Oleh Natirah Azira • 28 Mar 2023 • 2 min baca
Puasa dan Al-Quran. Dua perkara utama yang menjadi fokus pada bulan Ramadan. Puasa adalah kewajipan yang perlu ditunaikan di siang hari, manakala bacaan Al-Quran pula bebas dilakukan pada bila-bila masa.
Ramadan juga dipanggil bulan Al-Quran kerana kitab Allah ini diturunkan pada bulan Ramadan, bahkan baginda Rasulullah SAW sendiri melazimi tadarus Al-Quran bersama Malaikat Jibril di bulan Ramadan. Disebutkan satu hadis berkenaan puasa dan Al-Quran yang akan memberikan syafaat pada pengamalnya.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya).” [Riwayat Ahmad (6626) dan al-Thabarani (88)]
Walau bagaimanapun, Syeikh Shu’aib al-Arna’out menilai hadis ini dhaif kerana ada dua orang perawi yang dhaif dalam sanad hadis iaitu Ibn Lahi’ah dan Huyayi bin Abdillah. Umum mengetahui bahawa prinsip periwayatan sesebuah hadis sangat ketat bagi menjamin keaslian riwayatnya benar-benar berakar umbi daripada Nabi SAW.
Pandangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga cenderung mengatakan bahawa hadis di atas sanadnya adalah dhaif. Tetapi, maknanya masih sahih kerana ada hadis sahih yang lain menyokong makna hadis di atas, iaitu ibadah puasa dan membaca Al-Quran memang boleh memberikan syafaat iaitu menyelamatkan orang yang mengamalkannya daripada api neraka.
Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. [Riwayat Muslim (804)]
Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya”. [Riwayat Muslim (1151)]
Bermakna, Allah sahajalah yang menyimpan balasan istimewa puasa apabila bertemu dengan hamba-hambaNya kelak.
Istimewanya puasa dan Al-Quran sehingga ia berkuasa memberikan syafaat kepada para pengamalnya. Puasalah dengan sebenar-benarnya iaitu dengan menjaga perbuatan dan tutur kata agar puasa kita benar-benar bernilai di sisi Allah SWT. Bersahabatlah dengan Al-Quran di bulan mulia ini agar ia menjadi sahabat kita juga di akhirat sana.
Rujukan:
Muhammad Mushfique bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (2020). Irsyad al-hadith siri ke 502: Hadith puasa dan Al-Quran pemberi syafaat. Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4529-irsyad-al-hadith-siri-ke-502-hadith-puasa-dan-al-quran-pemberi-syafaat
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.