Hukum

Terkentut Pada Tahiyat Akhir Solat Jumaat, Adakah Perlu Solat Zuhur Semula

Oleh Natirah Azira  •  31 Mar 2023  •  2 min baca

Salah satu tuntutan muslim ketika solat adalah menjaga fokus atau kekhusyukan. Setiap bacaan perlu dibaca dengan betul khususnya Al-Fatihah. Pergerakan pula perlu dipastikan ada thoma’ninah atau berhenti seketika. Kesemuanya perlu ada demi memastikan solat sempurna dan diterima.

Daripada Aisyah R.Anha, beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya: “Tiada (kesempurnaan) solat ketika makanan sudah dihidang dan ketika seseorang itu menahan dua perkara yang jijik (air kecil dan air besar).” (Riwayat Muslim, no. 560)

Menurut para ulama, maksud daripada hadis ini juga terpakai bagi keadaan seseorang yang menahan kentut, kerana orang yang menahan kentut sudah tentu payah memastikan dirinya khusyuk.

Jadi, bagaimana jika seseorang terkentut ketika tahiyat akhir solat Jumaat? Adakah dia perlu menggantikan semula dengan solat Zuhur empat rakaat, dan adakah dia hilang pahala solat Jumaat tadi bersama imam?

Mengikut penerangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang itu terkentut, tidak salah untuk dia mengambil semula wuduk dan kembali solat bersama imam. Jika dia sempat satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat Jumaat itu.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat maka dia dapat solat itu.” [Riwayat Bukhari (580), Muslim (607), Tirmidzi (524) dan lain-lain]

Walau bagaimanapun, jika dia tidak sempat satu rakaat bersama imam, maka dia perlu solat empat rakaat solat Zuhur.

Namun, bagaimana pula jika dia sudah berada pada tahiyat akhir, tetapi kerana sakit perut dia menghabiskan solat itu sendiri dan berpisah daripada imam. Dalam hal ini, solat Jumaatnya dikira sah kerana dia sempat mendapat rakaat pertama dengan imam.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/582) berkata:

Jika seseorang solat bersama Imam dengan satu rakaat dalam solat Jumaat kemudian berpisah (mufaraqah) daripada Imam itu kerana uzur atau selainnya, maka kami katakan tiada batal solatnya dengan mufaraqah, kerana telah sempurna Jumaatnya, seperti mana jika Imam berhadas dan ini tiada khilaf padanya.”

Cara lebih baik, bersiap sedialah sebelum menunaikan solat Jumaat dengan memastikan perut dalam keadaan baik dan hajat telah ditunaikan. Jika tidak dapat dielakkan, maka buatlah pertimbangan yang terbaik. Semoga penerangan ini dapat menghilangkan keraguan.

Sumber:

Mufti Wilayah Persekutuan. Al-kafi li al-fatawi siri 652: Hukum terkentut di dalam solat Jumaat (edisi kemas kini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami