Keluarga

Istilah “The One” Yang Bermasalah, Delusi & Fantasi

Oleh Saifuddin Hamizan  •  3 Jul 2023  •  9 min baca

Esther Perel ada menyebut di dalam salah sebuah video advokasi dan wawancara ilmiahnya dengan ucapan berikut :

“Love is verb. Not permenant of enthusiasm”.

Maksudnya di sini cinta itu kata kerja yang bersifat perlu sentiasa bergerak, berlatih, bergiat aktif untuk mencapai kepuasan-kepuasan keperluan emosi dan fizikal. Sebab manusia ini adalah makhluk yang unik yang sentiasa perlukan penerokaan hal-hal yang baru. Kita semua ada kecenderungan untuk melihat perspektif yang berbeza dari dahulu.

Dan hal ini direkodkan dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Julie C. Driebe dan rakan pasukannya yang bertajuk Stability and Change Individual Differences In Ideal Partner Preferences Over 13 Years Old di terbitkan di bawah The Society for Personality and Social Psychology (2023).

Kajian ini menggunakan metod jenis longitidunal (jangka masa yang panjang) dengan melihat dari lensa modul ISM (Ideal Standard Model) oleh Fletcher dan rakan-rakannya. Model ini menumpukan pada tiga dinamik perubahan iaitu :

1. Warmth-trustworthiness (kepercayaan – dakap)

2. Vitality-attractiveness (menarik fizikal – konfiden)

3. Status-resources (pangkat – kewangan/perlindungan)

Rumusan mudahnya selepas 13 tahun berlalu adalah, saintis menyimpulkan bahawa :

  • Keduanya sama ada lelaki atau perempuan akan lebih menghargai ciri nombor 1 berbanding nombor 2 bila kita semakin tua.
  • – Perempuan lebih menghargai ciri nombor 3 berbanding lelaki yang melebihkan ciri nombor 2

Meskipun perubahan yang ada tidaklah begitu ketara namun ia masih perlu untuk dilihat dari sudut kepentingan memahami bahawa setiap fasa tahun demi tahun dalam perkahwinan akan muncul keperluan memandang dari perspektif yang berbeza.

Kembali pada pandangan Esther Perel tadi di atas, beliau percaya bahawa dalam perkahwinan ini akan ada perubahan-perubahan yang mesti diubah suai mengikut keperluan kita dan pasangan. Sebab itulah beliau agak sinikal terhadap idea “the one” dalam perhubungan kerana ia mengandungi unsur narsistik dan status quo yang cuba mengawal pasangan dan perhubungan itu mengikut persepsi singkat kita semata.

Perhubungan bukan seperti sebuah destinasi akhir, bukan juga satu penutup kepada segala cerita, bukan pengakhiran yang membahagiakan. Mentaliti ini selalu dicandukan oleh media massa, hiburan dan pemikiran hedonistic yang mengambil sumber pengetahuan tentang perhubungan dari lirik lagu, jalan novel, drama berepisod dan seumpamanya semata-mata.

Tidaklah semua bahan-bahan non fiksyen sesuai disejajarkan dengan realiti yang sebenar, kerana realitinya manusia sentiasa berubah mengikut kesesuaian umur, perspektif baharu dan keperluan-keperluan emosi yang sentiasa berubah. Manusia itu dinamik, kompleksiti. 

Seperti yang disebutkan juga oleh Justin Lehmiller bahawa ada beza pemahaman tentang “destiny relationship/relationship goals” dengan “developmental relationship”. Dimana orang yang berpersepsi bahawa hubungan perkahwinan itu adalah tujuan akhir, maka dia akan tersungkur akhirnya sebab dia tak mampu untuk mengekalkan momentum perkahwinan yang penuh liku, kekosongan, turun naik dan banyak pergelutan yang harus di tempuh.

Berbeza dengan mentaliti “developmental” akan lebih berfikir bahawa hubungan ini adalah sebuah ranjau perjalanan yang amat panjang, apa yang penting ialah kita menghargai masa-masa dan detik pada masa sekarang. Berbanding terlalu mengecilkan tumpuan pada hal-hal yang gempak dan bombastik semata tetapi kita hilang arah selepas itu.

Ini juga mengingatkan saya dengan movie animasi oleh Disney Pixar pada sekitar tahun 2020 yang bertajuk “Soul” dimana watak Joe seorang guru muzik berasa hidupnya belum cukup terisi dan bermakna selagi dia belum mencapai cita-cita untuk mempersembahkan persembahan agung di sebuah pentas Okestra bersama dengan idolanya. 

Walhal dia telah mencapai status sebagai seorang guru muzik, bidang yang dia sendiri minat dan sedang usahakan untuk bangunkan cita-citanya. Dia ada anak-anak murid yang pada pandangan dia tidak tahu apa-apa, dia rasa agak kecewa. Sehinggalah suatu ketika itu dia telah di uji satu peristiwa di mana dia terjatuh ke dalam sebuah lubang jalan raya yang sedang dibuat pembaikan oleh kontraktor.

Dia ditakdirkan koma dan telah bertemu dengan satu ruh yang bernama 22, ruh ini saling kontradik dengan jiwa dia yang sangat cintakan dunia. Hendak dipendekkan cerita, dia dan ruh 22 dapat kembali ke dunia tetapi malang tak berbau, si Joe tersalah masuk ke dalam badan seekor kucing comel yang berwarna oren yang berada atas badan dia yang sedang koma di atas katil wad hospital.

Manakala ruh 22 pula termasuk ke dalam jasad Joe yang sedang koma. Haha, maka sejak itulah mereka berdua mencari jalan untuk bertukar semula ruh masing-masing, tetapi dalam perjalanan mereka hendak menukar ruh barulah Joe perasan bahawa hidup dia bukanlah teruk macam yang dia fikirkan sebelum ini.

Mengapa? Sebab dia melihat jasadnya dari perspektif lain, kadangkala kita pun begitu juga dalam kehidupan yang penuh pahit seperti memasuki alam perhubungan yang realiti. Kadang kita merasakan bahawa perhubungan orang lain yang kita saksikan di sosial media melalui Story dan Wall mereka itu apa yang kita rasa hebat.

Padahal mereka pun lalui jalan-jalan perit dan memayahkan macam kita juga, sebab itulah idea relationship goals ini wajib dibetulkan cara pandang kita semua. Sepatutnya kita lebih menghargai “small moments” seperti ungkapan John Gottman bahawa itulah fundamental kepada perhubungan yang sihat. 

Kita menotifikasi, meraikan, mengiktiraf, dan menyedari serta syukuri dari hal-hal kecil yang sederhana itu sebab itulah sebenarnya kita punya “purpose”. Tujuan dan makna hidup hanya boleh dicapai apabila kita menghargai detik perjalanan yang ranjau, kadang terselit bahagia dan kadang terselit penderitaan yang bermakna.

Makna hanya boleh dicapai apabila kita memikul tanggungjawab dengan menggalasnya tanpa rasa pesimistik dan sinis, sebaliknya kita pikul dengan jiwa yang besar dan laluinya bersama-sama.

Allah swt berfirman :

اَمْ حَسِبْتُمْ اَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَّثَلُ الَّذِيْنَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۗ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاۤءُ وَالضَّرَّاۤءُ وَزُلْزِلُوْا حَتّٰى يَقُوْلَ الرَّسُوْلُ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مَعَهٗ مَتٰى نَصْرُ اللّٰهِ ۗ اَلَآ اِنَّ نَصْرَ اللّٰهِ قَرِيْبٌ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” (Surah al-Baqarah ayat 214)

Tiada kebahagiaan hakiki selain dari menjejakkan kaki kita ke dalam syurga Allah swt. Pun begitu dalam perhubungan pun sama, kalau kita percaya akad nikah itu telah menutup segala-galanya bermakna kita sendiri tidak begitu faham konsep hidup di dunia ini sebagai apa.

Maka kita tak perlulah berasa teralu selesa selepas dari akad nikah sehingga kita tak mahu berbuat sebarang aktiviti yang boleh mengukuhkan, menguatkan, memperbaiki dari segi keintiman yang semakin longgar dan perasaan-perasaan yang semakin luntur, bukan semakin kukuh dan mantap.

Selalulah Berduaan, Berdating

Dr Jordan B. Peterson dalam banyak syarahan beliau, ada mengingatkan bahawa sepanjang pemerhatian beliau dalam praktis klinkal dalam bab menguatkan keintiman dan kepuasan dalam berkahwin ialah selalu amalkan ber “dating” sekurang-kurangnya 90 minit dalam seminggu atau lebih lagi baik.

Apa pengisian yang perlu dibuat sepanjang kita berdating dengan pasangan (dah berkahwin)? Berbual secara mendalam mengenai perkembangan kita terbaru, perasaan kita, pengurusan keluarga, dan hal-hal yang selama ini dipendam kemudian lakukan aktiviti fizikal yang boleh rembeskan hormon endorphins kerana ia akan lebih menenangkan kita dan kurangkan tekanan seperti umpama kita selesai bersenam.

Berbanding kita hanya menonton wayang, kita hanya habiskan masa berjam lamanya dengan melihat skrin. Kita tak lihat pasangan dari perspektif berbeza dan tidak begitu terpancar keunikannya selain di rumah.

Paradoks Love & Desire (Cinta & Keinginan)

Esther Perel dalam kajian lapangan beliau, mendapati bahawa dalam setiap perhubungan kita akan ada dua paradoks ini yang saling tarik-menarik antara satu sama lain. Kita tak boleh terlalu statik dalam satu keadaan, atau kita panggil ianya elemen dualiti atau kontra.

Cinta : Rasa memiliki, mendakap, berada di samping kita (security)

Keinginan : Kita hendak melihat si dia dari sisi keunikan yang berbeza dari sebelum ini (adventure)

Secara mudah hendak faham ialah sebagai contoh kita membiarkan pasangan kita ada hobi, ada cita-cita, ada minat dan dia buat perkara tertentu di luar lalu kita berasa bangga dan kagum dengan keunikan dia dan rasa tak sabar hendak tunggu dia pulang di sisi kita supaya boleh bercerita dan berkongsi pengalaman.

Ianya bukan terhad kepada pekerjaan sahaja, boleh jadi si dia pergi ke spa mendandan rambut, pergi berurut atau jalani terapi tertentu untuk mendapatkan tenaga dan pernampilan yang lebih baru.

Jika kita hanya sekadar “clingy” sahaja, kita akan rasa muak dan membosankan. Sebab manusia itu sendiri dinamik sifatnya. 

The One Boleh Mengecewakan Kita

Sangat mustahil untuk satu batang tubuh itu dapat memenuhi segala keperluan fizikal dan emosional kita secara serentak, setiap pasangan akan wujudnya isu tertentu. Ini yang disebut juga oleh John Gottman sebagai “Gridlock” iaitu setiap individu ada permasalahan unik dan khususnya ia sukar untuk menemukan solusi, ia selalu berakhir dengan kita alihkan ke arah perbincangan lain.

Sebagai contoh, kadangkala pasangan kita memang seorang isteri yang baik dan memiliki ciri “motherhood” yang bagus seperti berkebolehan dekorasi rumah, bijak dalam mengendalikan emosi kanak-kanak, mampu memasak, dan sebagainya. 

Namun dia ada kekurangan dari segi untuk memenuhi keperluan keintiman seksualiti kita. Maka kadangkala berlakunya ketergelinciran seperti tertarik dengan perempuan lain bukan disebabkan kita tidak menyayangi dirinya.

Tetapi menurut pakar psikologi seperti Esther Perel, kita hendak meneroka “self-exploration” dalam bab keintiman yang mungkin tak di fahami oleh si isteri itu tadi.

Jadi apa solusinya? Pembaca mungkin semakin kerut dahi ketika membaca di bahagian ini.

Solusinya ialah jika kita dan pasangan adalah pasangan yang percaya kepada perkahwinan jenis monogami, perlulah berjumpa dengan pakar terapis dan memohon pertolongan untuk beri tunjuk ajar bagaimana hendak kembangkan kemahiran di bahagian keintiman tadi.

Jika pasangan anda tak mampu memenuhi dan dia menerima perkahwinan poligami, maka berkahwinlah secara poligami dengan cara yang terurus, bersistematik dan adil.

Saya sendiri selaku penulis percaya kepada dua sistem solusi ini, terpulang kepada kalian untuk amalkan yang mana satu. Asalkan buang ego dan selfish dalam diri bagi mencapai kata sepakat yang lebih sihat.

Akhirnya perhubungan ini suatu perjalanan, dalam perjalanan kita bakal teruji berbagai perasaan, pengalaman dan setiap orang keperluannya berbeza-beza. Hentikan drama, carilah penyelesaian daripada pakar yang bertauliah, bukannya bergaduh dan mengajak pengikut kalian saling umpat mengumpat lalu mangsanya ialah anak dan ahli keluarga.

Rujukan :

  1. 5 Myths We Tell Ourselves When We’re Dating https://www.estherperel.com/blog/5-myths-we-tell-ourselves-when-were-dating
  2. Finding “the one” https://www.youtube.com/watch?v=ejTBjX4Cu6Y
  3. How To Maintain Relationships https://www.youtube.com/shorts/cNvvQp5uQXQ
  4. Soul (2020) https://en.wikipedia.org/wiki/Soul_(2020_film)
  5. Driebe, J. C., Stern, J., Penke, L., & Gerlach, T. M. (2023). Stability and Change of Individual Differences in Ideal Partner Preferences Over 13 Years. Personality and Social Psychology Bulletin, 0(0). https://doi.org/10.1177/01461672231164757

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami