Gaya Hidup

3 Langkah Kecil Menuju SyurgaNya

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  27 Oct 2020  •  4 min baca

Kenikmatan di dunia tidak boleh dibandingkan dengan kenikmatan di syurga. Syurga itu jauh lebih indah seperti namanya juga, Al-Jannah yang meliputi pembalasan, penuh kenikmatan, kesenangan, kelazatan serta kebahagiaan yang ada. 

Bayangkan anda bakal menjadi calon ahli Syurga yang hebat lagi menakjubkan.  Tinggal pula di sebuah singgahsana yang mewah ditambah dengan layanan yang baik. Usia penghuninya juga tidak pernah tua, tiada yang lebih muda dan akan mempunyai kehidupan yang tidak pernah membosankan.

Namun, untuk meraih syurgaNya itu bukan sewenang-wenangnya boleh dimasuki begitu sahaja. Ada syarat dan ‘bayaran’ yang perlu dilakukan, iaitu dengan mentaati perintahNya.

Apabila Allah reda dengan diri kita, maka Dia akan memberikan rahmatNya sekali gus ia akan menjadi kunci utama untuk meraih syurga.

Jadi, entri kali ini akan memberikan beberapa langkah mudah untuk anda meraih syurgaNya.

#1 – Memperbaiki Diri 

Melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang telah dilarang, juga dengan bersungguh-sungguh. Walaupun ia berat, tetaplah berjuang untuk ke arah kebaikan.

Tidak ada manusia yang sempurna. Maka berusahalah sebaik-baiknya untuk menjadi yang terbaik.

Dalam usaha kita memperbaiki diri ke arah kebaikan, ada satu prinsip yang boleh dipegang, iaitu usah menilai orang lain dengan merasakan diri sendiri terlalu baik dan sempurna.

Penilaian yang paling utama adalah terhadap diri sendiri. Allah SWT memandang usaha hambaNya yang cuba untuk mendekati dan terus mencintaiNya.

Sebagaimana daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda;

“Allah tidak memandang rupa zahir dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2564)

#2 – Menuntut Ilmu

Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu dan ia adalah sunnah yang boleh diikuti.

Sebagai manusia yang mendiami bumi ini, kita sendiri perlu berusaha untuk mengambil peluang mempelajari ilmu yang bermanfaat tidak kira ilmu duniawi atau ukhrawi. Ia boleh membantu anda menjadi seseorang yang bercakap berpandukan ilmu dan beramal dengan ilmu.

Sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3914. Dinilai sahih oleh Syeikh Al-Albani)

Ilmu juga membawa diri anda dalam menempuh kehidupan. Disebabkan itu, pendidikan amat penting sejak kecil sehinggalah akhir usia.

Pengorbanan demi mencari ilmu boleh membantu mendekatkan anda dengan kejayaan di masa hadapan. Tidak kira sama ada kejayaan dunia mahupun akhirat.

Dalam masa yang sama, berusahalah untuk menyelami ilmu. Sama ada ilmu agama mahupun bukan, kedua-duanya pemangkin kepada insan yang hebat.

Ketahuilah jua bahawa tanpa ilmu, tiada gunalah amalan yang dilakukan. Ini dapat dikaitkan dengan wasiat daripada Imam Ghazali – “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia.” 

Yang paling penting, berkongsilah ilmu yang dipelajari dengan orang lain agar pahala boleh terus berkekalan. Belajar dan mengajarkan ilmu boleh mengundang kepada keberkatan ilmu.

Apabila ilmu yang bermanfaat dikongsikan kepada ramai orang, di situ ganjaran pahala telah berkumpul. Sedarlah bahawa waktu di dunia pasti akan berakhir tetapi pahala yang mengalir itu akan terus mengalir dengan ilmu bermanfaat yang dicurahkan.

#3 – Menjaga Hubungan

Menjaga hubungan dengan Allah SWT itu nombor satu. Ini kerana Allah SWT akan menjaga anda jika anda memperkukuh hubungan denganNya.

Hubungan dengan pencipta juga yang paling unik kerana ia adalah hubungan yang kekal abadi.

Selepas itu, pastikan hubungan bersama dengan manusia berada dalam keadaan baik. Dalam erti kata lain, menjaga ikatan dengan sesiapa sahaja tidak kira yang masih hidup atau meninggal dunia. Kemudian, berbuat ihsan kepada binatang serta tumbuh-tumbuhan.

Jabir RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda:

“Di syurga ada bilik-bilik yang tersusun dari permata tembus, bila berada di dalam boleh lihat di luarnya. Dari luar pula boleh lihat di dalamnya. Di situ ada kenikmatan, kelazatan dan kebahagiaan yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas dalam hati umat manusia. 

Lalu dia berkata. “Aku tanyakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, bilik itu untuk siapa?”

Baginda pun membalas. “Untuk mereka yang membiasakan memberi salam, memberikan makan, sentiasa puasa dan solat malam sewaktu manusia sedang tidur.”

Ditanyakan lagi kemudiannya. “Wahai Rasulullah, Siapakah yang mampu berbuat demikian?”

Rasulullah menjawab:“Umatku mampu untuk itu. Dan akanku ceritakan kepadamu. Siapa berjumpa dengan saudaranya dan memberinya salam, bermakna dia telah memuliakan salam. Sesiapa yang memberi makan anak dan keluarganya sehingga kenyang, bermakna dia telah memberikan makanan. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan puasa tiga hari setiap bulan bermakna dia membiasakan puasa. Dan sesiapa yang solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, sama seperti telah solat malam.” (Hadis Riwayat Abu Naim)

Kesimpulan

Kehidupan di dunia ini hanya sementara. Kutiplah pahala semasa masih ada masa. Semua orang telah diberikan peluang untuk berusaha menggapai kejayaan.

Mulakan langkah-langkah kecil sebelum mencapai impian. Tidak ada kejayaan yang datang bergolek. Kejayaan untuk memasuki Syurga juga terletak pada pilihan sendiri. Semoga langkah anda menuju ke Syurga dipermudahkan. 

Sumber:
Terjemahan Kitab Mukasyafah Al-Qulub – Imam Al-Ghazali (2008)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami