Gaya Hidup

6 Cara Lawan Sikap Bertangguh Dengan Amal Ibadah

Oleh Natirah Azira  •  12 Apr 2023  •  4 min baca

Sikap bertangguh sering dikaitkan dengan malas dan juga pengurusan masa yang lemah. Walau bagaimanapun, kajian terkini mengenal pasti bahawa sikap bertangguh ini ada kaitan dengan kesukaran menguruskan distres seperti rasa stres dan tertekan.

Orang yang bertangguh sebenarnya sedang cuba mengelak hal-hal yang dapat membuatkan mereka berasa distres, jadi kesannya kerja jadi tertangguh, tidak selesai atau langsung tidak dimulakan.

Bertangguh ini boleh juga berlaku dalam hal berkaitan ibadah. Mereka rasa berat dan susah untuk mula beramal lebih-lebih lagi amalan yang sudah lama ditinggalkan.

#1- Padam Tabiat Melihat Ibadah Sebagai Suatu Yang Susah Dan Berat

Satu sebab yang besar mengapa orang suka bertangguh melakukan sesuatu hal adalah kerana mereka melihat perkara itu sangat berat, sukar atau kompleks. Mereka tidak selesa dengan rasa yang mungkin datang apabila melakukan perkara itu seperti rasa bosan, rasa stres, atau rasa susah. Walhal, perasaan-perasaan ini adalah suatu yang normal.

Realitinya, senario paling teruk yang akan terjadi pun adalah anda akan diserang sakit kepala, bukan sakit berat atau mati sekalipun apabila melakukan perkara tersebut.

Jadi, timbang tara semula, adakah anda melihat ibadah sebagai suatu yang sangat berat? Ambil contoh sedekah, paling teruk pun jika anda bersedekah pada bulan ini, duit anda akan berkurang sedikit, atau anda tidak dapat membeli barang yang disukai. Tapi bulan depan kan dapat gaji semula?

#2- Target Masa Buat Anda Lebih Fokus

Suatu yang anda tetapkan untuk dilakukan ‘apabila ada masa’ tidak akan sama dengan ‘akan buat pada masa XXX, hari XXX’. Sangat besar kebarangkalian untuk anda tidak melakukan suatu amalan jika tidak ditetapkan secara spesifik kerana perhatian sudah dicuri oleh perkara lain seperti rehat, tidur dan berhibur.

Jadi, tetapkan tempoh masa yang khusus untuk anda melakukan ibadah-ibadah tambahan seperti membaca Al-Quran atau belajar tentang tajwid, kemudian beri fokus sepenuhnya.

#3- Jadi Lebih Realistik

Suatu ibadah yang ingin dibiasakan dengan rutin kadangkala mengambil masa yang agak lama sehingga anda benar-benar rasa selesa. Justeru, cari cara agar ia terasa lebih mudah untuk diri anda sendiri.

Contohnya, jika anda seorang yang tidur awal pada waktu malam, justeru waktu untuk mengaji boleh ditukar ke waktu yang lain seperti pada waktu rehat makan tengah hari atau antara Maghrib dan Isyak.

#4- Jangan Beri Alasan Pada Diri Sendiri

“Saya tak ada mood. Kena tunggu mood datang”

“Saya akan jadi lebih rajin bila ada tekanan”

Berapa banyak alasan yang sudah diberikan kepada diri sendiri apabila kita bertangguh?

Jadilah jujur dengan diri sendiri bahawa semua ini hanya alasan. Memang seronok jika kita lakukan ibadah dalam keadaan ada mood, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada mood sepanjang masa. Kita akan rugi banyak perkara jika hanya menunggu mood datang, contohnya ganjaran besar yang disediakan Allah hanya dalam bulan Ramadan.

#5- Sediakan Suasana Yang Membantu Anda Beribadah

Keadaan sekeliling sedikit sebanyak dapat memberi pengaruh kepada fokus dan kualiti ketika beribadah. Kenal pasti apa yang akan mengganggu contohnya telefon di sebelah, bilik yang bersepah atau suara bising dari luar rumah.

Tetapkan apabila hendak melakukan solat sunat atau mengaji, letak telefon jauh daripada tempat yang anda dapat capai supaya fokus dapat diberikan sepenuhnya kepada ibadah itu.

#6- Tumpukan Kepada Sebab Mengapa Anda Melakukannya

Cara lain yang dapat membantu anda untuk tidak bertangguh melakukan ibadah adalah apabila memikirkan sebab melakukannya. Tanya diri sendiri kenapa anda perlu mula melakukan ibadah; adakah kerana orang lain menyuruh, adakah kerana rasa bersalah atau adakah kerana ia adalah suruhan Allah serta bukti ketaatan kepada pencipta.

Anda juga boleh mencari ilmu dan kefahaman tentang fadilat serta manfaat amalan tersebut contohnya zikir yang dilakukan selepas solat atau solat sunat sebelum fajar yang jelas besar ganjarannya.

Kesimpulannya, emosi dan perasaan boleh mengelirukan diri. Jangan bergantung kepada rasa seronok dan rasa bersedia semata-mata untuk melakukan amal ibadah. Fahami diri mengapa kita bertangguh melakukannya dan mulakan strategi yang telah dikongsikan di atas. Semoga bermanfaat!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami