Hukum

Status Hadis – Bermaaf-maafan Sebelum Ramadan

Oleh Natirah Azira  •  8 Apr 2023  •  3 min baca

Amalan bermaaf-maafan adalah amalan yang digesa dan perlu disegerakan sesama muslim. Seperti yang kita tahu, dosa dan kesilapan dengan orang perlu dibereskan sesama sendiri sebelum meninggal dunia bagi memudahkan urusan hisab di sana.

Natijahnya, Allah menyediakan ganjaran syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi buat orang yang bertakwa anataranya orang yang sudi memaafkan kesalahan orang lain.

Bercakap tentang amalan ini juga, masyhur suatu doa yang dikatakan disebut oleh malaikat Jibril AS ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada hari Jumaat, lalu malaikat meminta baginda mengaminkan doa itu sebanyak tiga kali.

Lafaz yang doa yang dikatakan itu adalah seperti di bawah:

“Ya Allah, abaikan puasa umat Muhammad jika sebelum masuk Ramadan dia tidak melakukan tiga hal ini:

  1. Tidak minta maaf kepada kedua orang tuanya.
  2. Tidak bermaafan dengan sahabat-sahabatnya.
  3. Tidak bermaafan dengan orang sekitarnya.

Dikatakan bahawa hadis tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (3/192) dan Ahmad (2/246, 254).

Mungkin bertitik tolak daripada riwayat ini, maka ramailah rakan-rakan dan saudara-mara yang akan menghubungi dan menghantar pesanan ringkas, saling meminta maaf sebelum Ramadan menjelang.

Walau bagaimanapun, setelah disemak doa di atas tidak ada asalnya, bahkan ia palsu. Sebahagian mengatakan ia sama sekali tidak ada dalam kumpulan hadis palsu atau daif.

Hadis yang ada kesamaan, yang lebih sahih ditemui dalam kitab sahih Ibnu Khuzaimah dan Musnad Imam Ahmad adalah hadis di bawah:

Dari Abu Hurairah: Rasulullah SAW naik mimbar lalu bersabda: ‘Amin, Amin, Amin’. Para sahabat bertanya : “Kenapa engkau berkata demikian, wahai Rasulullah?” Kemudian beliau bersabda, “Baru saja Jibril berkata kepadaku: ‘Allah melaknat seorang hamba yang melalui Ramadan tanpa mendapatkan ampunan’, maka ku katakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Allah melaknat seorang hamba yang mengetahui kedua orang tuanya masih hidup, namun tidak membuatnya masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka berdua)’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Allah melaknat seorang hamba yang tidak bersolawat ketika disebut namamu’, maka ku katakan, ‘Amin”.” Al A’zhami berkata: “Sanad hadis ini jayyid”.

Jika dilihat, tidak ada pun suruhan meminta maaf sebelum menjelang Ramadan, tetapi ada tiga inti utama yang perlu dilihat iaitu:

  1. Orang yang bertemu bulan Ramadan tetapi tidak mendapat keampunan Allah SWT.
  2. Orang yang tidak melakukan kebaikan kepada orang tua selama mereka masih hidup.
  3. Orang yang tidak berselawat kepada baginda Rasulullah SAW apabila disebut namanya.

Justeru yang perlu diberi perhatian tentang Ramadan adalah keampunan daripada Allah SWT. Meminta maaf kepada orang yang kita pernah kita zalimi dan lakukan kesalahan pula memang perlu disegerakan dan tidak perlu menunggu waktu yang khusus.

Tetapi jika memang niat seseorang itu ingin meminta maaf menjelang Ramadan, dan dirasakan ia masa yang sesuai, tanpa bersandar dan berpegang kepada hadis yang palsu tadi, maka tidak menjadi masalah. Wallahua’lam.

Rujukan:

Abdul Rahman Iskandar. (2017). Hadis bermaaf-maafan sebelum Ramadan. Muis.org

Muhammad Mushfique bin Ahmad Ayoup@Ayub. (2016). Irsyad al-hadith siri ke-80: Kepentingan meraih keampunan Allah SWT di bulan Ramadhan. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami