Oleh Natirah Azira • 30 Mar 2023 • 2 min baca
Ramadan umpama magnet yang boleh menarik orang untuk melakukan kebaikan. Pada bulan ini, ramai yang akan ke masjid, ramai yang ingin bersedekah dan ramai juga yang mula berjinak-jinak dengan amalan kebajikan yang lain. Ramadan memberi nafas baru kepada mereka yang sudah lama longlai dengan desakan dunia yang memenatkan.
Dalam banyak-banyak amalan di bulan Ramadan, solat sunat terawih sudah tentu menjadi ibadah sunat yang sangat jelas dapat dilihat. Masjid akan mula meriah selepas Isyak kerana masing-masing bersedia untuk menunaikan solat sunat yang hanya ada pada bulan Ramadan ini.
Namun, sesetengah masjid juga ada mengadakan ceramah sempena Ramadan pada waktu yang sama. Terawih dan ceramah agama, kedua-duanya adalah amalan yang baik, justeru manakah yang lebih baik dilakukan?
Pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa kedua-dua amalan ini tidak seharusnya dibanding-bandingkan. Ia mempunyai kelebihan masing-masingnya. Setiap amalan sunat seperti membaca Al-Quran, berzikir, solat sunat dan apa jua amalan yang mendekatkan diri kepada Allah adalah dihitung. Ceramah agama juga adalah salah satu bentuk ibadat kerana menekankan proses menuntut ilmu yang nilainya tinggi di sisi Allah SWT.
Manakala solat sunat tarawih dianggap solat malam iaitu salah satu ibadah untuk membangunkan malam-malam di bulan Ramadan. Tempoh untuk melakukan solat tarawih pula panjang, boleh dilakukan selepas solat Isyak sehingga sebelum terbit fajar.
Justeru, tidak salah untuk pihak masjid mengadakan ceramah agama terlebih dahulu dan tidak salah juga para hadirin untuk hadir ke majlis ilmu ini. Solat tarawih boleh dilaksanakan selepas selesai ceramah tersebut.
Usahlah hal ‘ibadah mana yang afdal’ ini menjadi perdebatan atau punca kepada tindakan yang jelas dilarang seperti merendah-rendahkan atau mengumpat usaha pihak masjid yang mengusahakan ceramah agama, kerana kedua-dua ibadah ini wajar dilakukan. Bukankah di bulan Ramadan, memang dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan?
Rujukan:
Muhammad Adzhar bin Ahmad. (2023). Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan Siri Ke 212: Kedudukan yang lebih afdal antara solat terawih dan ceramah Ramadan selepas Isyak. Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.