Mana-mana rumah tangga tidak akan sunyi daripada konflik dan perbalahan. Ada yang terus bertahan walau bertahun lamanya, dan ada pula yang memilih untuk berpisah kerana sebab-sebab tersendiri. Apa pun, perceraian dibenarkan dalam Islam, sebab itu hukum dan cara pembubarannya ada ditetapkan sama ada melalui cerai talaq, ta’liq, fasakh, khulu’ dan li’an.
Dalam artikel kali ini, Tzkrh ingin bercakap sedikit sebanyak tentang syiqaq, yang bermaksud perbalahan dan perselisihan. Dari sudut syarak, ia boleh difahami sebagai perbalahan sehingga membawa kepada perpecahan dan memerlukan pihak ketiga untuk membantu menyelesaikannya.
Syiqaq dikira berlaku apabila wujud perkara-perkara seumpama berikut:
1. Pengabaian suami isteri terhadap hak masing-masing.
2. Saling benci-membenci di antara mereka.
3. Nusyuz seorang isteri atau kezaliman yang dilakukan oleh suami terhadap isteri.
4. Suami isteri saling tuduh menuduh mempunyai hubungan yang melampaui syarak dengan lelaki atau wanita lain.
5. Perkelahian yang kerap hingga berlaku pukul memukul
6. Perkelahian antara suami isteri sehingga menyebabkan pengabaian terhadap anak atau meninggalkan rumah kediaman.
Justeru, dalam hal ini, pihak ketiga atau disebut sebagai hakam diperlukan bagi menyelesaikan isu yang dihadapi sama ada berakhir dengan perdamaian atau perceraian.
Bagi aduan syiqaq yang telah dibuat, pihak mahkamah akan melantik seorang hakam daripada pihak suami dan seorang hakam daripada pihak isteri. Sebaiknya, hakam tersebut adalah daripada kalangan keluarga terdekat masing-masing untuk mewakili mereka.
Setelah kedua-dua pihak memilih hakam masing-masing dan mendaftarkan nama hakam di mahkamah, serta disahkan dan diperakui, maka suami isteri akan melafazkan wakalah yang bertujuan menyerahkan kuasanya kepada hakam masing-masing dalam menyelesaikan krisis yang dihadapi.
Hakam pula akan menyelediki punca-punca yang menyebabkan perselisihan dan perbalahan berlaku. Perbincangan antara kedua-dua pihak akan diadakan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi dan keadaan.
Akhirnya, jika kedua-dua hakam berpendapat suami isteri perlu berdamai, maka mahkamah akan memerintahkan pasangan berdamai. Jika hakam mendapati adalah lebih baik pasangan berpisah, maka mahkamah akan mengarahkan suami melafazkan talak satu kepada isteri.
Demikianlah bagaimana syiqaq diselesaikan melalui peranan hakam. Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian tidak semestinya bermakna ia adalah satu jalan terburuk yang dilalui oleh pasangan, bahkan mungkin satu ruang yang lebih sedikit mudaratnya berbanding terus berada dalam hubungan perkahwinan yang tidak membahagiakan.
Rujukan:
Peruntukan Syiqaq Dalam Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1990 5/1990
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.