Keluarga

4 Ayat Penerang Hati Dari Al-Quran Boleh Diamalkan Untuk Anak-Anak

Oleh Marina  •  3 May 2017  •  4 min baca

“Ibu, kakak dah belajar sungguh-sungguh tapi kenapa result masih sama. Sedihlah.”

“Bakar, anak sulung kau tu nakal betul ya. Ada ke patut dia curi selipar di masjid tempoh hari masa orang lain solat Jumaat.”

“Maria, awak ada tips tak untuk bagi anak-anak mudah masuk apa yang mereka belajar di sekolah?”

“Ayah, kenapa Allah jadikan adik tak macam orang lain yang pandai dan bijak. Adik teringin nak jadi macamtu.”

Allah, runtun dan sebak hati ini jika kita diajukan persoalan, pertanyaan atau rungutan seperti perkara di atas. Pernahkah anda diajukan hal sebegini? Bagaimana anda menghadapi situasi tersebut? Apa yang anda katakan kepada mereka? Bagaimana sikap anda terhadap mereka?

Tahukah kita, Al-Quran ada solusinya. Sebagai ibu bapa, guru, rakan atau saudara semuslim, kita boleh amalkan perkara ini untuk memberi dorongan, rangsangan mahupun semangat buat mereka agar tidak berputus asa. Berikut dikongsikan beberapa doa dalam Al-Quran yang boleh diamalkan sebagai penerang hati kita dan mereka yang memerlukan.

#1 – Surah Taha Ayat 25-28

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku, dan lepaskanlah kelu lidahku agar mereka memahami segala perkataanku.”

Ini adalah doa Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar dadanya dilapangkan untuk menghadapi Firaun yang terkenal sebagai raja yang zalim dan kejam. Doa ini boleh diamalkan buat mereka yang berasa gelisah, ketakutan, gugup untuk bercakap di khalayak dan berasa sempit dalam kehidupan.

#2 – Surah An-Nur Ayat 35

“Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati, iaitu pohon zaitun yang tumbuh di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

#3 – Surah Al-Anbiya’ Ayat 79

“Maka, Kami memberikan pengertian kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat), dan kepada masing-masing Kami berikan hikmah dan ilmu, dan Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan, Kamilah yang melakukannya.”

Ayat ini terdapat dalam kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS tatkala keduanya sedang mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam kalangan umatnya ketika itu. Lalu, Allah SWT campakkan kefahaman, hikmah dan ilmu kepada Nabi Sulaiman AS untuk memutuskan hal tersebut secara adil dan saksama.

#4 – Surah Al-Insyirah Ayat 1-8

“Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)? Dan, Kami telah menurunkan bebanmu darimu yang memberatkan punggungmu dan Kami tinggikan sebutan (namamu) bagimu. Maka, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan. Maka, apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain), dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.”

Ayat ini diajukan kepada Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah menghilangkan segala kesusahan yang dipikul oleh Baginda Nabi SAW ketika berdakwah dan menyampaikan risalah-Nya.

Apapun yang kita usahakan, biarlah segala hasilnya terserah kepada Allah SWT. Tawakal kepada-Nya. Berdoalah sebanyak dan sekerapnya khusus buat anak-anak yang bermasalah, tidak mendengar kata, kurang dari segi akademik atau apa jua permasalahan yang melibatkan mereka.

Mudah-mudahan, doa yang dipanjatkan khusus buat anak-anak sampai ke hati mereka dan secara tidak langsung akan dapat mengubah sikap mahupun potensi diri mereka sendiri.

Jika bukan hari ini, mungkin esok hasilnya. Jika bukan esok, mungkin sebulan akan datang. Jika tidak sebulan, mungkin selepas bertahun-tahun. Makbul atau tidak doa tersebut, biarlah atas urusan-Nya. Istiqomahlah dalam berdoa demi kebaikan anak-anak.

Mungkin, setelah kita tiada nanti anak-anak akan membesar menjadi individu yang berjaya berkat doa kita tanpa putus dan jemu dahulu. Bersangka baiklah dengan setiap aturan-Nya. Fikir yang baik-baik, insya-Allah yang datang juga akan baik-baik. Wallahua’lam.

*Rujuk Al-Quran untuk bacaan dalam Jawi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami