hal ini juga dapat membantu anda menjadi seorang yang ‘resourceful’ , seorang yang cepat dan mudah mencari jalan penyelesaian jika berhadapan dengan sebarang masalah.

#4- Tukar Cara Fikir

Pengkaji dalam bidang psikologi, Martin Seligman pernah berkata bahawa manusia banyak berhadapan dengan konflik dan masalah dalam hidup disebabkan tiga perkara.

Pertama kerana apabila masalah berlaku, seseorang itu cenderung untuk menyalahkan diri sendiri.

Kedua, apabila masalah berlaku, seseorang itu cenderung untuk merasakan bahawa ianya akan memberi impak kepada seluruh kehidupannya. Contoh, seorang pekerja yang dimarahi majikan pada suatu hari kerana satu kesalahan, tetapi dia berfikir bahawa ia telah memberi kesan kepada semua perkaradi tempat kerja. Atau seorang pelajar yang tidak lulus satu mata pelajaran, tetapi merasakan bahawa masa hadapannya sudah kelam.

Ketiga, apabila masalah berlaku, seseorang itu cenderung untuk merasakan bahawa ianya mustahil untuk diselesaikan atau, dia percaya akan menghadapi masalah tersebut selama-lamanya.

Ketiga-tiga cara berfikir ini lah yang selalu memerangkap manusia dengan masalah, tanpa sedar. Maka dengan mengetahui ‘perangkap’ di atas, kita akan lebih faham dengan cara berfikir, dan dapat mengelakkannya apabila ia terjadi.

Langkah yang diberikan di atas tidak semestinya dilakukan mengikut turutan. Anda boleh sahaja bermula dari mana-mana. Hakikatnya satu perubahan yang dilakukan secara berterusan dalam hidup meskipun kecil akan memberi kesan kepada aspek hidup yang lain.

Contohnya, dengan menukar bahan bacaan akan memberi kesan kepada ‘penukaran’ cara fikir seterusnya ‘penukaran’ tindakan. Percayalah, tanpa anda sedar, dengan hanya menukar satu perkara akan membuatkan hidup dan nasib anda bertukar!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami