Akhlak dapat difahami sebagai perangai, tabiat, budi atau adab. Secara umumnya, orang yang berakhlak biasanya dikaitkan dengan peribadi yang baik. Namun, secara khususnya akhlak terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk.
Dalam satu hadis sahih yang sering kita dengar, Rasulullah SAW memberitahu bahawa antara tujuan utama baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Melalui teladan diri baginda sendiri, kita belajar tentang akhlak yang baik yang perlu menjadi perhiasan diri seorang Muslim.
Selain daripada hadis ini, ada juga satu kenyataan lain yang menyebutkan bahawa kita perlu berakhlak seperti akhlak Allah SWT.
Maksudnya: “Berakhlaklah kamu seperti akhlak Allah.”
Namun, setelah disemak oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, kenyataan di atas bukan berasal daripada hadis atau mana-mana riwayat atau kitab-kitab hadis yang muktabar. Malah, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan riwayat ini adalah riwayat yang batil (tidak sahih).
Walau bagaimanapun, kenyataan di atas ada disebut di dalam kitab-kitab yang menyeru agar berakhlak dengan akhlak Allah dengan makna mengikuti sifat yang terpuji dan menjauhi sifat-sifat yang keji. Imam al-Ghazali turut menamakan satu bab dalam karya beliau Al-Maqsad al-Asna, yang berisi penjelasan kesempurnaan seorang hamba dan kebahagiannya adalah dengan berakhlak dengan akhlak Allah SWT.
Kesimpulannya, ayat ‘berakhlak dengan akhlak Allah’ ini bukanlah hadis yang berasal daripada baginda Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, kita boleh mengambil teladan di sebalik seruan berakhlak dengan akhlak Allah SWT iaitu mengikuti sifat-sifat kesempurnaan Allah seperti pemurah, pengasih dan pemaaf. Wallahua’lam.
Rujukan:
Muhammad Mushfique bin Ahmad Ayoup @ Ayub. (2018). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-304: Hadith Berakhlaklah Seperti Akhlak Allah. Mufti Wilayah Persekutuan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.