Ibadah

Maksud Dibuka Pintu Syurga Pada Bulan Ramadan

Oleh Natirah Azira  •  31 Mar 2023  •  2 min baca

Tiba bulan Ramadan, ramai yang saling mengingatkan tentang kelebihan Ramadan dan amalan-amalan yang dianjurkan pada bulan istimewa ini. Setiap hari kita akan dapat melihat perkongsian hadis-hadis dari hantaran di media sosial. Ada banyak hadis yang masyhur tentang Ramadan. Salah satunya adalah tentang pintu syurga yang dibuka dan pintu neraka yang ditutup.

Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Tatkala datang bulan Ramadan, maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dibelenggu dengan rantai. (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, ayat pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup boleh ditafsir secara zahir iaitu memang pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup.

Menurut Imam Badr al-Din al-Aini pula apabila mensyarahkan hadis di atas, beliau mengatakan bahawa maksud terbuka pintu syurga ini adalah kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadan. Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu ibadah yang boleh menjadi jalan menuju syurgaNya.

Apakah pintu-pintu yang dibuka ini?

Dalam sebuah riwayat yang sahih disebutkan ada lapan pintu syurga kesemuanya. Antara pintu syurga yang sangat dekat dengan ibadah dan amal baik ialah pintu solat, pintu sedekah, pintu al-rayyan (orang yang berpuasa), pintu orang yang menahan marah, pintu taubat dan pintu orang yang reda.

Bayangkan kesemua pintu-pintu ini dibuka pada bulan Ramadan dengan seluas-luasnya. Rugi benar jika kita tidak berusaha langsung mengambil peluang untuk mendekati pintu-pintu syurga yang telah dibuka ini. Bahkan setiap amalan akan dilipatgandakan hingga ratusan kali ganda. Semoga kita diberi ruang dan kekuatan untuk memanfaatkan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah.

Sumber:

Muhammad Adzhar bin Ahmad. (2023). Irsyad fatwa edisi khas Ramadhan siri ke 212: Kedudukan yang lebih afdal antara solat terawih dan ceramah Ramadan selepas Isyak. Mufti Wilayah Persekutuan.

Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2022). #899: Jumlah Pintu Syurga. Maktabah Al-Bakri.

Nadzirah. (2015). Irsyad al-fatwa ke-25: Maksud hadis pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan ditambat. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami