Gaya Hidup

Adab Ziarah Hari Raya Yang Perlu Diajarkan Kepada Anak-anak

Oleh Natirah Azira  •  28 Apr 2023  •  2 min baca

Apabila tiba hari raya, kemeriahannya pasti dirasa lebih-lebih lagi kanak-kanak. Inilah masanya untuk mereka memakai baju baru, berjalan dan mengumpul duit raya. Namun, ada kalanya, tingkah laku anak-anak kecil ini ada yang canggung dan kurang menyenangkan tuan rumah apabila berziarah.

Siapakah yang perlu memberikan tunjuk ajar kepada mereka kalau tidak ibu bapa, bukan? Berikut adab ziarah hari raya yang perlu diajarkan kepada anak-anak kecil.

#1- Jangan Meminta-minta Duit Raya

Anda boleh berpesan lebih awal kepada anak-anak bahawa duit raya bukanlah satu kewajipan bagi tuan rumah, tetapi hanya bonus sahaja. Tidak mengapa jika tidak mendapat duit raya, yang lebih penting tujuan ziarah adalah untuk mengeratkan hubungan.

Selain itu, anda juga boleh berpesan kepada anak-anak agar membuka sampul duit raya hanya apabila sudah beredar dari rumah, atau di dalam kereta nanti. Hal ini bagi mengelakkan tuan rumah berasa segan jika pemberiannya tidak seperti yang diharapkan anak-anak tersebut.

#2- Jaga Percakapan

Kata sesetengah orang, kanak-kanak tidak reti menipu. Apa yang dirasa itulah yang akan terkeluar dari mulut mereka. Apabila menziarahi rumah orang, kadang-kadang laju sahaja bibir mereka mengulas itu dan ini. Kadang-kala, mereka tidak ada niat buruk pun dan sekadar mengatakan apa yang dilihat sahaja.

Justeru, beri gambaran awal kepada anak-anak bahawa keadaan rumah orang yang diziarahi tidak akan sama dengan rumah sendiri. Ada hal yang mungkin akan membuatkan mereka tidak selesa, seperti rasa panas kerana tidak ada pendingin hawa atau makanan yang dijamu kurang sedap. Ajar mereka untuk tidak mengatakan hal-hal yang tidak perlu yang boleh mengguris perasaan tuan rumah, selagi ia hal yang tidak memudaratkan.

#3- Usah Menyentuh Barang-barang Berharga Atau Masuk Ke Bilik Orang

Adab seterusnya yang perlu diajarkan kepada anak-anak ialah tentang batasan ruang yang perlu dijaga apabila di rumah orang, contohnya tidak boleh masuk ke bilik orang atau menyentuh barang-barang sesuka hati. Ajarkan pada mereka untuk meminta izin jika mahu bermain permainan milik anak tuan rumah. Kadang-kadang, bukan mereka degil tetapi mereka tidak faham tentang alasan di sebalik larangan tersebut.

Kesimpulannya, anak-anak adalah manusia kecil yang masih kurang kefahaman dan pengalaman bersosial. Justeru, mereka perlu diajar dahulu kerana mereka memang tidak tahu atau terlupa. Tidak adil untuk memarahi mereka atas perkara yang belum mereka tahu atau dan belum diajar. Semoga kita diberi kesabaran dan komitmen untuk mendidik anak-anak kecil ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami