Ibadah

Doa Perlindungan Dari Memohon Perkara Yang Tak Diketahui Baik Buruknya

Oleh Natirah Azira  •  13 Apr 2023  •  2 min baca

Manusia ada keterbatasan dalam berfikir, lebih-lebih suatu yang belum tiba dan masih belum nampak bayangnya waima ia tentang rezeki kerja, anak atau jodoh. Kata Mufti Menk, apabila suatu hal buruk terjadi, kita memang tidak akan nampak dan tahu apakah kebaikan yang ada di sebalik keburukan tersebut. Tetapi dengan iman, kita percaya apa yang telah Allah jadi dan aturkan.

Bercakap tentang hal baik buruk ini, seorang nabi dan rasul iaitu Nabi Nuh juga pernah mengalami perkara yang sama. Ketika bumi ditenggelami air banjir dan bahteranya berjaya menyelamatkan orang-orang yang beriman, malangnya anak Nabi Nuh terkorban kerana percaya dia mampu menyelamatkan diri sendiri tanpa pertolongan Allah. Lalu baginda merayukan nasib anaknya kepada Allah dan mengatakan bahawa anaknya juga adalah sebahagian daripada keluarganya.

Lalu Allah menegur perbuatan tersebut dengan berkata:

“Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya)…” (Surah Hud 11:46).

Mengikut penerangan daripada Kitab Tafsir Fi Zilal Al-Quran, Allah tidak mengira anak Nabi Nuh sebagai ahli keluarganya walaupun dari darah yang sama, tetapi keluarga yang dikira adalah yang satu aqidah, yang sama-sama beriman dengan Tuhan Yang Satu, Allah Azza Wajalla.

Menyedari hakikat ini, Nabi Nuh akur kesilapannya meminta hal tersebut daripada Allah.

قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”. (Surah Hud, 11:47)

Dari kata-kata Nabi Nuh ini kita boleh mengambil pengajaran, ada perkara yang memang kita mahu tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang lebih tentangnya. Boleh jadi ia adalah hal yang buruk dan boleh mendekatkan kita kepada hal-hal buruk yang lain. Maka bolehlah dibaca doa ini.

رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

(Robbi inni a’udzubika an as’aluka ma laisa li bihi ‘ilm)

Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya

Tidak salah untuk meminta apa yang kita mahukan daripada Allah, bahkan baginda SAW mengingatkan hatta ingin meminta garam atau tali kasut yang putus pun perlu meminta kepada Allah SWT. Tetapi dalam masa sama berdoalah juga agar kita tidak meminta hal-hal yang kita tidak ada pengetahuan tentang buruknya hal tersebut. Semoga nasib hidup kita juga tidak diserahkan kepada kemahuan kita sendiri sahaja.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami