Gaya Hidup

3 Perkara Yang Dibenci Allah

Oleh Fazli Abdullah  •  6 Nov 2018  •  4 min baca

Kita sebagai hamba Allah S.W.T perlulah mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Jangan sesekali mengikut perasaan hati sehingga menyebabkan kebencian Allah S.W.T.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W, ada menyebut 3 perkara yang dibenci oleh Allah S.W.T. Daripada al-Mughirah bin Syu’bah R.A, Nabi Muhammad S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya Allah membenci kepada kamu tiga perkara: ‘Dikatakan dan orang itu berkata’, membuang harta dan banyak bertanya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Mari kita fahami bersama dengan lebih lanjut tentang 3 perkara yang dibenci oleh Allah S.W.T tersebut.

#1- Berkata Perkara Yang Tidak Bermanfaat

Allah tidak suka kita berkata perkara yang tidak membawa apa-apa kebaikan. Contohnya, amat suka dengan perkhabaran yang didengar yang belum tentu benar lalu dicerita semula kepada orang lain.

Tidak pasti perkara itu benar atau salah. Dan perkara yang didengar tidak ada kebaikan sedikitpun kepada kita. Hanya mengisi masa yang terluang (hakikatnya tidak berisi kerana bercakap kosong).

Sebaiknya sebelum bercakap janganlah mudah melontar perkataan yang sia-sia. Setiap perkataan hakikatnya dicatat oleh dua malaikat di kiri dan kanan kita. Setelah itu amalan kita akan dibawa kepada muka pengadilan di hari akhirat.

Berhati-hatilah semasa mengungkapkan sesuatu, takut nanti Allah benci kepada kita. Nauzubillah minzalik. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”Surah An-Nur : 24

2- Membuang Harta

Harta adalah nikmat Allah kepada manusia di atas muka bumi. Harta yang dikurniakan seharusnya digunakan ke jalan kebaikan.

Janganlah membuang harta ke jalan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Membazir menggunakannya dengan membeli perkara yang tidak berguna dan tidak membawa manfaat kepada kehidupan.

Setiap harta yang dikeluarkan akan ditanya dan disoal oleh Allah S.W.T. Di mana sumber harta kita? Harta dihabiskan bertujuan apa? Dan pelbagai persoalan berkaitan harta yang kita ada sekarang.

Sebaiknya sebelum berbelanja, tulis pada satu kertas kecil atau buku kecil yang memuatkan apa keperluan dan keinginan(harus) kita supaya tidak membazir.

Jika ada lebihan duit, eloklah disimpan atau didermakan kepada orang yang memerlukan. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”Surah Al-Baqarah : 265

#3- Banyak Bertanya

Bertanya tidak salah dalam Islam. Dan bertanya dituntut untuk mengetahui sesuatu perkara yang tidak kita tahu supaya kita tidak terus di dalam kejahilan.

Namun, bertanya perlu ada cara dan adabnya. Jangan sewenang-wenangnya bertanya sehingga menyusahkan dan menganggu orang yang ditanya. Serta pertanyaan yang bukan-bukan dan tidak berfaedah.

Jangan jadi seperti peristiwa di zaman Nabi Musa A.S dengan kaum Bani Israil. Untuk mengetahui siapa yang membunuh seseorang di tempat mereka, Nabi Musa menyuruh untuk menyembelih lembu betina untuk mendapatkan jawapannya.

Tetapi Bani Israil terus bertanya, apa sifatnya, apa warnanya, dan pelbagai persoalan yang tidak patut ditanya. Sehingga akhirnya menyusahkan diri mereka sendiri.

Bertanyalah mengikut panduannya dan masa yang sesuai. Jangan terus melulu bertanya soalan yang mempertikaikan hukum Islam dan menyebabkan kebencian Allah.

Selain itu, bertanya bukan mahu menunjuk diri pandai, dan hanya mahu menguji kepada yang ditanya. Sesungguhnya perbuatan tersebut tidak lain adalah bukti kita mempunyai penyakit hati (sombong).

Kesimpulan

Semoga kita terhindar daripada tiga perkara yang dibenci oleh Allah S.W.T seperti yang disebut di atas.

Setiap amalan kita tidak terlepas daripada peraturan Islam. Ada halal, lawannya haram. Ada baik, lawannya buruk. Dan pengakhiran kita, ada syurga dan ada neraka. Sebab itu, kita perlu bijak membuat pilihan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

Ayuh, jangan biarkan Allah membenci kita. Tetapi carilah keredhaanNya dengan amalan yang berguna selagi nafas masih tersisa.
Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Reda Allah (Penulis: Dr Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami