Ibadah

Ramadan – Fasa Menyuburkan Takwa

Oleh Natirah Azira  •  31 Mar 2023  •  2 min baca

Pernah tak terfikir apa beza puasa Ramadan dengan puasa-puasa sunat yang lain seperti puasa tiga hari di pertengahan bulan, puasa sunat Isnin dan Khamis dan puasa Syawal.

Ya, sudah jelas salah satunya wajib, satu lagi sunat. Ganjarannya pun dikhabarkan berbeza-beza. Tetapi ada satu lagi perbezaan yang besar iaitu dari segi tujuan puasa itu sendiri. Diwajibkan puasa pada bulan Ramadan sebenarnya supaya kita membina takwa dalam diri.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah 2:183)

Makna takwa yang pernah kita pelajari di bangku sekolah dulu ialah takut kepada Allah. Benar. Tetapi rangkuman maksud yang lebih luas, takwa ialah meletakkan penghadang antara diri kita dengan apa jua perkara yang menjauhkan diri dengan Allah.

Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata:

“Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkanmu daripada Tuhan”

Dalam maksud yang lain, takwa adalah meletakkan tembok yang tinggi antara diri dengan hal-hal yang buruk. Mufti Menk juga menjelaskan bahawa takwa ialah membina hubungan yang betul dengan Allah SWT.

Bermakna, di bulan Ramadan ini, jika kita menegah diri daripada mencarut, itu adalah takwa. Jika kita bersabar dan tidak marah, ia adalah takwa. Jika kita tidak bercakap tentang hal orang lain, ia adalah takwa. Kita menegah diri kita daripada melakukan hal yang Allah tak suka.

Takwa boleh dipupuk apabila kita lebih teliti dengan diri dan tindakan yang dilakukan selama ini. Yang biasa tak semestinya betul. Semak semula adakah apa yang kita faham dan amalkan selama ini tepat dengan ajaran Islam atau tidak. Adakah prinsip dan nilai yang kita pegang selari dengan ajaran agama. Jika tidak, inilah ruang untuk mengubahnya. Teruskan menyemaknya tidak kira umur kita sudah meningkat dan ‘kaya pengalaman’. Takwa adalah berhati-hati. Kita tidak melakukan sesuatu semberono sahaja tapi disertai ilmu dan kefahaman.

Dengan cara ini, barulah kita akan sentiasa peka dan dapat membina hubungan yang terbaik dengan Allah SWT sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan.

Justeru, Ramadan adalah ruang untuk kembali menyuburkan takwa, melihat-lihat semula apa yang cacat dan cela dalam kefahaman dan tindakan. Allah tahu kita memerlukan ruang yang terbaik untuk berubah, maka diberikan Ramadan, bulan penuh keberkatan tanpa hasutan dan gangguan sebagai lapangan untuk menyuburkan kembali takwa yang sudah kering sekian lama.

Rujukan:

Mufti Menk. (2023, Oktober 31). The Quran: A lifelong companion and guide – reviving the spirit series – Mufti Menk – Ep3 (Fail Video). YouTube.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami