Ibadah

Khatam Al-Quran Atau Tadabbur, Mana Lebih Utama?

Oleh Natirah Azira  •  8 Apr 2023  •  3 min baca

Sempena bulan Ramadan, ramai yang memeriahkannya dengan memperbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran. Sebahagian orang sangat bersemangat sehingga saling ‘berlumba’ membaca Al-Quran. Waktu terluang seperti waktu rehat dan selepas solat, maka mushaf atau Al-Quran digital akan dicapai lalu kalam dibaca. Ada yang sempat mengkhatamkan Al-Quran lebih daripada sekali.

Ada pula yang memilih untuk membacanya dengan tartil, menjaga hukum dan makhraj serta mentadabbur makna di sebalik ayat. Cuma cara yang kedua ini akan lebih lambat untuk menyempurnakan satu mushaf Al-Quran.

Justeru, antara mengkhatamkan Al-Quran dengan cepat dan memahami maknanya, manakah yang lebih baik?

Jika diteliti, ada beberapa tempat dalam Al-Quran yang berisi suruhan mentadabbur dan memahami ayat suci Al-Quran.

#1- Fikirkan Isi Al-Quran

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah Al-Nisa’ 4:82)

#2- Adakah Sengaja Tidak Mahu Memahami Isi Al-Quran?

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?(Surah Muhammad 47: 24)

#3- Untuk Orang Yang Berakal Sempurna Mengambil Iktibar

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Sad 38: 29)

Daripada ayat-ayat ini, jelas dilihat saranan memahami ayat Al-Quran berbanding hanya memperbanyakkan bacaan tanpa memahami maknanya.

Imam Al-Nawawi ada mengingatkan supaya Al-Quran dibaca dalam keadaan khusyuk. Hal ini akan menjemput kelapangan hati dan petunjuk daripada Allah SWT.

Ada juga larangan untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh tiga hari, kerana tempoh ini lazimnya terlalu singkat untuk seseorang memahami makna Al-Quran, dan Al-Quran akan dibaca dengan sangat laju. Tambahan pula, perintah mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadan bukan suatu yang wajib.

Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَفْقَهْ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَل مِنْ ثَلاَثٍ

Maksudnya: Tidak akan difahami (makna al-Quran) bagi sesiapa yang mengkhatamkannya kurang daripada tiga hari (Riwayat al-Tirmidzi: 2949)

Walau bagaimanapun, larangan ini bukan larangan yang haram. Secara ringkasnya, pandangan antara mengkhatamkan Al-Quran atau membaca sambil tadabbur boleh dibahagi kepada dua:

1. Membaca Dengan Tartil dan Tadabbur Walaupun Sedikit Bacaannya Adalah Lebih Afdal

Pandangan ini adalah pandangan Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas. Cara begini dikatakan lebih afdal berbanding membacanya dengan laju untuk khatam kerana Al-Quran diturunkan untuk difahami, dipelajari dan ditadabbur maknanya.

2. Bacaan Yang Banyak Lebih Afdal

Ini adalah pandangan daripada ulama mazhab Syafie, berdasarkan hadis yang menyebut tentang ganjaran membaca Al-Quran; satu huruf diganjari dengan sepuluh pahala.

Ibnu Qayyim menyimpulkan pandangan ini dengan mengatakan bahawa pahala membaca Al-Quran secara tartil dan tadabur adalah lebih besar dari segi darjatnya, manakala membaca Al-Quran dengan bacaaan yang banyak lebih banyak pula pahalanya.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula berpandangan bahawa tadabbur adalah lebih utama berbanding hanya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Jika seseorang itu mampu mentadabbur dan memahami ayat Al-Quran walaupun membaca secara laju, maka dia harus berbuat begitu. Wallahua’lam.

Sumber:

Wan Ahmad Naqiuddin. (2023). Irsyad fatwa edisi khas Ramadhan siri ke 218: Manakah yang lebih utama, mengkhatamkan Al-Quran atau membacanya dengan tartil dan tadabbur. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami