Oleh Natirah Azira • 28 Apr 2023 • 2 min baca
Puasa Ramadan adalah puasa yang wajib dilakukan oleh umat Islam apabila tiba bulan Ramadan. Walaupun ia wajib, namun ada pengecualian bagi golongan tertentu seperti orang yang uzur kerana sakit, orang yang sedang musafir dan juga wanita yang sedang dalam haid, dengan syarat ia perlu diganti pada hari yang lain.
Kali ini Tzkrh ingin mengulas lanjut tentang keuzuran kerana sakit yang membolehkan seseorang tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Secara asasnya golongan ini dibahagikan kepada dua bahagian:
1. Sakit yang ada harapan untuk sembuh.
2. Sakit yang tiada harapan untuk sembuh.
Bagi pesakit yang ada harapan untuk sembuh, dia dibenarkan meninggalkan puasa tetapi wajib menggantikan puasa itu apabila sudah mampu berpuasa.
Bagi pesakit yang memang tidak ada harapan sembuh dan memang tidak mampu berpuasa contohnya orang yang sakit tua, maka dia tidak wajib berpuasa, dan tidak wajib menggantikannya tetapi wajib membayar fidyah bagi bilangan hari puasa yang ditinggalkan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 184,
Maksudnya: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
Timbul persoalan, bagaimana pula seandainya pesakit yang disangka tidak akan sembuh kemudian sembuh, adakah dia wajib menggantikan semula puasa yang ditinggalkan? Fidyahnya pula masih belum dibayar?
Dalam hal ini, pendapat muktamad daripada Mazhab Syafie mengatakan bahawa dia tidak wajib ganti puasa kerana pada awalnya telah diwajibkan fidyah untuknya.
Al-Syabramallisi serta Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan bahawa dia tidak wajib menggantikan puasa, hanya perlu bayar fidyah sekalipun fidyahnya masih belum langsai.
Begitulah Islam memberikan kemudahan dan keringanan dalam hal ini. Takdir Allah memberikan kesembuhan buat pesakit tersebut dan dia tidak perlu menggantikan puasa, hanya perlu membayar fidyah sahaja.
Sumber:
Noor Fatini Izzati binti Fadzil. (2023). Al-Kafi #1931: Adakah pesakit yang disangkakan tidak akan sembuh dan kemudiannya sembuh wajib ganti puasa yang ditinggalkan. Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.