Oleh Natirah Azira • 27 Mar 2023 • 2 min baca
Orang yang rajin bersedekah adalah orang yang bijak mencari peluang dan keuntungan. Mereka tahu bahawa ganjaran berlipat kali ganda tersedia untuk orang yang suka memberi.
Allah mengatakan bahawa orang yang bersedekah baik secara sembunyi atau terang-terangan, mereka tidak perlu risau, bimbang atau sedih (lihat Surah Al Baqarah, ayat 274). Allah tidak akan mensia-siakan kemurahan hati mereka. Dalam Surah Al Hadid ayat 18, Allah mengatakan dengan jelas dua jenis balasan yang akan diberikan kepada orang yang bersedekah. Pertama dalam bentuk pahala. Kedua, ganjaran dalam bentuk lain dengan kadar berlipat kali ganda.
Namun, bagaimana pula jika sedekah yang diberikan tidak sampai ke tangan penerima sepatutnya? Adakah pahala buat penerimanya dikira?
Hal ini demikian kerana, kita kerap mendengar ada pihak yang tidak bertanggungjawab melancarkan tabung derma tapi rupanya scammer. Ramai orang yang tertipu dan telah menderma ke tabung-tabung ini.
Berbalik kepada penerangan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, dalam hal sedemikian kita perlu berbalik kepada keterangan nas yang menyebutkan bahawa setiap amalan akan bergantung kepada niat. Jika dia telah berniat sedekah kerana Allah, maka dia akan mendapat ganjaran pahala dari Allah meskipun wang sedekah atau derma itu tidak sampai kepada penerima sepatutnya.
Diceritakan dalam satu hadis sahih lain riwayat Bukhari (1421), seorang lelaki pernah bersedekah kepada pencuri, pelacur dan juga orang yang kaya raya, dalam keadaan dia tidak mengetahui keadaan mereka, sedekahnya turut diterima. Dikatakan semoga bahawa dengan berkat sedekahnya, pencuri itu tidak mencuri, pelacur itu menjaga kehormatan dirinya dan orang kaya itu pula mendapat pengajaran agar bersedekah.
Justeru, sedekah yang telah diniatkan sudah diterima oleh Allah SWT sekalipun tidak sampai kepada penderma selayaknya mungkin kerana kesulitan dan masalah tertentu yang berlaku di pertengahan proses. Walau bagaimanapun, langkah berhati-hati perlu diambil dalam memastikan kesahihan pihak yang mengumpulkan derma supaya sedekah yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Sumber:
Wan Ahmad Naqiuddin. (2021). Al-Kafi #1821: Adakah Pahala Derma Diterima Jika Tidak Sampai Kepada Penerima Yang Diniatkan? Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.