Inspirasi

Ramadan – Waktu Untuk Ubah Sikap Buruk Atau Hanya Berhenti Sementara?

Oleh Natirah Azira  •  29 Mar 2023  •  2 min baca

Bagaimana pelajaran dan perubahan kita setakat ini dalam madrasah Ramadan? Alhamdulillah jika sudah ada perubahan ke arah kebaikan walaupun sedikit. Alhamdulillah juga jika azam masih ada dalam hati meskipun belum berkesempatan untuk melakukannya. Semoga azam itu akhirnya berubah menjadi tindakan juga akhirnya.

Bercakap tentang perubahan di bulan Ramadan, mungkin kita rasa lebih bersemangat kerana keberkahan yang dibawa oleh Ramadan itu sendiri. Kita rasa ingin meraikan Ramadan.

Tetapi jangan pula kita niatkan untuk berhenti daripada sikap buruk hanya di bulan Ramadan, seolah-olah hanya pause sekejap sahaja. Contohnya, menahan diri dari mencarut atau berkata-kata kesat, hanya di bulan Ramadan. Menahan diri daripada menonton pornografi, hanya di bulan Ramadan. Tidak marah-marah hanya di bulan Ramadan.

Habis sahaja Ramadan, segalanya dilakukan semula tanpa ada batas. Hilang terus rasa bersalah melakukan keburukan kerana Ramadan sudah berlalu. Hari sudah terasa biasa semula. Sedangkan malaikat pencatat amalan baik dan buruk masih melaksanakan tugasnya.

“Ramadan is about breaking bad habits, not putting them on pause”

Nabi Muhammad SAW ada mengingatkan dalam sebuah hadis sahih bahawa setiap amal itu pasti ada masa semangatnya. Setiap masa semangat itu pula pasti ada masa malasnya. Dari pesanan ini kita tahu, bahawa ia adalah situasi yang akan dihadapi oleh semua orang. Tetapi dalam masa malas tersebut, pohonlah petunjuk daripada Allah SWT agar dipandu ke jalan kebenaran dan bukan menyimpang ke jalan kesesatan.

Rasulullah SAW bersabda:

وَلِكُلِّ عَمِلٍ شِرَّةٌ وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ فَمَنْ يَكُنْ فَتْرَتُهُ إِلَى السُّنَّةِ فَقَدِ اهْتَدَى وَمَنْ يَكُ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَقَدْ ضَلَّ

”Setiap amal itu pasti ada masa semangatnya. Dan setiap masa semangat itu pasti ada masa futur (malasnya). Barangsiapa yang kemalasannya masih dalam sunnah (petunjuk) Nabi SAW, maka dia berada dalam petunjuk. Namun barangsiapa yang keluar dari petunjuk tersebut, sungguh dia telah menyimpang.”(HR. Thobaroni dalam Al Mu’jam Al Kabir) – Hadis Sahih

Doa di bawah boleh dibaca agar Allah tetap memalingkan hati kita kepada ketaatan beribadah kepadaNya, tetap melakukan kebaikan bukan hanya di bulan Ramadan, malah apa-apa bulan dan hari sekalipun.

‏اللَّهُمَّ ‏ ‏مُصَرِّفَ ‏ ‏الْقُلُوبِ ‏ ‏صَرِّفْ ‏ ‏قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ ‏

(Allāhumma Musarrif al-Quluubi Sarrif Quluubana ‘alā To’atika)

Maksud: “Ya Allah, Dzat yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!”

Justeru, mulalah memasang azam bermula dari bulan Ramadan ini, bahawa kita ingin mengubah sikap buruk buat selama-lamanya, bukan hanya pause sekejap sahaja di bulan Ramadan. Semoga niat baik ini akan didorong dan dimudahkan oleh Allah SWT. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami