Oleh Natirah Azira • 3 May 2023 • 2 min baca
Kemeriahan beraya masih terasa di sesetengah tempat. Ada yang mengambil peluang untuk menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan pada hujung minggu dan ada pula yang menganjurkan rumah terbuka hingga ke penghujung Syawal.
Ini adalah amalan yang sangat mulia kerana mampu memelihara silaturahim dan menjaga hubungan dengan sahabat handai. Namun, dalam kita berziarah dan beraya, jangan dilupa beberapa golongan ini yang perlu diziarahi.
Dalam Islam, gesaan untuk menghubungkan silaturahim sangat diutamakan. Maksud sebenar silaturahim pula adalah hubungan dengan sanak saudara yang mempunyai pertalian darah dengan kita.
Eratkanlah hubungan silaturahim dengan saudara-mara dengan menziarahi mereka di musim perayaan ini. Jernihkanlah yang kelam, dan lapangkanlah yang kusut. Semoga Allah memberikan kita kemudahan untuk menyantuni mereka.
Daripada Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang suka untuk dimurahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hubungkanlah silaturrahim” (Riwayat al-Bukhari, no. 5985)
Orang yang tidak sihat dan ditimpa sakit juga adalah mereka yang perlu diziarahi khususnya di musim perayaan ini. Banyak hal yang terbatas bagi orang sakit contohnya tidak dapat bergerak banyak dan tidak dapat pula berjumpa rakan taulan. Jadi tunaikanlah hak menziarahi mereka yang ditekankan dalam agama.
Maksud: “Hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ada enam. Sahabat bertanya: “Apakah perkara tersebut wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam. Apabila dia menjemput kamu, maka terimalah jemputan tersebut. Apabila dia meminta nasihat, maka berilah kepadanya nasihat. Apabila dia bersin, maka ucapkanlah rahmat ke atasnya. Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia dan apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya sehingga ke kuburnya.”(Hadis Riwayat Muslim, no. 2162)
Dalam kita sibuk beraya, jangan dilupa juga golongan yang kurang mampu contohnya golongan fakir miskin, atau anak-anak yatim yang tidak lagi mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga. Anda boleh menziarahi mereka, memberi sedikit duit raya atau jamuan makan yang dapat mengurangkan beban dan rasa sunyi yang ada.
Memang amalan ziarah menziarahi ini tidak terhad di musim perayaan sahaja. Tetapi, musim ini tetap boleh menjadi kesempatan yang sesuai untuk kunjung-mengunjungi kerana semuanya masih dalam mood beraya. Tetapi, ingatlah amalan berziarah ini bukan hanya untuk bergembira dan bersuka ria dengan orang-orang yang kita rapat, atau kenalan yang berharta. Ia tentang meraikan umat Islam dari kelompok yang pelbagai.
Rujukan:
Nadzirah. (2015). Bayan linnas siri ke-23: Adab berhari raya dan kesilapannya. Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.