Wanita

3 Lelaki Pencinta Syahid Milik Mujahidah Nusaibah

Oleh Marina  •  22 Jul 2017  •  6 min baca

Nusaibah Binti Ka’ab al-Ansariyyah atau Ummu Ammarah merupakan salah seorang serikandi Islam yang namanya kian dikenali dalam sejarah Islam disebabkan pengorbanan dan sikap keperibadiannya yang cukup mempersona.

Apakah yang telah beliau lakukan sehingga mendapat pengiktirafan sedemikian? Mari kita telusuri sisi kehidupannya serba sedikit.

Suatu hari, Nusaibah berada di dapur manakala suaminya, Said sedang beristirehat di dalam bilik tidurnya. Secara tiba-tiba, terdengar bunyi gemuruh yang cukup kuat. Nusaibah berteka-teki sendirian;

“Barangkali, itu pasti bunyi dari kedatangan tentera musuh.”

Lalu, tanpa berlengah Nusaibah bergegas masuk ke tempat istirehat suaminya dan mengejutkan Said. Dibangunkan suaminya itu dengan kata-kata yang cukup lembut;

“Wahai suamiku sayang, aku mendengar bunyi yang cukup kuat menuju ke Uhud. Mungkin, orang-orang kafir sedang menyerang.”

Said yang mendengar khabar tersebut terus bangkit dari tidurnya dan mengenakan pakaian perang.

Nusaibah yang melihat suaminya mempersiapkan kuda perang lalu menghampirinya dan menghulurkan sebilah pedang kepada Said dan memberi kata semangat kepada suami yang dicintainya;

“Wahai suamiku, bawalah pedang ini. Jangan pulang sebelum menang…”

Said terharu dengan ucapan dorongan dari isteri yang disayanginya itu dan bertambah semangatnya untuk menuju ke medan perang.

Rasulullah s.a.w yang terlihat kelibat Said hanya tersenyum padanya dan senyuman Baginda itu cukup memberikan kekuatan yang padu kepada Said untuk meneruskan langkahnya tanpa ragu-ragu.

Nusaibah yang menjaga kedua orang puteranya iaitu Amar dan Saad kelihatan gelisah dan mundar-mandir di dalam rumah.

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki menunggang kuda yang kelihatan cemas menghampiri kediaman Nusaibah dan menyampaikan berita;

“Wahai wanita muslimah, ini salamnya dari Rasulullah s.a.w. Aku datang kerana ingin mengkhabarkan bahawa suamimu baru sahaja gugur syahid di medan perang.”

Nusaibah tertunduk dan tergamam sebentar lalu berkata;

“Innalillahiwainna ilaihi rojiun… Terima kasih ya Allah, suamiku telah syahid di medan perang membela agamamu.”

Setelah utusan pembawa khabar duka yang membahagiakan itu pergi meninggalkan rumah tersebut, Nusaibah memanggil anaknya Amar yang ketika itu berusia 15 tahun.

Lalu dikatakan pada Amar dengan cukup kasih sayang;

“Wahai anakku, engkau melihat ibumu menangis? Ini bukanlah air mata sedih kerana berita pemergian ayahmu. Ibu sedih kerana tidak punya apa-apa lagi untuk diberikan kepada jalan Allah.”

Nusaibah berkata lagi;

“Mahukah engkau melihat ibumu ini kembali bahagia?”

Amar hanya mengangguk setelah mendengarkan kata-kata ibunya itu walaupun hatinya berdebar-debar kerana dapat mengagak dan memahami maksud yang ingin disampaikan ibunya.

Nusaibah berkata lagi;

“Ambillah kuda di kandang dan bawalah tombak. Pergilah bersama Nabi hingga kaum kafir tertewas.”

Amar berkata;

“Terima kasih, Ibu. Inilah waktu yang aku tunggu sejak dari tadi. Aku was-was seandainya Ibu tidak memberi peluang dan kesempatan kepadaku untuk membela agama Allah.”

Dengan penuh bersemangat, Amar pun melangkah keluar bersama kuda yang ditungganginya itu menuju ke tempat pertempuran.

Riak wajahnya langsung tidak menunjukkan rasa takut. Amar pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu memperkenalkan diri;

“Wahai Rasulullah, aku Amar bin Said. Aku datang untuk menggantikan ayahku yang telah gugur syahid.”

Mendengarkan itu, Rasulullah s.a.w pun lantas memeluk putera Nusaibah itu lalu berkata;

“Engkau adalah pemuda Islam yang sejati, Amar. Semoga Allah s.w.t memberkatimu…”

Pertempuran yang disertai oleh Amar itu cukup sengit sehingga mengorbankan dirinya. Khabar kematian Amar disampaikan oleh seorang utusan kepada ibunya yang menantikan dengan penuh kesabaran.

Setibanya utusan itu di hadapan pintu rumah, Nusaibah bertanya padanya;

“Adakah puteraku telah gugur syahid?”

Berkata utusan tersebut;

“Ya, benar wahai ummu Amar. Anakmu juga turut syahid.”

Nusaibah tertunduk menitiskan air matanya;

“Innalillahi wainna ilaihi rojiun…”

Soal utusan itu;

“Engkau berduka, wahai Ummu Amar?”

Nusaibah menggeleng kepala dan berkata;

“Bukan begitu, aku cukup gembira. Akan tetapi, aku khuatir dan sedih kerana tiada siapa lagi yang akan aku wakafkan untuk bersama Baginda. Saad, puteraku itu masih kanak-kanak lagi.”

Saad yang ketika itu berusia 13 tahun terdengar perbualan ibunya bersama utusan tersebut. Lalu dia pun berkata;

“Wahai ibu, janganlah engkau meremehkan aku. Jika engkau izinkan, aku akan tunjukkan padamu bahawa Saad adalah putera dari seorang ayah yang gagah dan berani.”

Kata-kata Saad cukup memeranjatkan Nusaibah. Dia tidak menyangka anaknya akan berkata demikian. Nusaibah bertanya kepada Saad;

“Engkau tidak takut, wahai anakku?”

Saad yang ketika itu sudah berada di atas kuda terus menggeleng kepala tanda bahawa dia begitu yakin dan berani untuk ikut bersama-sama menyertai pasukan Muslimin ketika itu.

Saad melambaikan tangan ke arah ibunya sambil tersenyum dan bergerak pantas bersama utusan tersebut ke arah tempat pertempuran.

Remaja berusia 13 tahun itu langsung tidak gentar dengan serangan musuh yang mendepaninya. Bahkan, dia cukup tangkas dan menunjukkan kemampuannya di medan peperangan.

Tanpa disedari, terdapat sebilah anak panah yang tertancap di dadanya sehingga menyebabkan Saad tersungkur ke bumi lalu syahid.

Datanglah utusan ke rumah Nusaibah sekali lagi bagi menyampaikan khabar tersebut. Mendengarkan berita itu, Nusaibah agak terkejut lalu berkata;

“Aku sudah tidak punya apa-apa lagi untuk diberikan ke jalan Allah. Tinggal diriku yang tua ini. Izinkanlah aku untuk mengikutmu ke medan perang.”

Jawab utusan itu;

“Tetapi, engkau perempuan wahai ibu…”

Nusaibak berkata lagi;

“Adakah engkau meremehkan aku hanya kerana aku seorang perempuan? Adakah perempuan tidak mahu masuk ke dalam syurga melalui jihad?”

Tanpa berlengah, Nusaibah menuju ke arah Rasulullah s.a.w dan meminta izin daripada Baginda untuk ikut serta dalam peperangan.

Namun, Baginda membalas padanya bahawa kaum wanita masih belum diizinkan untuk berperang.

Namun, masih boleh memperolehi pahala jihad dengan hanya mengumpulkan ubat-ubatan dan merawat tentera yang terkena luka akibat bertempur.

Mendengar penjelasan Baginda, Nusaibah pun segera bersiap dan menjalankan tugas tersebut.

Pernah suatu ketika, tatkala sedang merawat luka tentera muslimin terdapat darah yang memercik akibat perbuatan kaum kafir. Nusaibah yang tidak dapat menahan kemarahan itu lantas mengambil pedang dan menyerang kaum kafir.

Tanpa diduga, pihak musuh yang mengekori gerak-gerinya datang dari arah belakang lalu menyerang Nusaibah sehingga menyebabkan wanita itu jatuh tersungkur.

Usai peperangan, Nusaibah yang terdampar di medan pertempuran ketika itu didatangi Ibnu Mas’ud yang mahu membantunya. Lalu beliau berkata;

“Adakah engkau ini isteri Said?”

Dalam menahan kesakitan itu, Nusaibah sempat bertanya;

“Bagaimana dengan Rasulullah? Adakah Baginda terselamat?”

Ibnu Mas’ud pun menjawab;

“Baginda tidak kurang walau satu pun…”

Mendengarkan penjelasan itu, Nusaibah berasa lega dan akhirnya beliau juga turut syahid. Moga kisah beliau ini menjadi teladan buat kita sebagai umat Muhammad s.a.w yang cinta dan rindu padanya. Sollu alan nabiy. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami