Inspirasi

Pintu Syurga Mana Yang Anda Pilih?

Oleh Natirah Azira  •  7 Apr 2023  •  3 min baca

Ramadan adalah musim perayaan ibadah. Manakan tidak, dalam bulan ini ada ibadah-ibadah yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti puasa fardu selama sebulan, solat sunat terawih dan juga sedekah makanan berbuka yang sering menjadi amalan.

Istimewanya lagi apabila Allah membuka pintu-pintu syurga dengan seluas-luasnya agar hamba-hambaNya melakuka ketaatan dengan sebanyak-banyaknya. Imam Badr Al-Din al-Aini ada mensyarahkan hadis tentang pintu syurga dibuka dengan mengatakan di bulan Ramadan ini ada ketaatan yang sangat banyak.

Daripada Abu Hurairah R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga, “Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan.” Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.” Setelah itu, Abu Bakar R.A bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.” [Riwayat al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)]

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Imam Muslim menyebut dalam hadis ini empat pintu syurga, dan selainnya menambahkan bakinya iaitu: pintu taubat, pintu orang yang menahan marah, pintu orang yang reda, dan pintu kanan yang akan dilalui oleh orang yang tidak dihisab, yang akan terus memasuki syurga.

Tuntasnya mengikut nas yang sahih, pintu syurga disebutkan ada lapan iaitu:

1. Pintu solat

2. Pintu jihad

3. Pintu sedekah

4. Pintu al-rayyan

5. Pintu taubat

6. Pintu orang yang menahan marah

7. Pintu orang yang reda

8. Pintu Kanan, yang akan dilalui oleh orang yang tidak dihisab, yang akan terus memasuki syurga.

Ruang telah Allah beri, maka persoalan yang tinggal adalah; adakah kita menyambutnya? Pintu syurga mana yang telah kita pilih untuk beramal pada bulan yang mulia ini?

Persoalan di atas bukan bermaksud untuk kita membanding-bandingkan pintu syurga atau memilihya mengikut kata hati. Tetapi adatnya sebagai seorang manusia, ada hal yang sangat mencabar bagi diri kita. Ada orang, sedekah baginya mudah kerana dia berharta. Ada orang sabar baginya mudah kerana sifatnya yang memang tidak sukakan perbalahan. Ada pula yang selalu bertaubat setiap kali melakukan apa-apa kesalahan.

Justeru, jika masih belum mampu melakukan hal-hal yang payah, mulakanlah dengan hal-hal yang senang. Jika kita belum mampu menahan marah dengan baik, maka perbanyakkanlah taubat. Jika masih belum mampu melazimi sedekah, peliharalah baik-baik solat. Jagalah suatu amalan dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kebaikan hidup dan mati kita bergantung kepada hal itu sepenuhnya.

Allah telah berjanji bahawa sesiapa sahaja yang bertakwa iaitu yang menempuhi jalan getir untuk menjauhi segala yang dilarang, dan melakukan hal yang disuruh, maka Allah akan memberikan jalan keluar daripada perkara yang menyusahkannya, serta memberikan rezeki yang tak dapat ditebak, bahkan yang tak terlintas di hati sekalipun.

Rujukan:

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2022). #899: Jumlah pintu syurga. Maktabak Al-Bakri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami