Inspirasi

Ya Allah, Bantulah Kami Menyedari Tujuan Ramadan

Oleh Natirah Azira  •  10 Apr 2023  •  2 min baca

Tanpa sedar, kita sudah melepasi fasa pertengahan Ramadan. Bagaimana agaknya prestasi amal kita setakat ini? Saya pasti ada yang sudah mendapat rentak dalam beramal; sudah mula dapat menjaga kualiti solat contohnya, atau sudah dapat mengekang lidah daripada menuturkan hal-hal yang melalaikan. Alhamdulillah.

Tidak disangkal, pasti ada juga yang masih rasa buntu dengan apa yang perlu dilakukan dalam bulan mulia ini. Aktiviti harian dirasakan sama sahaja, tidak ada yang berbeza pada rutin kecuali waktu makan. Dalam masa sama, hati pula rasa bersalah kerana tidak merasai kemanisan Ramadan bahkan tidak seronok melakukan ibadah-ibadah dan amal kebaikan.

Berdoa Kepada Allah Agar Dipandu Hati

Jika inilah yang kita rasakan, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah membantu hati kita untuk menyedari tujuan sebenar Ramadan, iaitu untuk menyuburkan hubungan denganNya, untuk menjadi lebih dekat dengan Tuhan Yang Maha Mencipta.

‏اللَّهُمَّ ‏ ‏مُصَرِّفَ ‏ ‏الْقُلُوبِ ‏ ‏صَرِّفْ ‏ ‏قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ ‏

(Allāhumma Musarrif al-Quluubi Sarrif Quluubana ‘alā To’atika)

Maksud: “Ya Allah, Dzat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!”

Ramadan datang sebagai ruang yang paling sempurna untuk kita menyuburkan takwa dalam jiwa. Selama ini, kita sudah lama berada dalam lautan dunia yang menghanyutkan jiwa ke pelbagai arah. Ramadan datang untuk membetulkan semula layar hidup, membawa kita kepada satu tujuan iaitu Allah.

Jangan Berputus Asa Berusaha

Hati yang sifatnya berbolak balik perlu dilunakkan dengan disiplin dan rutin yang baru. Jika satu-satu ibadah telah lama ditinggalkan pasti rasa kekok dan sukar untuk memulakannya semula. Bayangkan nat besi yang telah berkarat ingin dicabut, pasti susah pada mulanya. Sesudah dilincirkan dengan minyak, proses mencabutnya agak jadi lebih mudah.

Begitu juga dengan amalan, ia perlukan latihan. Hari demi hari, kita usahakan lagi dan lagi sehingga akhirnya ibadah yang baru jadi sebati dengan diri.

Allah tidak akan berputus asa dengan diri kita selagi kita tidak berputus asa dengan diri sendiri. Ingat kembali, bahawa keadaan diri kita hanya akan diubah jika kita mahu ia berubah. Berusahalah walau sedikit, walau penat dan perit. Allah tahu jika hati kita mahu.

Berdoalah kepadaNya bersungguh-sungguh, agar disedarkan hati kita tentang tujuan Ramadan ini.

“Ya Allah, lembutkanlah hati kami agar kami dapat merasakan manisnya beribadah kepadaMu. Bantulah kami, agar kami dapat menghargai Ramadan, dan mendapatkan keampunan dariMu di penghujungnya. Berilah kami kekuatan untuk terus mencuba dan tidak berputus asa.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami