Gaya Hidup

Walau Raya Anda Tidak ‘Instagrammable’ , Ia Masih Bermakna

Oleh Natirah Azira  •  27 Apr 2023  •  2 min baca

Syawal disambut dengan lebih bersedia oleh kebanyakan orang pada tahun ini. Tidak seperti ‘raya mengejut’ pada tahun lepas, bukan? Di kesempatan ini juga, pihak Tzkrh ingin mengucapkan selamat hari raya kepada semua pembaca Tzkrh.

Kehangatan Syawal masih terasa. Media sosial pula masih tidak sunyi dari hantaran-hantaran dan perkongsian gambar raya keluarga masing-masing. Ada yang berbusana klasik, ada pula yang berpenampilan moden dengan tema warna yang pelbagai. Ada yang memilih untuk bergambar di kampung dengan latar belakang rumah papan tradisional dan tidak kurang juga yang memilih untuk ke studio dengan tema yang disifatkan lebih estetik dan istagrammable. Malah, ada juga yang tidak sempat bergambar dek bersilat di dapur melayan tetamu yang terlalu ramai.

Walaupun zahir perayaan Aidilfitri anda berbeza daripada orang lain, anda tidak sempat merakam gambar yang elok atau anda rasakan tidak secantik hantaran media sosial orang lain, usahlah dirasakan raya anda tidak cukup bermakna.

Raikan Raya Cara Anda

Rakaman gambar atau video hanya salah satu cara untuk menyimpan kenangan. Ada kalanya, tidak semua hal perlu dipertontonkan demi menunjukkan kemeriahan keluarga. Ada orang yang suka mengambil gambar ‘candid’, meskipun tidak secantik gambar di studio atau kamera resolusi tinggi, kelak bila dilihat semula, gambar-gambar itulah yang menampakkan sisi lain yang lebih telus dan berwarna-warni.

Raikanlah raya dengan cara anda sendiri, contohnya dengan belanja keluarga makan malam di luar setelah beberapa hari berhempas pulas memasak dan melayan tetamu yang datang ke rumah. Atau boleh juga diperuntukkan duit lebih untuk menempah makanan daripada tukang masak yang lain, atau membawa keluarga berehat dan berjalan di tempat-tempat yang santai seperti pantai atau sungai.

Tidak Perlu Membandingkan Diri Di Media Sosial

Tujuan perayaan adalah untuk bergembira dalam had dan aturan yang dibenarkan Islam. Tidak perlu ada rasa iri atau membanding-bandingkan diri dengan apa yang ditunjukkan orang lain di media sosial; baju dia lebih cantik, latar gambarnya lebih cantik, begnya lebih mahal dan sebagainya. Bukankah Ramadan yang baru sahaja dilalui tujuannya untuk mengukuhkan takwa?

Perbandingan hanya akan menjemput rasa kurang syukur dan tidak puas hati dengan apa yang telah ada. Lihatlah semula, adakah ahli keluarga semuanya senang dan bergembira dengan sambutan perayaan pada tahun ini? Adakah pembaziran telah dikurangkan? Adakah anda sempat menziarahi sanak saudara khususnya yang telah lanjut usianya dan uzur?

Ringkasnya, Aidilfitri adalah tentang cara kita menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Meskipun Ramadan telah berlalu, marilah kita terus menzahirkan kesyukuran dan maknakan Syawal dengan sebaik-baiknya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami