Ibadah

Masih Boleh Solat Tahiyatul Masjid Setelah Duduk?

Oleh Natirah Azira  •  5 May 2023  •  2 min baca

Solat sunat tahiyyatul masjid adalah solat sunat dua rakaat yang ditunaikan apabila seseorang itu masuk ke masjid dan sebelum ia duduk. Ia adalah tuntutan serta cara yang menunjukkan penghormatan kepada tempat mulia yang menjadi tumpuan ibadah dan kesatuan umat Islam.

Amalan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : Apabila salah seorang dari kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk sehingga dia selesai solat dua rakaat. (Riwayat Al-Bukhari – 1167)

Ada ulama berpendapat bahawa bahawa hal ini disyariatkan kepada sesiapa sahaja umat Islam yang masuk ke dalam masjid. Sebahagian pula berpandangan bahawa arahan ini hanya melibatkan orang yang ingin masuk dan duduk di dalam masjid sahaja. Manakala bagi orang yang ingin masuk sebentar tanpa niat untuk duduk, mereka tidak termasuk dalam tuntutan ini.

Namun, bagaimana pula jika seseorang itu masuk ke dalam masjid kemudian telah duduk kerana terlupa mendirikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Adakah dia boleh menunaikan semula solat sunat tahiyatul masjid?

Jawapannya, boleh selagi tempoh masa antara dia duduk dan bangun semula itu sebentar sahaja.

Hal ini disandarkan kepada satu kisah yang berlaku pada sahabat Nabi SAW yang bernama Sulaik Al-Ghatafani. Beliau hadir ke masjid pada hari Jumaat lalu terus duduk. Ketika itu baginda Rasulullah SAW sedang duduk di atas minbar. Lalu baginda bertanya beliau; “Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat?”. Sulaik menjawab tidak kemudian baginda menyuruhnya bangun dan tunaikan dua rakaat.

جاءَ سُلَيْكٌ الغَطَفانِيُّ يَومَ الجُمُعَةِ، ورَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قاعِدٌ علَى المِنْبَرِ، فَقَعَدَ سُلَيْكٌ قَبْلَ أنْ يُصَلِّيَ، فقالَ له النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: أرَكَعْتَ رَكْعَتَيْنِ؟ قالَ: لا، قالَ: قُمْ فارْكَعْهُما.

Telah datang Sulaik-Alghatafani pada hari Jumaat, dan Rasulullah SAW sedang duduk di atas minbar. Sulaik duduk sebelum mengerjakan solat, lalu berkata Nabi SAW: “Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat?” Sulaik menjawab, “Tidak”. Kemudian baginda SAW bersabda: “Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat) (Riwayat Muslim, no 875)

Hadis ini jelas menunjukkan kebolehan untuk bangun semula menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Imam Al-Nawawi mengulas hadis di atas dengan menyebut bahawa jika seseorang meninggalkan solat sunat ini kerana lalai atau jahil, maka dia dituntut semula menunaikannya setelah disedari dengan syarat tempoh antara duduk dan bangun itu tidak lama.

Rujukan:

Muhammad Fahmi Rusli. (2019). Al-Kafi #1485: Hukum mendirikan solat tahiyatu masjid sesudah duduk sebentar. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami