Ibu bapa adalah orang yang melahirkan kita ke dunia dalam keadaan yang sulit dan mencabar; kepenatan ibu yang mengandung sembilan bulan, kesakitan bertarung nyawa ketika melahirkan dan juga usaha ibu ayah yang menyara dan menjaga kita hingga dewasa. Kita ada di dunia ini kerana mereka, tidak kiralah mereka banyak kekurangan atau tidak.
Tidak dinafikan, ada yang membesar dalam persekitaran yang tidak sihat dan mencabar dalam keluarga. Barangkali kasih sayang tidak dapat dirasakan daripada ibu bapa sejak kecil, dan akhirnya memilih untuk menjauh setelah dewasa. Ada juga yang berkata layanan kepada anak sulung, anak tengah dan hujung pula berbeza-beza. Ditambah pula dengan kerenah mereka yang banyak ragamnya setelah meningkat usia emas. Namun, itulah satu-satunya ibu dan bapa yang kita ada di dunia ini.
Jika ada yang rasa susah untuk menyayangi dan mengasihi mereka kembali, sekurang-kurangnya pohonlah doa agar mereka sentiasa diberikan hidayah, diberi keberkatan pada usia mereka yang tersisa.
اللهم ارزق أمي
(Allahummarzuk ummi)
Ya Allah kurniakanlah ibuku
بركة في عمرها
(Barokatan fi ‘umurihaa)
Keberkatan pada umurnya
ونورا في قلبها
(Wa nuuron fi qalbihaa)
Dan cahaya di hatinya
وضياء في وجهها
(Wa dhiyaa an fi wajhiha)
Serta cahaya di wajahnya
وسعة في رزقها
(Wasi’atan fi rizqihaa)
Dan keluasan pada rezekinya
ورضا في نفسها
(Waridhon fi nafsiha)
Dan keredaan pada dirinya
واصرف عنها كل سوء ومرض
(Wasrif ‘anha kulla suuin wa maradh)
Dan palingkanlah darinya perlbagai kejahatan dan penyakit
Doa ini boleh menjadi doa tambahan kepada doa-doa lain yang sering dibaca. Tidak menjadi masalah sama ada untuk membacanya dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab.
Semoga jarak yang jauh terasa dekat dengan doa yang dibaca ini. Semoga dengan doa ini, Allah memberikan kebaikan buat ibu dalam apa jua keadaan mereka, serta kesabaran kepada diri sendiri untuk melayani mereka sebaiknya. InsyaAllah.

