Ibadah

Doa Ini Boleh Dibaca Untuk Orang Yang Menyediakan Hidangan Berbuka

Oleh Natirah Azira  •  13 Apr 2023  •  2 min baca

Di bulan Ramadan, banyak amalan kecil dengan ganjaran besar disediakan yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Salah satunya adalah amalan menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, tidak kira anda sendiri sedang berpuasa atau tidak.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Lihat, ganjaran yang diperoleh oleh orang yang memberikan atau menyediakan makanan untuk berbuka ini adalah pahala yang sama seperti orang yang berpuasa! Allah berkata ia tidak dikurangkan sedikitpun.

Maka, doa apa yang boleh dibaca buat mereka yang baik hati menyediakan hidangan ini? Ada satu kisah yang diceritakan daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW datang menemui Sa’d bin Ubadah RA, lalu Sa’d RA pun menghidangkan roti dan minyak samin. Maka Nabi SAW memakannya, setelah itu baginda SAW pun mendoakan:

‏أفطر عندكم الصائمون وأكل طعامكم الأبرار وصلت عليكم الملائكة‏

Telah berbuka di rumahmu orang-orang yang berpuasa, telah makan makananmu orang-orang yang baik dan para malaikat pun turut berselawat (memohon keampunan) ke atasmu. (HR. Abu Daud, Kitab Riyadh As-Solihin, 1267 – sanadnya bagus)

Bukan mudah untuk menjemput dan menyediakan hidangan berbuka buat orang lain. Mereka perlu menggunakan masa, wang ringgit, atau tenaga untuk memasak sendiri juadah, lebih-lebih lagi kepenatan terasa jika mereka turut berpuasa. Persediaan pula perlu dilakukan awal sebelum dan selepas selesai aktiviti berbuka puasa ini.

Maka, inilah balasan kecil yang boleh kita berikan kepada sesiapa yang telah menjemput kita untuk berbuka bersama mereka. Semoga berkat kebaikan dan sedekah yang telah diberikan, para malaikat akan memohon keampunan kepada Allah untuk mereka. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami