Gaya Hidup, Ibadah

3 Pesanan Penting Daripada Rasulullah Tentang Urusan Dunia

Oleh Natirah Azira  •  16 Apr 2019  •  4 min baca

Urusan di dunia tidak dinafikan memang sangat banyak – bermula daripada kita mula mengenal dunia sehinggalah kita menginjak usia dewasa. Bermula daripada kita mula membuka mata di hari yang baru, sehingga kita menutup mata semula untuk tidur pada waktu malam.

Bagi membantu kita mengharungi kehidupan ini, Rasulullah SAW telah menyebutkan tiga pesanan penting yang terkandung dalam hadis di bawah.

Dari Abu Ayub Al Anshari R.anhu dia berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي وَأَوْجِزْ قَالَ إِذَا قُمْتَ فِي صَلَاتِكَ فَصَلِّ صَلَاةَ مُوَدِّعٍ وَلَا تَكَلَّمْ بِكَلَامٍ تَعْتَذِرُ مِنْهُ وَأَجْمِعْ الْيَأْسَ عَمَّا فِي أَيْدِي النَّاسِ

“Seorang lelaki menemui Nabi SAW lalu berkata: “Ya Rasulullah, berilah aku nasihat yang ringkas.” Maka baginda SAW bersabda: “Jika kamu hendak melaksanakan solat, maka solatlahlah seperti solatnya orang yang hendak meninggalkan (dunia). Jangan berbicara dengan satu perkataan yang akan membuatmu meminta maaf kerana ucapan itu. Dan perbanyaklah rasa putus asa terhadap apa yang ada ditangan orang lain.”

(Dikeluarkan oleh Ahmad (5/412), Ibnu Majah (4171), Abu Nu’aim dalam Al Hilyah (1/462) Al Mizzi (19/347) dan Lihat Ash-Shahihah, 401 – Hadis Hasan)

#1- Solat Seperti Akan Meninggalkan Dunia (Solat Yang Terakhir)

Saya pasti ini bukan pertama kali anda membaca tentang hal ini – iaitu anjuran untuk bersolat seolah-olah itulah solat terakhir yang akan dilakukan. Tetapi mari kita fikir dengan lebih teliti, bagaimana agaknya cara solat orang yang akan meninggalkan dunia?

Solatnya pasti dijaga sebaik mungkin, bermula dari mengambil wuduk, menjaga niat, rukun, kesempurnaan pergerakan dan sebagainya. Solat dilakukan dengan penuh hati-hati bagi mencapai rasa khusyuk.

Minda kita biasanya terganggu dengan urusan-urusan yang menunggu untuk diselesaikan selepas solat. Banyak tips yang diberikan tentang cara untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Antara yang biasa disebut oleh ramai orang seperti – memahami bacaan solat dan mengambil masa untuk bertenang sebelum solat.

Namun ada satu lagi tips yang agak menarik, iaitu dengan mengganggap bahawa sudah tidak ada kehidupan lagi yang akan dilalui setelah solat. Kita benar-benar menganggap bahawa itulah solat terakhir yang akan dilakukan. Yang menunggu setelah itu adalah kematian. Tumpuan diberikan sepenuhnya hanya kepada solat yang sedang didirikan.

InsyaAllah dengan latihan, lama-kelamaan kita akan terbiasa melatih diri berfikir bahawa itulah solat yang terakhir yang dilakukan.

#2- Jangan Mengeluarkan Kata-Kata Yang Akan Disesali Di Kemudian Hari

Nasihat kedua ini mampu menyelamatkan banyak hubungan seperti hubungan perkahwinan, hubungan kekeluargaan dan juga persahabatan. Dengan menjaga lidah, maka kita boleh menyelamatkan banyak perkara.

Orang biasanya kurang mengambil berat dengan apa yang diucapkan kerana menganggap bahawa ianya tidak akan memberi kesan kepada mereka yang mendengar. Fikir kita, jika ianya memberi kesan yang buruk, maka esok masih ada untuk kita meminta maaf. Kita mengira bahawa kita masih mempunyai masa yang cukup untuk membetulkan kesilapan.

Jika mampu dilihat, masa yang ada barangkali umpama bom jangka yang setiap masa berdetik. Setiap orang mempunyai bom jangka masing-masing, dan sampai ke detik yang terakhir, ia akan meletup, kita akan mati dan tidak dapat lagi membetulkan apa-apa kesilapan lagi.

#3– Jangan Iri Hati Atau Tertekan Dengan Apa Yang Ada Pada Orang Lain

Ia bukan bermakna bahawa kita tidak boleh mengharapkan apa-apa daripada dunia, sebaliknya kita dianjurkan supaya melakukan usaha yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan – iaitu bersikap dengan sikap ihsan. Kita perlu hidup dengan penuh semangat untuk memajukan hidup ke arah yang lebih baik.

Namun apa yang dimaksudkan di sini ialah – jangan sampai apa yang orang lain miliki (yang tidak kita dapat) membuatkan kita sedih, iri hati, stres, sehingga kita berasa tidak bersyukur dengan apa yang ada. Sehingga akhirnya ia membuatkan kita tidak dapat menumpukan perhatian kepada diri sendiri. Kita membandingkan diri sendiri dengan orang lain dengan cara yang negatif dan tidak sihat.

Apa pula impaknya? Jika kita sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang kita ada di dunia, maka kita tidak akan dapat menumpukan kepada apa yang ingin dicapai untuk akhirat.

Mengapa? Kerana fikiran dan perhatian kita hanya disesakkan dengan hal-hal dunia, sehingga menjejaskan hal yang lain seperti hubungan dengan Allah, kekhusyukan dalam ibadah dan sebagainya.

Daripada keterangan di atas, maka dapat dilihat betapa pentingnya tiga perkara yang terkandung dalam hadis Nabi tersebut; solat, kata-kata dan juga rasa syukur. Setiap satunya merupakan komponen yang mudah namun dapat memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan di dunia seterusnya di akhirat. Semoga dengan menjaga tiga perkara ini, urusan dunia kita yang lain juga akan turut terjaga.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami