Gaya Hidup

4 Cara Untuk Meningkatkan Keyakinan Terhadap Diri Sendiri

Oleh Natirah Azira  •  4 Oct 2019  •  3 min baca

Apabila sebut tentang konfiden, selalunya kita akan membayangkan orang yang berani dan tidak ada perasaan takut apabila melakukan sesuatu. Segalanya nampak mudah bagi mereka.

Ada pengkaji yang berpendapat bahawa keyakinan (confidence) adalah rasa percaya kepada diri sendiri untuk menghadapi sesuatu situasi dengan jayanya. Mereka adalah individu yang percaya kepada pertimbangan yang dibuat, dan kemampuan untuk melakukan sesuatu. Albert Bandura, seorang pakar psikologi klasik pula menyebutkan bahawa keyakinan adalah rasa yakin bahawa seseorang dapat mengawal dan mempengaruhi apa yang terjadi dalam hidupnya.

Tidak ada satu definisi yang paling tepat bagi menerangkan apa itu konfiden atau keyakinan sebenarnya. Kadang-kadang, ada orang yang yakin dalam satu-satu situasi tetapi tidak yakin dalam situasi yang lain. Namun ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan rasa yakin kepada diri sendiri.

#1- Belajar Menghadapi Hal Yang Membuatkan Diri Rasa Tidak Selesa Atau Takut

Selalunya apabila kita rasa mampu mengawal suatu situasi atau keadaan, maka kita tidak berasa takut. Ia seolah-olah berada dalam genggaman kita. Kata orang, ‘kacang’ sahaja. Kita berada di dalam zon selesa. Kita tidak perlu mengubah apa-apa.

Tetapi apabila kita berasa takut, sebenarnya ia lebih kepada perasaan tidak mampu mengawal keadaan tersebut, mungkin kerana ia sesuatu perkara di luar kebiasaan dan yang tidak pernah dihadapi. Dalam keadaan ini, kita tidak menggunakan fikiran yang rasional dan membiarkan emosi menjadi ‘pemandu’ dan mengawal fikiran.

#2- Kekalkan Rasa Ingin Tahu

Rasa ingin tahu atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘curious’ ibarat kunci yang akan sentiasa membuka ruang yang baru dalam hidup kita. Apabila kita rasa ingin tahu tentang sesuatu, kita akan mula bertanya dan mencari jalan.

Ia akan menjadikan hidup kita sentiasa bertambah baik dan tidak membosankan, fikiran pula akan kekal aktif setiap hari.

#3- Gantikan Pemikiran Yang Negatif Dengan Positif

Sesetengah orang berasa bahawa terlalu sukar untuk mengubah cara fikir mereka. Namun, minda manusia sebenarnya bersifat fleksibel dan boleh beradaptasi dengan perkara baru. Apa kata cuba trick di bawah.

“Setiap kali ada gangguan fikiran negatif yang tiba-tiba muncul, cuba fikir juga satu perkara lain yang positif tentang perkara tersebut.

Fikirkan perkara positif tersebut dalam tempoh 30 saat sebelum berfikir tentang perkara lain”

Aktiviti ini perlu sentiasa dilakukan agar pada masa akan datang, ia menjadi satu proses yang automatik.

#4- Cabar Suara Hati Sendiri

“Saya memang tidak mampu menyelesaikan tugasan ini”

Itu adalah contoh suara hati yang negatif. Anda mempunyai pilihan sama ada untuk menyerah dan mengiakan suara hati tersebut, atau anda ingin mencabarnya. Caranya adalah dengan mempersoalkan kembali.

“Saya tidak mampu atau saya takut?”

“Adakah saya hanya berfikir daripada sudut yang negatif sahaja?”

“Adakah saya adil dan memberi diri sendiri ruang untuk mencuba”

Teknik sebegini selalu digunakan dalam sesi terapi bagi menukar semula fikiran negatif yang automatik kepada fikiran positif. Kita cuba untuk mempersoalkan semula fikiran negatif tersebut supaya cara fikir lebih seimbang dan tidak berat sebelah.

Semoga para pembaca mendapat manfaat daripada perkongsian kali. Tzkrh ingin mengakhiri dengan kata-kata daripada Helen Keller, seorang guru yang buta dan tidak dapat mendengar tetapi terus berjuang memaknakan hidupnya dan orang lain.

“Never bend your head.
Always hold it high.
Look the world straight in the eye” – Helen Keller


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami