Berita

22 Persoalan Tentang Pengendalian Kes Mahkamah Syariah Sepanjang Tempoh PKP

Oleh Natirah Azira  •  15 Apr 2020  •  6 min baca

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah masuk ke fasa yang ketiga, banyak sektor yang terkesan dan perlu melakukan pengubahsuaian operasi dan pelaksanaan. Hal ini termasuklah bahagian perundangan sama ada bahagian Jabatan Kehakiman Syariah mahupun Sivil.

Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mengeluarkan satu dokumen berisi soalan lazim (FAQ) berkaitan pengendalian kes-kes di Mahkamah Syariah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berikut antaranya:

#1- Adakah Mahkamah Syariah akan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan?

Mahkamah Syariah tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi pendaftaran kes-kes baharu yang wujud keperluan yang mendesak dengan kebenaran Mahkamah Syariah di negeri berkenaan dan kes-kes yang tertakluk kepada had masa di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

#2- Adakah Mahkamah Syariah seluruh Malaysia ditutup sepenuhnya untuk perbicaraan kes-kes?

Semua prosedur perbicaraan sama ada kes mal atau jenayah di mahkamah terbuka atau mahkamah tertutup ditangguhkan semasa PKP berkuat kuasa, kecuali bagi pendengaran kes baharu yang mendesak melalui Perakuan Segera dengan kebenaran mahkamah.

#3- Bolehkah permohonan bagi mendapatkan Perintah Interim/Injunksi Ex-Parte difailkan?

Boleh. Kelulusan bagi pendengaran permohonan tersebut adalah tertakluk kepada merit sesuatu kes. Tatacara bagi pendengaran kes tersebut, jika dibenarkan, adalah berdasarkan kepada Arahan Amalan NO.11 Tahun 2019 (Pendengaran Permohonan Perintah Interim Injunksi Ex-Parte Yang Difailkan Atas Perakuan Segera)

#4- Bagaimana Permohonan Perakuan Segera Diuruskan?

Mahkamah Rayuan Syariah

Perakuan Segera dikendalikan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah dan mendapatkan arahan selanjutnya dari YAA Ketua Hakim Syarie.

Mahkamah Tinggi Syariah

Perakuan Segera dikendalikan oleh Pendaftar/Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan mendapatkan arahan selanjutnya dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah Rendah Syariah

Perakuan Segera dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah.

#5- Apakah status kes yang telah ditetapkan tarikh sebutan/perbicaraan di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Semua kes Mal, Jenayah, Faraid, Sulh dan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang telah ditetapkan tarikh sebutan/perbicaraan/Majlis Sulh/rundingcara BSK di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan adalah ditangguhkan.

#6- Bilakah kes yang ditangguhkan sewaktu tempoh PKP ini akan didengar semula?

Kesemua kes yang ditangguhkan sewaktu PKP di semua peringkat prosiding akan ditetapkan tarikh penjadualan semula. Penetapan tarikh perbicaraan/pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian.

#7- Apakah status kes yang telah ditetapkan tarikh sebutan/perbicaraan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berakhir?

Semua kes Mal, Jenayah, Faraid, Sulh dan BSK yang telah ditetapkan tarikh sebutan/perbicaraan/Majlis Sulh/rundingcara BSK selepas Perintah Kawalan Pergerakan berakhir adalah berjalan seperti yang dijadualkan.

#8- Bagaimanakah pemakluman tarikh tangguhan baru bagi sebutan/perbicaraan/Majlis Sulh/rundingcara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi kes yang terlibat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan?

Tarikh tangguhan baharu akan dimaklumkan melalui apa jua medium komunikasi yang sesuai.

#9- Bagaimana cara untuk pihak-pihak memohon bagi menfailkan kes atas alasan kes mendesak dengan Perakuan Segera atau had masa?

Boleh menghubungi mahkmah terlebih dahulu agar keperluan bagi pengurusan kes tersebut boleh diaturkan.

#10- Apakah langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya perbicaraan dibenarkan?

Langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Pendengaran didengar dalam mahkamah terbuka.
2. Memastikan jarak sosial dipatuhi.
3. Pegawai dan pelanggan yang demam/tidak sihat tidak dibenarkan hadir.
4. Pegawai dan pelanggan hendaklah memakai penutup hidung dan mulut .
5. Menggunakan cecair pembasi kuman/mencuci tangan dengan sabun sebelum dan selepas berurusan.
6. Sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.

Bahagian Sulh

#11- Adakah Unit Sulh Mahkamah Syariah beroperasi sepanjang PKP berkuatkuasa?

Unit Sulh tidak beroperasi dan semua sesi Majlis Sulh ditangguhkan.

#12- Bilakah tarikh penjadualan semula Majlis Sulh?

Tarikh sidang Majlis Sulh ditetapkan sebaik sahaja tempoh PKP tamat dan pihak-pihak akan dimaklumkan semula.

#13- Bagaimana pihak-pihak dapat mengetahui tarikh sidang Majlis Sulh mereka?

Tarikh tangguhan baharu akan dimaklumkan melalui apa jua media komunikasi yang bersesuaian.

#14- Jika pihak-pihak mempunyai persetujuan di luar Mahkamah dan belum menfailkan kes, bagaimana pelaksanaan persetujuan pihak-pihak tersebut sedangkan belum dijadikan perintah persetujuan?

Pihak-pihak boleh terus melaksanakan perjanjian persetujuan yang telah dicapai secara bersama dan setelah tempoh PKP tamat, hendaklah seberapa segera menfailkan tuntutan tersebut ke Mahkamah Syariah dan pengendorsan perjanjian penyelesaian tersebut di hadapan Hakim Syarie boleh dibuat dengan kadar segera.

#15- Jika pihak-pihak mempunyai persetujuan di luar Mahkamah dan kes telah didaftarkan sebelum PKP, bagaimana pelaksanaan persetujuan pihak-pihak tersebut sedangkan belum dijadikan perintah persetujuan?

Pihak-pihak boleh menghubungi pihak mahkamah bagi pendapatkan nasihat bagi merekodkan persetujuan tersebut.

Bahagian Sokongan Keluarga

#16- Bekas suami enggan memberi nafkah dalam tempoh PKP dan apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Aduan boleh dikemukakan di FB Page Bahagian Sokongan Keluarga-BSK/ e-mel Bahagian Sokongan Keluarga Seksyen Negeri dengan memberikan maklumat aduan yang lengkap berserta nombor telefon/ emel yang dapat dihubungi bagi tujuan rujukan lanjut pihak BSK.

#17- Bagaimana untuk memohon bantuan nafkah isteri sepanjang tempoh PKP?

Dana Pendahuluan/Bantuan nafkah boleh dipohon sepanjang tahun walaupun dalam tempoh PKP. Medium emel bagi tujuan penghantaran borang boleh dgunakan oleh pelanggan. Permohonan akan diproses oleh BSK dalam tempoh yang munasabah dengan mengambil kira tempoh kelulusan oleh jawatankuasa dan pemprosesan bayaran.

#18- Apakah yang perlu dilakukan jika sekiranya bekas suami enggan untuk membuat pembayaran nafkah jika sekiranya telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah?

Aduan pelanggaran perintah boleh dikemukakan kepada BSK melalui laman FB page Bahagian Sokongan Keluarga-BSK/BSK Seksyen Negeri. Aduan akan disemak dan diproses oleh BSK. Suatu notis peringatan akan dikeluarkan kepada suami/bekas suami sebelum tindakan selanjutnya seperti runding cara, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah diambil oleh BSK yang akan dilaksanakan selepas tempoh PKP tamat.

Sekiranya sesuatu kes mendesak yang memerlukan penyelesaian segera, pemiutang penghakiman boleh menfailkan perakuan segera kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri-Negeri bagi kebenaran pemfailan atau pendengaran melalui apa-apa kaedah pemfailan atau pendengaran yang sesuai dengan hal keadaan pihak-pihak.

#19- Siapakah yang boleh dihubungi untuk penjelasan lanjut mengenai perkara di atas?

Untuk penjelasan lanjut boleh dikemukakan di FB Page Bahagian Sokongan Keluarga-BSK/emel Bahagian Sokongan Keluarga Seksyen Negeri dengan memberikan maklumat yang lengkap berserta nombor telefon/emel yang dapat dihubungi bagi tujuan rujukan lanjut pihak BSK.

Persoalan Umum

#20- Apa yang perlu dilakukan jika bekas suami berkeras untuk mengambil anak dalam tempoh PKP ini sepertimana dinyatakan dalam perintah?

Semua warganegara Malaysia adalah terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Jika mana-mana pihak berkeras untuk meneruskan hasrat untuk mengambil anak dalam tempoh PKP, tindakan tersebut adalah atas tanggungjawab sendiri kerana pada dasarnya tugas mahkamah telah selesai sebaik sahaja perintah mahkamah diumumkan.

Pihak-pihak boleh menggunakan mana-mana aplikasi secara maya sebagai contoh panggilan video melalui Whatsapp, aplikasi Zoom dan lain-lain yang bersesuaian sebagai medium untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut di sepanjang tempoh PKP ini.

#21- Suami lafaz taklik “Jika engkau keluar dari pintu rumah itu,jatuh talak”. Apa yang perlu dilakukan apabila taklik tersebut dilanggar dalam tempoh PKP?

Berdasarkan undang-undang, lafaz cerai takliq oleh suami tersebut adalah termasuk di dalam talaq di luar dan tanpa kebenaran mahkamah. Pihak-pihak boleh menghubungi mahkamah untuk menentukan sama ada kes tersebut adalah sesuatu yang mendesak untuk difailkan atau sebaliknya kerana mendesak atau tidak sesuatu kes adalah berdasarkan merit dan fakta setiap kes.

#22- Bagaimana orang awam mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Mahkamah sewaktu tempoh PKP?

Sekiranya terdapat keperluan berkenaan urusan kes semasa PKP, orang awam boleh menghubungi Mahkamah Syariah Negeri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami