Oleh Natirah Azira • 27 Mar 2023 • 4 min baca
Bagaimana hari kelima anda berpuasa setakat ini? Adakah badan sudah boleh membiasakan diri dengan rutin yang baru? Adakah mental kuat untuk bersabar dengan rasa lapar yang mencucuk?
Bagi segelintir orang, hal ini tidak menjadi masalah. Makan dan minum hanyalah keperluan badan sehari-hari. Rutin serta kadar pengambilan makanan berbanding hari-hari biasa pula tidak ada banyak bezanya. Namun, bagi segelintir orang, perut yang lapar boleh mencetuskan ketegangan emosi. Cepat betul rasa nak marah kalau ada yang tidak kena.
Dalam bahasa orang putihnya, ia disebut hangry, kombinasi antara lapar (hungry) dan marah (angry).
Bunyinya kelakar bukan, tapi fenomena ini ada. Dari sudut klinikalnya, menurut Deena Adimoolam, pembantu profesor dalam bidang endokrinologi, diabetes dan penyakit tulang di Fakulti Perubatan Mount Sinai, apabila kita tidak makan, tahap gula dalam darah akan jadi rendah. Apabila proses ini terjadi, badan akan mengeluarkan hormon adrenalin untuk menaikkan semula glukos ke paras yang normal.
Proses ini seperti proses fight or flight, yang mana badan dalam keadaan berjaga-jaga mengumpulkan tenaga untuk menghadapi bahaya. Tetapi apabila bahaya sebenar tidak wujud, simptom mudah marah boleh wujud kerana tenaga berlebihan yang tak digunakan ini.
Apa pun kesan lapar kepada badan dan emosi kita, sebagai umat Islam cabaran untuk bertahan sabar dalam tempoh puasa selama sebulan ini adalah ibadah. Rasulullah SAW mengulang sebanyak tiga kali pesanan agar jangan marah apabila sahabat meminta nasihat kepada baginda. Kerana sabar itu mencabar maka ganjarannya besar.
Apabila sudah kita tahu bahawa keadaan badan yang lapar boleh memberi kesan kepada emosi, jadi sebenarnya kita boleh berjaga-jaga dan memasang strategi. Jom kenal pasti ujian emosi yang boleh mencetuskan rasa marah di bulan Ramadan ini:
1. Kualiti makanan yang dibeli di kedai atau di bazar Ramadan teruk.
2. Kesesakan lalu lintas.
3. Barisan panjang ketika membeli makanan.
4. Makanan berbuka lambat sampai.
5. Makanan basah tak sempat dinyah bekukan untuk dimasak.
6. Tidak dibantu menyediakan juadah untuk berbuka.
7. Kepenatan menguruskan anak.
Dan mungkin ada perkara-perkara lain lagi yang boleh mengundang gelodak emosi.
Jika hal yang boleh menaikkan marah anda banyak berkait dengan makanan, harus kita ingat bahawa Ramadan bukan hanya tentang makanan. Ramadan juga adalah bulan ujian dengan pelbagai perkara, bukan hanya lapar sahaja. Alangkah ruginya jika kita kalah pada ujian emosi yang ada turun naiknya.
Jadi, apa yang perlu dibuat jika anda menghadapi ujian emosi seperti di atas?
Jika perkara ini berlaku pada anda, perkara pertama yang boleh dilakukan adalah tarik nafas dan cuba elakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Kerana Allah SWT mengancam Muslim yang berpuasa tidak akan mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga. Kerana apa? Kerana tidak menjaga kata-kata.
Jadi, jika masih berkesempatan untuk menegur orang yang melakukan kesilapan yang mencetuskan perasaan marah dalam diri anda, tegurlah dengan cara berhemah. Jika teguran tidak dilayan, berlapang dadalah dan anda boleh buat pilihan untuk tidak membeli lagi di situ.
Dalam situasi lain pula, anda boleh mengubah strategi berfikir dengan bertanya soalan ini:
“Apa manfaat dan keburukan yang aku dapat daripada marah?”
“Adakah kesannya lebih banyak keburukan atau kebaikan?”
“Adakah keadaan boleh berubah hanya dengan marah?” (contohnya marah kerana keadaan kesesakan lalu lintas)
Soalan yang ditanyakan pada diri ini boleh memberikan minda masa untuk berfikir secara lebih rasional berbanding mengikut pengaruh emosi sahaja.
Cara lain adalah dengan memberi kata-kata affirmation pada diri bahawa ‘aku sedang berpuasa’ . Kita boleh mengambil ibrah daripada hadis baginda SAW:
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila (pada) hari seseorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah kamu berbicara kotor dan bertengkar (sambil berteriak). Jika seseorang menghinanya atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah dia mengatakan : “Aku Sedang Berpuasa”.
Cara ini nampak terlalu ringkas dan kurang kesannya tetapi hakikatnya dengan berkata begini, kita sebenarnya sedang melatih diri, serta mengingatkan diri bahawa aku dalam keadaan berpuasa. Kata-kata ini juga boleh bertindak sebagai pendinding kepada apa-apa niat buruk yang mungkin tercetus di fikiran. Dari aspek psikologi, kata-kata yang baik pada diri sendiri dipanggil positive affirmation atau kata penegasan pada diri sendiri, dan ia boleh memberi pengaruh yang positif pada emosi serta tindakan jika diulang-ulang.
Kesimpulannya, emosi boleh dilentur dan dikawal jika kena cara dan gayanya. Pada peringkat awal, mungkin anda rasa susah. Tapi dengan latihan, InsyaAllah cara baru akan dapat dibiasakan. Tambahan pula, Ramadan kan bulan muhasabah dan tarbiah?
Rujukan:
Julia Naftulin. (2022). What Is ‘Hangry’? Feeling Angry After Not Eating Is a Real Thing. Health.com
George Citroner. (2022). Study Finds Being ‘Hangry’ is a Real Thing. Healthline.com.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.