Inspirasi

33 Tahun Berguru, Hanya 8 Perkara Ini Yang Dipelajari Oleh Hatim Al-Asham

Oleh Natirah Azira  •  10 Aug 2020  •  4 min baca

Seorang lelaki bernama Hatim Al-Asham pernah ditanya oleh gurunya, Syeikh Syaqiq al-Balkhi tentang apa yang telah dipelajarinya dalam tempoh 33 tahun menuntut ilmu daripadanya.

“Sudah berapa lama kamu belajar denganku?”

Jawab Hatim, “Tiga puluh tahun, guru.”

“Berapa banyak ilmu yang kamu petik?”

“Hanya lapan masalah sahaja.”

Gurunya terkejut lantas berkata, “Inna lillahi wainna ilaihi raji’un. Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?”

Jawab Hatim: “Benar guru. Saya tidak berdusta.”

Gurunya berkata, “Sila nyatakan lapan masalah tersebut.”. Lalu Hatim pon menyenaraikan 8 perkara seperti di bawah.

#1- Menjadikan Amal Kebaikan Sebagai Peneman

Pertama, aku memperhati seluruh manusia. Kemudian aku dapati masing-masing daripada mereka mencintai kekasihnya. Dia bersama kekasihnya tersebut sehingga sampai di kubur. Namun, ketika dia sudah sampai kubur, maka kekasihnya justeru berpaling darinya.

Maka aku jadikan amal-amal kebaikan sebagai kekasihku. Sehingga, ketika aku masuk kubur, maka amal kebaikan tersebut akan ikut bersamaku.

#2- Mendidik Nafsu

Kedua, aku memperhatikan firman Allah SWT:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ

فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (Surah al-Nazi’at 79:40-41)

Maka, aku yakin bahawa sesungguhnya firman Allah SWT adalah benar. Oleh itu, aku memaksa nafsuku untuk menolak hawa (kesenangan) sehingga nafsuku tenang untuk taat kepada Allah SWT.

#3- Menyerahkan Segala Yang Berharga Kepada Allah

Ketiga, sesungguhnya aku memperhatikan seluruh manusia. Aku melihat setiap orang yang memiliki sesuatu yang berharga dan bernilai, maka dia akan menjaganya agar tidak hilang. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّـهِ بَاقٍ

Maksudnya: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal.” (Surah al-Nahl, 16:96)

Dari situ, apabila aku memiliki sesuatu yang berharga, maka segera sahaja aku serahkan kepada Allah, agar barang milikku tetap terjaga bersamaNya tidak hilang.

#4- Mengutamakan Taqwa Berbanding Harta

Keempat, sesungguhnya aku memerhatikan seluruh manusia. Aku melihat bahawa masing-masing dari mereka kembali kepada harta, keturunan mulia, pangkat dan nasabnya. Aku renungkannya, ternyata semua itu tidak ada ertinya. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat, 49:13)

#5- Meninggalkan Sifat Dengki Dan Iri Hati

Kelima, aku memperhatikan seluruh manusia. Sebahagian dari mereka mencela sebahagian yang lain, dan sebahagian dari mereka melaknat sebahagian yang lain. Aku tahu penyebab utamanya adalah sifat dengki dan iri hati. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita)…” (Surah al-Zukhruf, 43:32)

Maka aku kemudian meninggalkan sifat dengki dan iri hati serta menghindar dari manusia. Kerana aku tahu bahawa pembahagian rezeki itu benar-benar dari Allah SWT yang menjadikanku tidak patut memusuhi dan iri hati kepada orang lain.

#6- Tidak Memusuhi Orang Lain

Keenam, aku memerhatikan manusia. Sebahagian dari mereka menganiaya dan berbuat zalim pada sebahagian yang lain. Dan sebahagian dari mereka memerangi sebahagian yang lain. Kemudian aku kembali kepada firman SWT:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya)…” (Surah Fatir, 35:6)

Maka aku menghindari dari memusuhi orang lain dan sebaliknya aku berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan.

Kerana sesungguhnya Allah SWT telah bersaksi bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuhku. Oleh itu, aku tidak memusuhi makhluk selain syaitan.

#7- Tidak Menggadaikan Iman Dan Ketaatan Kerana Harta

Ketujuh, aku memperhatikan manusia dan aku dapati masing-masing menghinakan diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan ada di antara mereka yang sampai berani melanggar sesuatu yang tidak halal. Kemudian aku melihat firman Allah SWT:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا

Maksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya…” (Surah Hud, 11:6)

Maka aku yakin bahawa sesungguhnya aku merupakan salah satu daripada dawwab (makhluk hidup) ini yang ditanggung rezekinya oleh Allah. Maka aku sibukkan diriku dengan apa yang menjadi hak Allah SWT atas diriku, dan aku menyerahkan apa yang menjadi hakku di sisi-Nya.

#8- Berserah Diri Kepada Allah (Bertawakkal)

Kelapan, aku melihat manusia menyerahkan diri dan bertawakkal kepada makhluk. Sebahagian tawakkal pada kebunnya, sebahagian lagi tawakkal pada barang dagangannya, sebahagian lain tawakkal pada pekerjaannya, dan sebahagian lain lagi bergantung pada kesihatan badannya.

Semua makhluk bertawakkal pada makhluk yang lain yang sama lemahnya dengannya. Kemudian aku kembali pada firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…” (Surah al-Talaq, 65:3)

Maka aku berserah diri kepada Allah SWT. Aku yakin Allahlah Tuhan yang akan mencukupkan segala keperluanku.

(Setelah mendengar huraian Hatim) Syaqiq berkata “Semoga Allah memberimu taufik. Aku telah telah melihat Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Qur’an) ternyata semua kitab itu membahas kelapan-lapan persoalan ini. Oleh kerana itu, barangsiapa mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat kitab tersebut.”

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami