Ibadah

Doa Malam Lailatulqadar – Kesalahan Diampunkan & Tidak Dihukum Atas Dosa Yang Ada

Oleh Natirah Azira  •  12 Apr 2023  •  3 min baca

Kita telah masuk ke fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang mana ada malam yang paling istimewa disediakan buat hamba-hambaNya iaitu malam lailatul qadr. Di fasa ini, kita digesa untuk memperkemaskan amalan dan mengambil kesempatan yang banyak untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT agar direzekikan untuk bertemu dengan malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

Jadi, apa yang boleh kita persiapkan?

Saidatina Aisyah R.anha pernah bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

(Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anni)

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”

Jika diteliti doa di atas, ada kalimah yang sangat istimewa digunakan iaitu الْعَفْوَ (Al-‘afwu) yang bermaksud keampunan. Dalam bahasa Arab, ada perkataan lain yang juga membawa maksud yang hampir sama dengan keampunan iaitu المغفرة (Al-maghfirah). Namun, jika dikaji ilmu bahasa Arab, kekayaan kosa katanya mengandungi maksud yang sedikit berbeza walaupun pada asasnya sama.

Terdapat sedikit kekeliruan yang berlegar di media sosial yang mengatakan taraf Al-‘afwu lebih tinggi daripada Al-maghfirah yang mana, Al-‘afwu adalah keampunan dan dosa akan dihapus dari buku amalan. Manakala Al-maghfirah adalah keampunan tetapi dosa masih tercatat dalam buku amalan.

Al-Maghfirah – Dosa Ditutup oleh Allah SWT

Walau bagaimanapun, Ustaz Nabeel Al-khalidy, seorang guru bahasa Arab yang telah mendalami bahasa Arab selama lebih 20 tahun menerangkan bahawa perkataan maghfirah membawa maksud sesuatu dosa itu dimaafkan dan ditutup oleh Allah SWT. Di akhirat kelak, dosa itu tidak lagi tercatat dalam buku amalannya, bahkan seseorang hamba dan juga para malaikat dijadikan lupa tentang dosa itu.

Al-‘Afwu – Tidak Ada Hukuman Ditimpakan

Manakala al-‘afwu pula bermaksud seseorang itu masih berdosa tetapi diampunkan oleh Allah SWT, dalam erti kata Allah menghentikan hukuman buatnya di dunia dan di akhirat. Seseorang itu masih bersalah tetapi tidak ada hukuman yang ditimpakan ke atasnya.

Berbalik kepada doa yang disarankan bacaannya pada malam-malam terakhir Ramadan tadi, khususnya malam lailatul qadr, kita sebenarnya mengharapkan keampunan Allah SWT.

Walaupun kita ada dosa yang menggunung, tetapi kita berharap Allah memaafkan dan tidak menghukum kita di akhirat kelak. Seberat-berat hukuman di sana pastinya neraka. Maka kita berharap Allah tidak menghukum dan memasukkan kita ke dalam neraka kerana dosa-dosa yang ada. Di sana, tidak akan ada yang sanggup ke neraka meskipun pengakhiran selepas itu adalah di syurga.

Seperti mana sabda baginda Nabi SAW, daripada Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ عِنْدَ كُلِّ فِطْرٍ عُتَقَاءَ وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ

“Sesungguhnya Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan (daripada neraka) pada setiap kali berbuka puasa. Dan itu berlaku pada setiap malam.” (HR Ibnu Majah, No. 1643, Hadis Hasan)

Bahkan menjadi satu kerugian buat umat Islam jika berada dalam bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan oleh Allah SWT dan dijauhkan daripada api neraka. Justeru, perbanyakkanlah doa memohon keampunan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW itu tadi terutama dalam sepuluh hari yang terakhir ini. Moga-moga kita termasuk dalam golongan yang tidak rugi. InsyaAllah.

Rujukan:

Nabeel Alkhalidy. Important: Clarification on the difference between maghfirah and ‘afwu. Youtube Channel: Learn Quranic Arabic.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami