Oleh Natirah Azira • 11 Apr 2023 • 3 min baca
Ramadan boleh menjadi sambutan yang sangat menarik untuk sesebuah keluarga muslim terutama bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Pasti mereka juga turut teruja ingin berpuasa dan merasai pengalaman bertarawih di masjid yang jarang-jarang dapat dilakukan. Dapat berpuasa satu hari penuh pula akan jadi hal yang sangat membanggakan.
Untuk ibu bapa yang pertama kali merasai pengalaman mempunyai anak-anak yang mula ingin berpuasa, pasti sedikit sebanyak dilema memikirkan cara terbaik untuk memahamkan mereka tentang puasa yang wajib dilakukan selama 30 hari sepanjang Ramadan.
Selain daripada mengajarkan syarat-syarat puasa kepada mereka, serta menetapkan kelonggaran untuk mereka berbuka, berikut tiga kefahaman asas tentang puasa yang perlu diterapkan kepada anak-anak.
Puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Ini hal asas yang pasti anak-anak sudah tahu. Tetapi nilai yang lebih mendalam tentang tempoh masa ini adalah nilai sabar yang perlu dilatih dalam diri anak-anak.
Puasa melatih diri menjadi sabar dengan rasa lapar, rasa dahaga serta kecenderungan untuk membeli pelbagai makanan bagi mengisi perut yang kosong nanti. Apabila lapar terasa, anak-anak perlu faham bahawa seorang yang berpuasa tidak boleh terus makan tetapi harus menunggu sehingga sampai masa yang dibenarkan. Ini adalah salah satu elemen ‘delayed gratification’ yang perlu diajarkan – tidak semua perkara yang kita mahukan, kita akan dapat segera.
Cara ini sesuai bagi kanak-kanak yang sudah baligh dan faham tentang hukum-hukum asas dalam ibadah. Bagi yang masih kecil pula, kefahaman boleh mula diterapkan, tetapi kelonggaran masa mereka bersahur dan berbuka masih boleh diatur agar ibadah puasa terasa lebih ringan bagi mereka.
“Kenapa kena puasa?”
Ini adalah soalan yang akan menerjah cuping telinga ibu bapa terutama bagi anak-anak yang mula tinggi rasa ingin tahu dan ingin faham. Kita kadang-kadang memandang rendah kemampuan anak-anak untuk memahami lalu memberikan jawapan-jawapan pelik.
Allah berkata bahawa puasa diwajibkan ke atas umat Islam agar mereka bertakwa. Maka takwa adalah matlamat seseorang berpuasa. Takwa adalah takut kepada Allah. Takwa adalah menahan diri dari melakukan suatu yang akan membuat Allah murka. Takwa adalah berhati-hati agar setiap tindakan selari dengan apa yang diperintahkan. Hasilnya, hubungan dengan Allah akan menjadi lebih rapat dan dekat.
Fahamkan anak-anak bahawa puasa pada bulan Ramadan bukan rutin tahunan sahaja, tetapi satu ruang yang diberikan Allah SWT untuk kita memperbaharui tabiat. 30 hari melakukan hal yang sama seperti solat malam, bersedekah atau menahan diri dari marah, maka sudah tentu kesannya akan lekat pada diri – kita akan terbiasa melakukannya dan akan diteruskan pada bulan-bulan seterusnya, InsyaAllah.
Tuntasnya, kefahaman tentang makna di sebalik puasa di bulan Ramadan ini perlu dilengkapkan pada diri ibu bapa terlebih dahulu agar mudah untuk menyampaikannya kepada anak-anak. Semoga latihan berserta kefahaman yang lebih dalam tentang ibadah wajib ini akan meneguhkan hati anak-anak kepada ajaran Islam apabila dewasa nanti.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.