Gaya Hidup

3 Cara Untuk Menggembirakan Diri Sendiri

Oleh Natirah Azira  •  27 Nov 2018  •  3 min baca

Ketika kanak-kanak, apa yang menggembirakan kita terasa lebih jelas. Belon, ais krim, dan kasut baru sudah boleh membuatkan senyuman kita melebar. Namun semakin kita meningkat dewasa, perkara yang dapat menggembirakan kita seakan semakin kabur.

Atau mungkin makna kegembiraan pada kita sudah berubah. Kita semakin mengerti kegembiraan itu bukan hanya pada apa yang boleh dilihat dengan mata tetapi apa yang terasa di hati. Kegembiraan juga sebenarnya boleh diusahakan dengan beberapa cara. Berikut antaranya:

#1- Menyebut Kegembiraan Dalam Doa

Mengikut seorang ahli Psikologi dan pengarang, Robert Emmons, rasa syukur (gratitude) dapat menambah rasa positif dan optimis kepada kehidupan, manakala tidak bersyukur dikaitkan dengan tekanan, rasa rendah diri dan juga rasa sunyi.

Allah berjanji untuk menambahkan nikmat kepada mereka yang bersyukur, dan nikmat ini boleh hadir dalam bentuk apa sahaja sama ada yang boleh dilihat atau tidak. Ketenangan dan kebahagiaan juga merupakan nikmat yang tidak terkira bagi mereka yang tahu nilainya.

Jadi apa yang boleh kita buat?

Salah satu cara untuk lebih gembira ialah dengan menyebut semula segala perkara yang anda syukuri dan menggembirakan dalam doa selepas solat. Ia boleh jadi perkara yang telah dipermudahkan oleh Allah dalam kehidupan seharian anda. Sebagaimana kita bersungguh ketika meminta, bersungguhlah juga mengucap syukur apabila diberi.

#2- Senaraikan Perkara Yang Menggembirakan Anda Setiap Hari

Kita kadang-kadang lebih menfokuskan kepada perkara negatif dan masalah yang berlaku berbanding perkara baik yang terjadi. Dalam sehari, masalah yang kita hadapi mungkin satu atau dua sahaja, tetapi sayangnya ia telah mencuri fokus dan perhatian sepanjang hari.

Kata seorang penyair barat, Ralph Waldo Emerson

“For every minute you are angry, you lose sixty seconds of happiness”

“Bagi setiap satu minit anda marah, anda telah kehilangan 6o saat kegembiraan”

Cuba catatkan paling kurang tiga perkara yang menggembirakan anda setiap hari selama sebulan dan rasai perbezaannya!

#3- “Temujanji Gembira”

Dalam perkongsian yang lalu, saya ada berkongsi bahawa kegembiraan juga boleh dicipta melalui pengalaman. Ambil masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk keluar ke mana-mana semata-mata untuk melakukan perkara yang dapat menggembirakan anda. Luangkan waktu ini hanya dengan diri sendiri- tiada rakan sekerja, tiada tugasan, dan tiada media sosial.

Masa tersebut akan menjadi masa berkualiti anda dengan diri sendiri sahaja sama ada membeli belah, menonton wayang, bersiar-siar di taman atau berlama-lama di kedai buku sambil memilih bahan bacaan yang anda suka.

Bagi anda yang mempunyai tanggungjawab kepada pasangan dan anak-anak, anda boleh berbincang dengan pasangan untuk punya ‘me time’ sendiri, sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Langkah-langkah yang disebutkan di atas nampak ringkas namun memberikan impak yang besar kepada kesihatan minda kita. Dengan minda yang sihat dan tenanglah kita mampu menjemput kegembiraan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami