Gaya Hidup

Air Nabiz, Minuman Kelaziman Rasulullah SAW

Oleh Natirah Azira  •  7 Apr 2023  •  2 min baca

Pernahkah anda mendengar tentang air nabiz? Ia adalah air rendaman (infused water) kurma atau kismis yang sering menjadi kelaziman Rasulullah SAW. Biasanya kurma atau kismis akan direndam semalaman dan akan diminum pada keesokan paginya.

عن ابن عباس قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ينتبذ له أول الليل فيشربه إذا أصبح يومه ذلك والليلة التي تجيء والغد والليلة الأخرى والغد إلى العصر، فإن بقي شيء سقاه الخادم أو أمر به فصب.

Daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Rasulullah SAW selalu dibuat nabiz untuk baginda pada awal malam. Lalu Baginda meminumnya apabila masuk waktu pagi hari tersebut, juga pada malam yang akan tiba, pada keesokan pagi, pada malam lain, pada keesokan pagi (hari ketiga) hingga Asar. Sekiranya masih berbaki sedikit, Baginda akan memberinya minum kepada khadam atau Baginda memerintahkan supaya membuangnya.

Namun, dalam proses rendaman kurma ini, perlu dipastikan bahawa rendaman ini tidak sampai menjadi minuman yang memabukkan. Sebaiknya rendaman itu semalaman dan esoknya terus diminum.

Imam Al-Nawawi menyebutkan;

Hadis-hadis ini menunjukkan bolehnya ‘intibadz’ (proses merendam kurma dan sejenisnya) dan bolehnya nabiz selama manis rasanya dan tidak berubah menjadi khamer. Ini boleh dengan ijma’ umat.” [Syarh an-Nawawi ala sahih muslim, Kitab Asyribah hal. 147]

Seperti yang kita sedia maklum, kurma mengandungi khasiat yang sangat banyak. Ia buah yang tinggi serat yang dapat membantu proses pencernaan. Kandungan antioksidan yang tinggi juga dapat melindungi sel-sel dalam badan daripada radikal bebas, iaitu molekul-molekul tidak stabil yang dapat membahayakan badan dan dapat membawa kepada pelbagai penyakit.

Daripada sudut kesihatan otak pula, kajian mendapati kurma dapat membantu menurunkan penanda radang seperti interleukin 6 (IL-6) yang dikaitkan dengan risiko penyakit kemerosotan neuro seperti Alzheimer. Satu kajian yang dilakukan ke atas binatang (tikus), mendapati tikus yang makan makanan yang dicampurkan dengan kurma mempunyai kemampuan ingatan yang lebih baik dan kurang kelakuan resah berbanding yang tidak memakan makanan tersebut.

Bagi orang yang mempunyai penyakit kencing manis pula mungkin teragak-agak untuk makan kurma kerana bimbang kadar kandungan gula dalam darah meningkat. Tetapi pelbagai kajian telah dijalankan mendapati kadar indeks glycemix bagi buah kurma adalah rendah, justeru ia selamat untuk dimakan oleh penghidap diabetes dalam kadar yang sederhana iaitu sebanyak dua biji kurma pada satu-satu masa.

Anda boleh menjadikan air nabiz atau air rendaman kurma atau kismis sebagai hidangan berbuka atau bersahur. Amalan ini bukan hanya mengikut sunnah baginda malah dapat memberikan kebaikan kepada tubuh badan InsyaAllah.

Rujukan:

Brianna Elliot. (2022). 8 Proven Health Benefits of Dates. Healthline.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami